Monday, May 16, 2011

Lelaki Berkasut Merah - versi cerpen



Wibawa keilmuan itu sangat nipis apabila sekadar memata-matai tanpa meneguk isi. Misalnya saya, yang membaca satu dua artikel di internet ataupun majalah, dan saya sudah berasa menjadi manusia yang cukup wibawa ilmunya. Tidak saya katakan ilmu di majalah dan di internet itu salah kerana ia tetap adalah ilmu, yang salahnya adalah diri saya, yang terlalu cepat menobatkan diri sudah wibawa keilmuannya. Ibaratnya, panglima yang ada pedang yang cantik, tajam dan terlihat gagah. Namun ia diperbuat daripada besi yang kurang mutunya, dan hanya sesuai bagi dibuat pisau mengupas bawang. Panglima itu pula berasa sangat selesa dengan pedangnya dan tanpa dia sedar, hanya dengan sekali hayun sahaja, pedangnya itu akan patah, dan itulah yang saya rasa pada petang itu. Sialnya, saya terlalu lambat untuk tahu dan akhirnya saya termalu sendiri.

Meja penuh

Teduh sungguh hati saya pada petang itu. Walaupun matahari masih bersemangat di atas sana, walaupun jalan raya masih bergumpal dengan asap-asap kereta dan walaupun manusia di sekeliling saya berwajah tegang dengan dahi berkeringat. Semuanya bercampur dan sekonyong-konyong ia menjadi suasana yang sangat kacau. 

Petang itu, ruang di restoran itu sudah penuh dengan manusia, hiruk-pikuk, dan pada suatu ketika, berkongsi meja dengan mereka yang tidak dikenal sudah tidak menjadi apa-apa. Ia tidak lagi dianggap menganggu ruangan peribadi. Malah meja saya, didatangi seorang lelaki yang berpenampilan 'anak muda zaman sekarang'. Yang paling menjemput pandangan saya, adalah kasutnya. Dia adalah lelaki yang berkasut merah. 

Seperti biasanya, ramah saya jarang lungsur untuk orang yang tidak saya kenal. Hanya senyuman yang menyungging. Hanya itulah bicara kami, senyuman yang sangat kepalang. Lalu diamlah saya dan dia dengan fikiran masing-masing terpelesat entah ke mana-mana.

Dari saat ke saat, dari minit ke minit, datang pula seorang lelaki yang seperti sudah serpih-serpih hatinya. Saya, lelaki berkasut merah dan lelaki itu membuat ritual yang biasa, hanya tersenyum dan membiarkan persoalan berkenaan diri masing-masing terkurung di ubun-ubun, dan bertekad jangan sesekali lepas dari mulut.

“Sudah banyak kali aku mencuba, tidak juga aku pernah lulus,” kata lelaki yang baru tiba itu. Nada suaranya jelas memang berniat mahu ia berputar ke telinga setiap orang di meja itu. Iaitu saya dan lelaki berkasut merah, walaupun matanya jauh memandang lepas ke jalan raya.

Saya dan lelaki berkasut merah diam dan tidak tahu bagaimana mahu menggeser kata-kata lelaki itu. Lelaki yang seperti sudah serpih-serpih hatinya terus menyambung, “Sudah tiga kali aku mencuba menjadi askar, namun tidak pernah berjaya. Pertamanya, gagal kerana aku ada panau pada tubuh. Siang malam aku menggosok apa sahaja ubat pada panau supaya hilang, dan apabila sudah hilang, pada pemilihan kedua, aku gagal pula pada ujian lari jarak jauh.”

Akhirnya, fahamlah saya kekecewaan lelaki itu. Kekecewaan berkaitan dengan kerjaya, berkenaan harapan dan pasti juga berkenaan dengan cinta kepada ibu bapa. Dapat saya membayangkan, lelaki itu pasti sudah berjanji kepada ibu bapanya, mahu membela mereka apabila dia sudah memperoleh kerja, namun akhirnya dia gagal.

