Saturday, January 29, 2011

Interlok mat motor

Biasalah, penunggang motosikal kecil seperti saya ini, berkawan-kawan juga dengan penunggang motosikal kecil yang lain. Berjumpa di warung, duduk semeja lalu berbual berkenaan dunia motosikal yang kecil. Bicaranya, hanya seputar masalah enjin, bunyi, aksesori import dan terkadang berlarut pada cukai motosikal import yang tidak masuk akal. Inilah dunia kami, dunia orang kecil.

Namun ada waktunya, perbincangan tembus keluar juga dari dunia kecil kami. Berbicara berkenaan peribadi, keluarga, masalah negara dan entah bagaimana pada malam itu kami berbicara berkenaan hal yang sangat jarang. Perbualan yang saya tidak pasti bagaimana mahu menceritakannya kerana ia bersangkutan dengan novel Interlok.

Semuanya bermula pada ketika seorang teman yang berwajah garang, tahu yang saya ini seorang penulis lalu bertanya soalan yang mudah.

“Novel Interlok ni apa cerita? Asyik bising kat TV.”

Tidak tahulah saya menjawabnya. Saya ini bukan orang sastera. Namun oleh kerana Interlok itu buku, saya sangat tidak setuju ia dibakar. Entah apalah rasional yang diguna oleh pembakar buku itu. Mungkin rasional yang dipinjam daripada tentera Hulagu Khan semasa menakluki Baghdad.

Lalu perbualan berlanjut antara kami sehingga seorang rakan saya mengeluarkan pendapatnya yang membuat saya diam lama.

“Yang aku faham, novel Interlok ini banyak edisi. Edisi asal, edisi murid, edisi apatah lagi. Kalau sudah ada gelar 'edisi' maknanya ia sudah diubah. Kalau sudah diubah, mengapa pula orang sastera guna hujah mempertahankan kesucian sastera? Alang-alang sudah ubah edisi murid, ubah teruslah apa yang membuat orang India tidak puas hati. Apa yang susahnya? Sebab orang yang suruh ubah itu India?”

Wah, tidak berani saya menyambung. Namun pendapat itu ditentang juga oleh rakan yang lain. Hujahnya, sastera itu adalah paparan sebenar dan ia tidak perlu diubah kerana sekiranya diubah paparan sebenar akan menjadi tidak asli. Tidak tahu saya sama ada betul ataupun tidak hujah itu. Namun saya yakin, mereka semua ini bukanlah serius mahu berbicara berkenaan Interlok melainkan ia sangat menarik bagi diperdebatkan untuk mengisi masa.

Sesekali debat itu diselangi juga dengan masalah bola sepak liga Inggeris dan kemudiannya seorang teman kembali menyemarak debat Interlok dengan pendapatnya yang membuat saya sekali lagi diam.

“Interlok ni macam nasi goreng pedas. Kalau masak untuk orang dewasa, kita bubuh cili banyak-banyak. Kalau kita buat untuk budak-budak, kita kurangkan cilinya. Jadilah nasi goreng pedas edisi murid. Kemudiannya datang lagi budak-budak yang tidak tahan pedas, mintak kurangkan pedas lagi. Kurangkan jelah pedasnya. Dah alang-alang buat nasi goreng pedas edisi murid. Apa susah sangatnya?”

Mahu juga waktu itu saya menjawab, kalaulah Interlok itu semudah nasi goreng pedas, namun saya pendam sahaja dalam hati. Yalah, berbicara perkara yang bukan bidang saya dengan orang yang bukan juga dalam bidangnya terasa aneh. Sepertinya ikan yang berbicara sesama ikan berkenaan rumput apa yang sesuai dibuat sarang burung.

Itulah dunia, dalam perbualan begitu terkadang tersesat juga hujah-hujah yang saya fikir besar. Hujah-hujah yang membuatkan saya terpaksa kembali menilai rakan-rakan permotoran saya. Misalnya dengan hujah teman saya yang seorang ini.

“Perjanjian apa yang Nabi Muhammmad SAW buat dengan orang Quraisy sehingga Nabi terpaksa banyak ubah perjanjian itu?” soal rakan saya sambil meluruhkan abu yang sudah terkumpul di hujung rokok.

“Perjanjian Hudaibiyah.”

Haa... mengapa sasterawan kita tidak ikut hikmah perjanjian Hudaibiyah? Sedangkan Nabi pun boleh bertoleransi bagi mengubah perjanjian, apalah sangat dengan Novel Interlok,” kata rakan saya lalu menghisap rokoknya dengan nikmat, “Apa yang aku ingat ustaz cerita dulu, orang Quraisy nak Nabi buang tulisan yang menyatakan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah kerana mereka cakap, mereka tidak mengakui Nabi sebagai pesuruh Allah. Nabi rilek je, dibuangnya tulisan itu. Orang Quraisy nak ubah itu ini, Nabi rilek lagi sebab Nabi kita jelas objektifnya. Jadi dalam kes novel Interlok, adakah sasterawan kita jelas objektifnya? Kalau sekadar objektifnya mahu mempertahankan kebebasan berkarya dan kesucian karya, leceh sangat objektif tu. Adakah perjanjian Hudaibiyah objektifnya begitu?”

