Wednesday, September 26, 2012

perempuan bertudung labuh di tepi tingkap - sebuah cerpen

Inilah cerita tentang pencinta. Iaitu saya. Malu juga mahu mengulang kembali kisah itu di sini, kerana kisah cinta itu jelas tidak membawa pahala. Kisah yang bermula ketika umur saya baru 16. Pada umur begitu saya sudah mahu memikat hati perempuan. Sudah mahu memberi mereka kasih dan sangat berharap juga dibalas kasih.

Namun, di sebalik kisah cinta yang tidak tahu tuju halanya itu, tetap ada kisah yang membuat saya teringat-ingat sampai sekarang.

Dia cantik.

Saya baru tingkatan lima. Saya sudah tumbuh kumis halus, dan kulit saya yang cerah membuat kumis itu terlihat jelas. Rambut saya pula belah tepi dan menutup dahi. Bertubuh tinggi dan segala gabungan itu menjadikan saya pelajar lelaki yang tinggi percaya diri.

Namun untuk urusan yang satu ini, saya menjadi lelaki bisu. Iaitu urusan dengan kaum perempuan, terlebih-lebih lagi dengan dia. Dia pelajar perempuan bertudung labuh, pintar, putih dan segala perkara yang baik ada pada dia. Dia yang duduk di tepi tingkap dengan wajah yang sentiasa bersemangat.

Saya waktu itu berada pada kemuncak hormon lelaki, lantas punya cita-cita yang tinggi. Entah mengapa, saya mengikuti puluhan pelajar lelaki lain ikut jatuh hati kepada dia, perempuan yang duduk di tepi tingkap. Mujur juga dia tidak pernah endah dengan segala macam surat yang dia terima dan segala macam usikan yang diberi.

Tetapi tetap sahaja hati saya cemburu dan gusar kerana, saingan saya bukan calang-calang. Ada yang ayahnya jutawan, ahli politik, kerabat raja, dan malah ada atlit sekolah, ketua pengawas, dan segala macam lagi yang membuatkan saya nekad bagi mencuba dan berusaha.

Saya mahu mencuba bagi memberitahu isi hati saya kepada dia. Mana tahu dia sudi, kerana ada juga sekali dua saya bertentang mata ketika saya menjeling ke arah dia, sebelum saya cepat-cepat tunduk malu.

Cuma caranya saya tidak tahu dan mujur, saya ada seorang yang saya percaya.

Sepupu.

Dia sepupu saya yang umurnya sudah 25 tahun. Tidak punya pekerjaan walaupun lepasan Giat Mara Katanya susah mahu mencari kerja. Lalu kerjanya hanya menunggang motosikal di sekeliling kampung, dan sesekali menerima upah membaiki motosikal.

Yang paling saya suka dengan dia, dia seorang yang 'gila-gila', selamba, jenis yang mendengar, suka berjenaka dan paling utama, sejak dari kecil dialah sepupu yang paling rapat dengan saya. Kepada dia, saya menceritakan hajat hati yang berat itu dan dengan lagak lelaki yang serba tahu dia berkata,

“Mari aku bawa kau berjumpa dengan seseorang. Dia akan memberi kau penawar, dan dia akan menjadikan perempuan itu kekasih kau yang menyayangi kau sampai mati.”

Kata-katanya membuatkan saya menarik nafas panjang. Lega. Sepertinya saya baru sembuh dari demam selesema, sembuh daripada hidung tersumbat.

Namun itu tidak lama, kerana hati saya kembali kecut kerana takut yang teramat sangat. Kecut apabila berjumpa dengan 'seseorang' itu.

Rumah di tengah kampung. 

Dengan membonceng motosikal, saya dibawa sepupu saya bagi berjumpa dengan orang itu. Katanya, “Ikut sahaja aku. Kau akan berpuas hati.”

Aku senyum dan berharap dia benar, dan lebih berharap perempuan di tepi tingkap itu jatuh cinta kepada aku. Berharap dan terus berharap.

Cuma pada ketika motosikal sepupu saya berhenti di hadapan rumah di tengah kampung, degup jantung saya melaju kencang. Degup jantung kuda berlari pun rasanya tidak seperti itu.

“Mengapa berhenti di sini?”

“Itulah rumah orang yang punya penawar itu.”

“Itu rumah Imam Masjid. Mana mungkin,” kata saya dengan fikiran yang kembali mengingat baik-baik siapa imam itu.

Dengan imam itulah saya belajar tajwid, dan daripada situ saya tahu bagaimana tegasnya dia dalam mendidik. Tidak ada pelajarnya yang berani berkata tidak sekiranya dia berdehem. Pada ketika dia membuntangkan matanya, semua tunduk memandang lantai. Pada ketika dia bersuara pula, semua seperti sudah tercabut jantung. Tidak perlulah saya ceritakan lagi bagaimana sekiranya dia berdiri dan menghentak kaki. Cukuplah sampai kisah kami tercabut jantung.