“Setiap petanglah aku berlari ke sana sini bagi membina stamina, agar dapat berlari dalam minit-minit kejayaan. Namun pada saat aku sudah berjaya pada peringkat itu, aku gagal pula kerana katanya aku tidak berdisiplin. Aku mengaku, memang aku melompat-lompat dan memeluk pegawai selepas lulus ujian berlari, tetapi itu bukan sengaja melainkan ia adalah refleks atas kejayaan aku. Puas aku merayu, tetap juga aku digagalkan. Aku kecewa,” luah lelaki itu sambil mengusap-usap kepalanya yang sudah tidak berambut. Pasti rambutnya itulah korban pertama pada cita-citanya.

Namun sempat jugalah saya tersenyum kecil mendengarkan cerita dia melompat-lompat di hadapan pegawai dan terus memeluknya. Dan mungkin lelaki itu melihat senyuman saya, terus dia berkata, “Maaf kerana tiba-tiba bercerita berkenaan hal itu kepada kamu semua. Aku cuma tidak tahu bagaimana mahu melepaskan kecewa aku. Sudah puas aku berdoa kepada Allah, tetapi tidak juga makbul. Aku fikir, tuhan memang tidak mendengar doa aku.”

Kerana Tuhan bekerja dalam rahsia

Lelaki berkasut merah yang sedang menikmati teh aisnya segera berkata, “Jangan pernah putus harapan kepada Allah. Belum tentu apa yang kita mahu itu terbaik untuk kita, dan belum tentu apa yang kita tidak mahu itu tidak bagus untuk kita. Allah pasti ada rancangan-Nya untuk kita kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Lalu atas kerana itulah kita disuruh bersabar dan tidak patah harapan. Sabar dan terus berusaha itu adalah antara perkara yang baik untuk kita, yang kita tahu. Selepas daripada perkara itu, hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Ingat, Tuhan itu bekerja dalam rahsia.”

Terus saya mengangkat kepala sebaik mendengarkan, kata-kata lelaki berkasut merah itu. Sangka buruk saya kepada dia mula datang, dan saya seperti ada tanggungjawab sebagai muslim bagi membetulkan saudara muslimnya yang lain. Semuanya atas dasar, saya pernah membaca sesuatu berkenaan isu itu dan sekarang, saya sudah berasa cukup berwibawa bagi membincangkannya. Tidaklah saya tahu, saya cumalah seperti panglima yang menghunus pedang yang terlihat tajam dan kukuh, tetapi sebenarnya rapuh. Namun kerana tidak sedarnya saya akan hakikat itu, maka saya berkata, “Hati-hati menggunakan ungkapan 'Tuhan bekerja dalam rahsia'.”

Lelaki berkasut merah memandang saya dengan senyuman dan terus bertanya, “Mengapa?”

Kata-kata itu adalah terjemahan terus 'god moves in a mysterious way'. Ia adalah kata-kata yang menjadi dogma agama kristian,” tegas saya. Takut benar saya sekiranya ia akan merosak agamanya.

Adakah ia daripada Bible?” Lelaki berkasut merah itu tetap sahaja tenang.

Saya diam seketika, cuba mengingat apa yang saya pernah baca di internet dan kemudiannya saya menggeleng kepala.

Jadi, siapa sebenarnya empunya kata-kata itu?” Lelaki berkasut merah terus menyoal.

Memang ia bukan daripada Bible. Ia diambil daripada puisi William Cowper. Puisi yang diciptakan pada saat dia gagal membunuh diri di sungai akibat kabus tebal, dan akhirnya dia mencipta puisi itu kerana percaya Tuhan sudah menyelamatkannya, dan itulah maksudnya, tuhan itu bekerja dalam rahsia. Tetapi ia juga sudah menjadi dogma agama Kristian bagi menjawab sesuatu yang tidak mampu mereka jelaskan kepada penganutnya,” jelas saya dengan begitu bersemangat.

Jadi di mana bahayanya?” soal lelaki berkasut merah itu dan terus tersenyum baik. Saya terkesan betul dengan senyumannya itu. Senyuman yang tidak menyinggung tetapi sangat membesarkan hati. Namun selain itu, saya terus diam kerana saya memang tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Entah mengapalah saya begitu bersemangat tadi dan pada akhirnya, dengan soalan mudah itu saya jadi beku dalam kepala.