“Kau cakap pandailah. Apa hikmah perjanjian Hudaibiyah dan apa pula persamaannya dengan novel Interlok?gertak rakan saya lalu ketawa.

“Ahh senang,” jawab rakan aku dengan nada yang yakin. Orang seperti kami memang mudah menjawab begitu, kerana kami cuma berbual sesama rakan-rakan, bukan siapa-siapa.

Yang aku ingat, hikmah perjanjian Hudaibiyah ialah berkembangnya ajaran Islam, kehidupan masyarakat aman damai, Rasulullah diiktiraf sebagai rasul dan Madinah juga ikut diiktiraf sebagai negara Islam. Membuka jalan kepada pembebasan Kota Mekah dan Rasulullah dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain.

“Kalau kita tengok situ, novel Interlok yang setuju diubah pun boleh copy hikmah perjanjian Hudaibiyah. Kita boleh memperkembangkan sastera Melayu kepada masyarakat India, masyarakat hidup aman damai, penulis Interlok diiktiraf sebagai penulis yang hebat oleh orang India dan sastera Melayu pun ikut diiktiraf. Membuka jalan kepada pembebasan sastera Melayu yang dianggap bosan dan kita boleh menjadikan Interlok sebagai penghubung Melayu dengan masyarakat India.”

“Tetapi waktu itu Islam masih lemah. Mungkin sebab itu perjanjian Hudaibiyah banyak timbang rasanya.”

“Mana ada lemah. Waktu itu Islam sudah kuat. Tetapi mengapa masih buat perjanjian begitu? Dan adakah sastera Melayu kita ini memang kuat sekarang?” soal rakan saya, “Lemah ataupun tidak Islam waktu itu, yang pasti hikmah perjanjian Hudaibiyah itu sangat besar dan pasti Nabi kita sudah nampak semua itu.”

Aduhai, tidak tahu saya, bagaimana mahu menanggapi persoalan Interlok. Sampaikan hujah perjanjian Hudaibiyah pun sudah ikut dimasukkan dalam perbincangan kami. Perbincangan yang asalnya hanya mahu mengisi masa senggang.

Dan hujah penutup malam itu adalah daripada rakan saya yang berwajah garang.

“Apalah susah-susah sangat pasal Interlok ni. Sastera kan jalan kebenaran yang keempat selepas agama, falsafah dan ilmu. Jadi, Interlok bukan agama, bukan falsafah dan bukan ilmu pengetahuan. Ia sastera dan layan ia selayaknya pada tempatnya. Ia tidak suci dan nak ubah, ubahlah asalkan semua orang dapat manfaat.”

Kami semua berpaling ke arah rakan saya yang seorang itu. Yang tidak pernah jemu mengusap-usap kepalanya yang botak.

“Siapa cakap sastera adalah jalan kebenaran yang keempat?”

“Aristotle.”





Thursday, January 27, 2011

ke seluruh hati

Saya yakin, bertemu dengan dia, seorang yang lebih muda usianya daripada saya, adalah rahmat yang sangat besar. Melalui dia saya kembali bersemangat untuk menjalani hidup saya sehari-hari. Bukanlah bermaksud sebelum ini saya sudah hilang semangat dan hanya menunggu mati, tetapi kerana semangat saya sudah pudar, tidak marak dan tidak mampu menebar ke seluruh hati.

Nasihatnya, nasihat biasa. Namun kerana ikhlasnya hati dia memberikan nasihat, kesannya menjadi sangat luar biasa.

Katanya, “Apabila kamu sudah nekad memberitahu diri kamu, bahawa kamu suka memakan pau kacang yang sudah sejuk, maka akan ada manusia lain yang dengan mudah memberitahu, bahawa mereka juga seperti kamu, dan pasti juga akan ada manusia yang tidak bersetuju kerana mereka lebih suka dengan pau kacang yang masih panas.”

Awalnya, saya terhairan-hairan dengan maksud yang terlindung di balik nasihat pau itu. Namun akhirnya saya semakin mengerti pada saat dia menyambung kata-katanya.

“Pada saat kamu sudah jelas dengan jalan kamu, iaitu menjadi peminat pau kacang sejuk, maka akan jelas juga kepada kamu, akan ada orang yang sependapat dan tidak sependapat dengan kamu. Maksudnya, semakin jelas jalan yang kamu pilih, semakin jelas pula orang yang menyokong kamu dan semakin jelas pula orang yang langsung tidak menyokong kamu.”