Atas ingatan yang masih segar itu, saya mengambil keputusan beredar dari situ, tetapi Tuhan sudah mengatur segalanya, kerana pada langkah pertama saya mendengar suara itu, “Amir, mahu ke mana?”

Suara itu sangat saya kenal, dan itulah suara Tok Imam masjid. Degup jantung kembali melaju, dan belum sempat reda, sepupu saya pula berkata, “Dia mahu jumpa Tok. Dia mahu tanya petua.”

Saya memejam mata. Sempat hati berkata, “Ya, Allah cubaan jenis apa yang Kau turunkan kepada aku. Ya, Allah bantulah aku. Ya, Allah ampunkan aku.”

Bertolak daripada jawapan sepupu saya itulah, saya tidak sedar sudah berada di dalam rumah Tok Imam itu, sudah duduk di sofa sambil menghirup kopi pahit.

“Kamu kata tadi mahu minta petua, petua apa?” soal Tok Imam selepas melihat saya meletakkan cawan kopi.

Dalam debar yang meninggi, sepupu saya seperti biasa dengan yakin berkata, “Masalah cinta.”

Saya sempat berharap, semoga pada saat itu ada petir yang menyambar rumah Tok Imam, biar hangus dan dapatlah saya segera melarikan diri dari situ. Namun, niat jahat itu tidak terkabul dan bermulalah pesan yang membuatkan saya menceritakan kembali kisah ini.

Tok Imam. 

Tok Imam hanya mengangguk mendengar setiap jawapan saya. Malunya saya mahu menjawab soalan dia hanya Tuhan yang tahu. Dia bertanya siapa nama gadis itu, sudah berapa lama saya jatuh cinta dan semuanya soalan yang berkenaan cinta.

Saya pula hanya ada dua pilihan, melompat dari tingkap rumah ataupun menjawab soalan dia, dan saya memilih menjawab soalan dia kerana rumah Tok Imam itu boleh tahan juga tingginya.

“Cinta itu bukan sesuatu yang luar biasa. Pada umur kamu ini, itulah adalah perkara biasa. Malah pada ketika saya seumur kamu, isteri saya sudah mengandung anak pertama.”

Kata-kata Tok Imam itu membuat saya sedikit lega. Lega kerana dia tidak meninggikan suara, dan lega kerana akhirnya saya tahu perasaan ini cuma hal biasa.

“Cuma, setiap zaman ada kaedahnya. Itu sahaja yang membezakan cinta. Cinta zaman saya, begitu kaedahnya, dan zaman sekarang pula pasti berbeza. Kaedah yang ditentukan oleh kelaziman. Jadi pada zaman sekarang, adakah bernikah pada usia kamu ini satu kelaziman?”

Saya menggeleng.

“Oleh kerana ia bukan kelaziman, maka kamu perlu ikut kelaziman zaman sekarang. Iaitu belajar sampai habis, bekerja dan kemudian beristeri.”

“Tetapi Tok, saya takut dia tidak akan tahan melawan perasaan cintanya, Takkan tidak ada cara lain?” sampuk sepupu saya dengan segera dan membuat saya berasa mahu menerajang dia pada ketika itu juga.

Tok Imam melepas kopiah putihnya dan meletakkan ke atas meja kopi. Dia merenung wajah saya yang tunduk.

“Beginilah, saya tidak boleh menghalang rasa cinta dalam hati kamu. Tetapi kamu pasti boleh berfikir, jadi saya harap kamu dengar betul-betul kata saya, dan kamu kemudian fikir sendiri. Boleh?”

Saya mengangguk, tidak ada pilihan.

“Kita ini orang yang beragama Islam. Seperti yang kamu tahu, ajaran Islam itu sangat indah, cantik dan sempurna. Ibaratnya, sekiranya ajaran Islam itu dapat dilihat, ia akan berupa makanan yang sangat sedap, lazat, cantik dan berkhasiat di dunia ini. Sudahlah mata kita dapat nikmat dengan melihat cantiknya makanan itu, lidah kita pula dapat merasa nikmatnya, dan jauh ke dalam tubuh kita, kita dapat khasiatnya. Jadi kamu fahamkan baik-baik perumpamaan saya itu. Boleh?”

Saya angguk dan fikiran saya mula berputar keras memikirkan perumpamaan ajaran Islam dan makanan yang lazat itu.

“Sekarang kamu bayangkan pula, makanan yang lazat itu adalah seperti cinta. Ia cantik, lazat dan berkhasiat. Boleh?”

Saya angguk lagi, dan pada kali ini saya tidak punya masalah membayangkannya.

“Jadi sekarang, lihat roti di hadapan kamu.”

Segera saya memandang roti bakar di atas meja, yang dihidangkan oleh Tok Imam. Memandang dengan penuh debar. Entah apa lagi yang dia suruh saya bayangkan. Adakah dia mahu saya bayangkan yang roti bakar itu adalah diri saya?