Dogma

Itulah saat 'pedang' yang saya hunus mula retak dan itulah saat yang membuatkan saya mula nampak ilmu saya terlalu sedikit dan tidak cukup membina wibawa. Walaupun sebenarnya mahu sahaja saya menjawab yang dogma itu adalah penyakit intelektual, kerana dogma meletakkan manusia di bawah satu keadaan yang tidak membenarkan mereka berfikir. Terima sahaja perkara itu bulat-bulat dan jangan tanya kewajarannya. Ia adalah musuh kepada ilmu pengetahuan. Namun saya mengurung niat saya kerana sedar, pemahaman saya berkenaan dogma juga masih sangat mentah, dan saya yakin pasti lelaki berkasut merah itu juga akan bertanya, “Adakah ayat 'tuhan bekerja dalam rahsia itu', dogma bagi Islam ataupun dogma bagi Kristian?” Pasti saya akan bungkam dan mula menunjukkan kegopohan saya bagi menunjuk-nunjuk pandai. Lalu elok saya diam pada ketika semuanya masih awal, ketika ia cuma 'retak'.

Rasulullah pernah bersabda, 'Bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.' Hadis ini terdapat dalam Sahih Bukhari. Mungkin kamu bertanya apa kaitan hadis itu dengan persoalan yang kita bualkan ini? Benar?” Lelaki berkasut merah menyoal saya dan saya hanya mengangguk dengan wajah yang pahit.

Di dalam Kitab Fathul Bari, Ibnu Hajar mengatakan, Jundub bin al-Anbar bin Amru seorang Arab jahiliah, adalah orang pertama yang mengucapkan kata-kata itu. Yang pada waktu itu bermaksud, apabila rakan kita dipukul kita perlu membantu rakan kita, dan apabila rakan kita memukul orang, kita juga perlu membantu rakan kita memukul orang itu. Jadi tidakkah kamu lihat ada dogma pada kata-kata Arab jahiliah itu? Sehinggalah nabi junjungan kita, mengulang kata-kata itu tetapi dengan maksud yang lebih baik dan mulia iaitu, apabila kita melihat rakan kita dipukul, kita membantu rakan kita, dan apabila rakan kita memukul orang kita tahan dia, kita berikan dia nasihat kerana pada waktu itu, mereka sedang menzalimi diri mereka dengan membuat kejahatan. Lihat, nabi kita juga mengulang kata-kata seorang jahiliah. Malah bukan sahaja mengulang, tetapi memberikan pengertian yang baru yang lebih baik kepada kata-kata itu. Jadi, adakah kata-kata puisi William Cowper itu mahu kita hukum terus sebagai bahaya hanya kerana ia dijadikan dogma bagi penganut Kristian?'” Lelaki berkasut merah menjelaskan dengan panjang lebar.

Lengkaplah patahnya 'pedang' saya, dan runtuhlah juga keyakinan diri saya. Malah saya tertunduk pada waktu itu. Tertunduk pada kenyataan yang saya sudah terlalu gopoh bagi memberitahu pengetahuan saya yang tidak seberapa, yang kemudiannya menjelma menjadi buruk sangka saya. Kenyataan yang memalukan.

Lelaki berkasut merah itu terus menyambung dan saya tetap tertunduk pada kata-katanya.

Mundurnya umat Islam dahulu kerana takutnya mereka meminjam ilmu daripada orang Kristian, hanya kerana sebab yang bersifat dogma agama. Seperti, “nanti kamu jadi Kristian,” atau paling mudah, “itu ilmu orang Kristian.” Kemunduran itulah yang masih jelas pada hari ini dan semoga kita tidak termasuk dalam umat yang terperangkap dalam dogma agama.”

Lelaki yang gagal menjadi askar itu pula hanya mengerut dahi mendengarkan perbualan yang lari jauh daripada masalahnya, iaitu melompat-lompat dan memeluk pegawainya sendiri.

