Kini, saya peruntukan sedikit waktu di
gym. Semuanya demi kesihatan dan gym yang saya pilih itu, adalah
antara gym paling murah biayanya, yang boleh saya temui.
Biasanya, apabila berada di gym, saya
memilih treadmill paling tepi. Di sebelah kanan. Alasan saya, mungkin
kerana ia 'kanan', dan semuanya perlu bermula dari kanan.
Di situlah saya berlari sambil
memerhatikan latar bukit pagi yang diselimuti kabus. Memang indah,
tetapi tetap sahajalah memberi rasa jemu sekiranya hanya itu yang
dilihat.
Mujur, di hadapan saya itu ada sebatang
jalan raya dan memerhatikan kenderaan yang lalu lalang mampu membuat
fikiran saya 'lari' daripada memikirkan persoalan, 'belum 30 minit lagi?'.
Ya, di atas di treadmill itu, saya
mencuba membina disiplin bagi berlari 30 minit, dan ternyata, ia
sangat mencabar kesabaran. Hairan.
Cuma tadi, pada ketika saya pergi ke
gym, treadmill kegemaran saya di sebelah kanan sudah digunakan oleh
orang lain. Yang ada cuma treadmill di hujung kiri sekali. Tidak
apalah, kerana perjuangan saya adalah berlari bagi 30 minit, bukan
isu kanan atau kiri.
Ternyata, saya terkejut.
Berlari di bahagian kiri itu,
membolehkan saya melihat apa yang selama ini tidak saya lihat apabila
berlari di sebelah kanan.
Dari bahagian itu, saya melihat simpang
jalan yang luas. Ada lebih banyak kenderaan, ada penjual nasi lemak,
ada anak-anak sekolah, dan semua itu memberikan ruang kepada saya
untuk bersabar bagi menghabiskan larian.
Ternyata, hidup itu bukan hanya di
sebelah kanan.
Sekiranya sebelum ini, kita hanya
melihat hanya ada 'sebatang jalan' dalam hidup kita, percayalah kita
sebenarnya belum melihat semuanya. Apa yang perlu, beranikan diri
bagi mengubah cara pandang, dan pasti kita akan menemukan 'simpang
jalan', yang memberikan kita lebih banyak pilihan dalam hidup.
Dan hidup tidaklah indah sekiranya
disempitkan hanya dengan pilihan, antara 'kanan' dan 'kiri'. Kanan
dan kiri itu bukan tujuan, kerana tujuan utama kita adalah terus
berlari pada landasan. Isunya, adalah kekuatan bagi meneruskan
larian.
Kerana manusia, fitrahnya cepat berasa
bosan, dan janganlah hanya kerana kebosanan melihat sebatang jalan' di hadapan, kita
berhenti berlari.
Teruslah berlari, dan ubahlah cara
pandang, kerana kadangkala manusia beroleh kekuatan baru hanya
dengan mengubah cara pandang. Mengubah cara pandang juga bermaksud,
mencari jalan lain bagi bersangka baik.
Sentiasalah bersangka baik, kerana
itulah yang menguatkan sabar dalam berlari menerusi kehidupan.
3 comments:
Hidup ini kita yang memilihnya, sama ada statik atau sentiasa fleksibel, skop pandang perlu diperluaskan agar lebih bijak menilai sesuatu perkara.
ana share, sgt bermotivasi..!
dah brsemangat semula,,selalu ternanti2 pos dari tuan.
baiklah.
Post a Comment