Tok Imam mengambil roti itu dan berkata, “Roti bakar ini sangat sedap. Jadi kamu bayangkanlah inilah makanan yang paling sedap di dunia. Boleh?”

Saya tetap angguk tetapi sudah mula pening sedikit.

“Sekarang, makan,” kata Tok Imam dan terus melemparkan roti bakar itu ke arah wajah saya. Saya terkejut besar. Masa seperti berhenti. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, ada roti bakar yang melekat pada wajah saya. Sepupu saya di sebelah juga ikut kaku, terkejut.

“Sekarang apa pelajaran yang kamu dapat?” soal Tok Imam itu dengan tiba-tiba.

Saya perlahan-lahan meletakkan roti bakar itu kembali ke dalam pinggan.

“Saya tidak tahu,” ujar saya yang masih terkejut.

“Begitulah agama Islam. Walaupun ajarannya indah, cantik dan baik, sekiranya cara kita 'menghidangkan' ajaran itu tidak baik, terus melempar ke muka orang, pasti sesedap mana pun makanan itu orang tidak akan mahu makan. Malah orang itu akan bermusuh dengan kita, akan mengutuk makanan kita tidak sedap. Begitulah yang terjadi sekarang dengan agama Islam. Kamu sendiri boleh lihat dengan jelas di sekeliling kamu. Contohnya, hukum menutup aurat. Ia ajaran yang indah dan punya hikmah yang tinggi. Tetapi bagaimana kita memberitahu orang lain berkenaan ajaran dan hukum itu? Kita marah-marah, kutuk dan segala macam sehingga orang itu menjauhkan diri dari kita. Apa salahnya kita 'menghidangkan' ajaran agama yang cantik dan indah itu dengan baik-baik? Faham?”

Saya menelan liur mendengarkan ceramah Tok Imam, sambil mengangguk, sambil bertanya dalam hati, “Bagaimana soal cinta saya? Mengapa jauh betul larinya?”

“Begitulah juga cinta. Kamu perlu 'hidangkan' cinta itu dengan sebaik-baik cara. Walau sesuci manapun cinta kamu sekiranya cara kamu 'hidangkan' cinta itu tidak betul, cinta kamu tetap tidak ada harganya. Dan cara menghidangkan cinta dengan betul adalah dengan cara agama. Sekiranya tidak, kamu seperti sedang yang melempar roti kepada wajah perempuan yang kamu gila-gilakan itu. Apa rasanya dilempar roti tadi? Kamu suka?”

Saya segera menggeleng dan sedia mengelak sekiranya Tok Imam itu akan kembali melempar roti ke arah saya.

“Jadi, saya nasihatkan sekiranya kamu benar-benar suka kepada gadis itu, kamu jumpa ayahnya. Itulah cara agama. Itulah cara menghidangkan cinta dengan betul. Sekiranya kamu tidak berani lagi, anggaplah kamu sudah putus cinta. Tetapi janganlah kamu risau. Umur kamu baru 16 tahun, dan lelaki yang putus cinta pada umur begini, adalah perkara biasa, seperti biasanya mereka mudah jatuh cinta. Jadi kamu berani?”

Saya tahu, saya tidak akan pernah berani berjumpa dengan ayah perempuan itu pada waktu itu. Dan saya juga tahu, buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya sudah putus cinta. Atas sebab putus cinta itulah, kisah ini masih saya ingat. Malah, wajah cinta pertama itu juga masih saya ingat, seperti mana saya ingat rasanya dilempar roti bakar. Namun, yang berbeza, perempuan bertudung labuh yang duduk di tepi tingkap itu kini sudah entah di mana. Semoga dia bahagia.

12 comments:

Muhd Iqbal Samsudin said...

terbaiklah tuan, karya tuan memang sangat best :)

AminCv said...

Dingin-dingin rasenye bile baca cerpen ni..

Unknown said...

Aduhai tuan. Ingin sekali saya menulis seperti tuan.

Unknown said...

Aduhai tuan. Ingin sekali saya menulis seperti tuan.

Unknown said...

Aduhai tuan. Ingin sekali saya menulis seperti tuan.

moots said...

sepertinya diri ini terkena tempias.

moots said...

sepertinya diri ini terkena tempias.

Aimi Zainudin said...

terkesima! sangan cantik analogy nya. Semoga Allah memberkati ((:

Zafirah said...

saya suka entry nih :)
alhamdulillah

Warkah Si Fakir said...

Alhamdulillah..boleh dijadikn sbgi panduan utk org lain..tahniah,saudara

nana said...

Ya ALLAH bahaya baca cerita ni kat public because I just can't stop laughing. Kelakar betul bab dibaling roti bakar. Nice n funny. Now I can't stop smiling.. :)

Unknown said...

mhon izin tuan utk kongsi krya yg mnarik ini..