Dalam diam saya itulah, lelaki berkasut merah itu berkata lagi, “Terlanjur tadi saya menyebutkan hadis nabi berkenaan membantu saudara yang zalim dan dizalimi, jadi saya mahu memberitahu kamu bahawa kamu tanpa sedar sedang menzalimi diri kamu. Mempersoalkan Tuhan kerana doa kamu belum makbul adalah kezaliman kepada diri kamu sendiri. Itulah ruang iblis masih memasuki hati manusia. Tugas kita, sebelum kita bertanyakan kerja Tuhan, tanyakan dahulu kerja kita kepada Tuhan. Adakah kerja-kerja kita sebagai hamba sudah kita kerjakan dan tunaikan dengan baik? Pada saat kita sudah melakukan kerja kita sebagai hamba dengan baik, akan lebih mudah kita memahami kerja Tuhan untuk kita.”

Lelaki berkasut merah

Lelaki yang gagal menjadi askar terus diam dan jelas wajahnya sedang berfikir dalam. Lelaki berkasut merah itu menjeling saya dan dengan niat ikhlas yang jelas nampak bertapuk-tapuk pada wajahnya dia berkata, “Saya mohon saudara supaya membantu juga saudara kita ini, mungkin dengan kata-kata. Saya yakin saudara arif berkenaan itu.”

Pontang-panting hati saya. Pandainya lelaki berkasut merah itu membina kembali keyakinan diri saya yang runtuh tadi. Bijaknya dia merapatkan kembali ukhuwah pada saat saya seperti sudah mahu beredar daripada situ.

Pada saat lelaki yang gagal menjadi askar itu memandang saya pula, terus saya teringatkan satu pengalaman saya, dan daripada pengalaman itulah pesanan ini saya peroleh, dan saya dengan yakin mengulangnya kembali, “Pada sesaat yang kamu berputus asa, tanya diri kamu, berapa lama kamu sudah bersabar? Tanya juga, mengapa selama ini kamu mampu bersabar pada jangka waktu yang cukup lama? Apabila kamu sudah bersabar cukup lama, adakah kamu mahu mensia-siakannya hanya dalam masa sesaat? Mungkin Tuhan sudah mentakdirkan kamu akan berjaya pada pemilihan keempat dan sekiranya kamu sudah berhenti pada pemilihan ketiga, apa yang kamu peroleh selain daripada kecewa dan sia-sia?

Wajah lelaki yang gagal menjadi askar itu menjadi kembali girang dan nampak semangatnya kembali berkicau-kicau. Manakala lelaki berkasut merah itu pula terus tersenyum baik, dan yakinlah saya, bahawa, pesanan saya itu memberikan saya satu wibawa. Akhirnya, petang itu hati saya menjadi sangat teduh kerana sepertinya diberi peluang bagi membetulkan kesilapan saya, gopoh dengan ilmu yang sejemput dan membawa berburuk sangka.

Selain memperoleh pengetahuan yang baru, saya juga mula mengerti, selain kitab-kitab, pengalaman hidup juga adalah 'pedang' yang sangat kukuh dan dapat diharap. Semuanya itu berlaku dengan izin Allah yang mempertemukan saya dengan manusia-manusia yang tidak saya tahu namanya, selain gelaran yang saya berikan kepada mereka. Lelaki yang gagal menjadi askar, dan lelaki berkasut merah.

Benarlah, Tuhan bekerja dalam rahsia.


4 comments:

Anonymous said...

Tulisan yang indah..

-Rin-

♦♦orked♦♦ said...

bru dppt 5buku (bli on9 kt pts)-lelaki berkasut merah, kita hanya diseberang jalan, dunia ini sederhana kecil, dimana terangnya bulan, diari mat despatch:hati emak...

patot start dgn buku mana ek??

*dah ada - doa untuk aku, diari matdespatch 1 &2, penulis yang disayang tuhan..

=)

mohd fadhli ibrahim said...

lelaki berkasut merah sangat unik..saudara sentiasa meletakakan diri saudara dalam cerita sebagai seorang naif..tetapi hakikat sebenar yang saya nampak saudara adalah seorang kreatif menyampaikan mesej..

Miss Xyz =) said...

bila lagi nk buat buku?