Dia diam, merenung saya dan dia yakin, saya masih terhairan-hairan dan dia menyambung lagi.

“Kamu juga boleh menterbalikkan suasana itu kepada diri kamu. Ambil sahaja contoh berkenaan novel-novel kamu. Kamu sendiri mengaku bahawa ada manusia yang sangat senang dengan gaya penulisan kamu dan ada juga yang langsung tidak bersetuju dengan cara kamu. Itu sebenarnya adalah pesan secara halus yang kamu mempunyai gaya dan cara penulisan kamu yang jelas. Ataupun gaya kamu yang tersendiri. Lalu pada saat kamu sedar bahawa ada yang tidak setuju dengan gaya penulisan kamu, pegang sahaja kata-kata tadi, bahawa kamu sudah memilih jalan yang jelas dan itulah jalan-jalan orang yang berprinsip.”

Pada saat itu juga sepertinya bahu saya baru meletakkan beban yang maha berat. Fikiran saya berasa ringan dan saya mengerti sesuatu daripada situ. Hanya mereka yang punyai perjuangan yang jelas dan berprinsip sahaja yang akan ada penentangnya.

Akhirnya senyum saya pun tersebar ke seluruh hati.







Monday, January 17, 2011

Lesu.

Sudah 17 hari di tahun 2011, hidup aku masih lesu. Terlalu banyak harapan manusia mungkin harus aku bawa. Ataupun mungkin sebenarnya aku sedang menipu diri aku berkenaan harapan. Mungkin sahaja di balik kata 'harapan manusia' itu sebenarnya, hampir seluruhnya adalah harapan aku sendiri. Harapan yang berat-berat. Harapan yang aku sandarkan kepada jari-jari aku.

Tuesday, January 11, 2011

Ini ruang, untuk saya dan kamu

Katakan sahaja begini, saya dan kamu bertemu di satu titik, dan saya suka menggelarnya sebagai titik harmoni. Mungkin titik harmoni itu adalah tempat kerja yang sama di dalam sebuah pejabat. Kita duduk bersebelahan dan punyai tugas yang serupa. Kita berkongsi cerita dan keluh-kesah. Namun adakah kita berkongsi cita-cita hanya kerana kita mencari rezeki di atas bumbung yang sama? Mungkin ya, dan mungkin juga persamaan kita hanya sampai di situ.

Lalu apabila ada yang bertanya, mengapa kita tidak mampu berkongsi cita-cita yang sama? Ini kerana kita adalah dua manusia yang sangat berbeza. Ia berbeza pada hari pertama kita melangkah ke tempat kerja itu sendiri.

Untuk kamu, kamu adalah manusia yang paling beruntung di dunia. Usai pengajian terus mendapat tawaran pekerjaan dan itu adalah kerja pertama kamu. Kamu mungkin tidak bercita-cita mahu menjadikan kerja pertama kamu itu sebagai sesuatu yang kekal dan kamu hanya mahu mencari pengalaman. Ini kerana kamu masih kuat dan segar.

Untuk saya pula, mungkin ini bukan kerja pertama saya. Sudah seluruh ceruk bumi saya merantau, mencari kerja yang serasi dengan jiwa dan bekerja dengan pelbagai jenis manusia. Akhirnya saya menemui suatu pekerjaan baru dan di tempat kerja itulah, titik kita bertemu. Pekerjaan baru itu pula adalah kerja yang paling saya suka, dan saya mahu mengakhiri riwayat kerja saya di situ kerana saya sudah lemah dan lelah.

Akhirnya dua perkara berbeza bertemu di titik itu. Kamu seorang yang masih segar dan muda, dan saya seorang yang tua dan lelah. Itulah titik yang saya gelar sebagai titik harmoni. Titik yang perlu dijaga dengan baik kerana dalam titik harmoni itu ada ruang dan peluang untuk perkara yang digelar - silaturahim.

Kamu juga pasti tahu betapa besarnya erti silaturahim itu dalam Islam. Sehingga ada ayat al Quran dan hadis-hadis Nabi yang menyentuh perkara itu. Antaranya, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim.”

Jadi, adakah silaturahim itu masih terlihat kecil untuk saya?

Lalu bagaimana saya mahu menjaga titik harmoni itu bagi memanfaatkan ruang dan peluang itu? Adakah saya perlu memahami hidup kamu sepenuhnya ataupun ada cara yang lain? Tetapi pada saat itu juga saya tersedar, saya tidak mungkin memahami hidup kamu dalam hanya 30 minit ataupun satu jam, lima jam dan malah sebulan kerana kamu sendiri sudah hidup lebih 20 tahun. Hidup selama itu sudah menjadikan kamu manusia yang serba kompleks.

Sekiranya saya ada ilmu membaca bahasa tubuh yang tinggi sekalipun, ataupun saya mampu membaca hati kamu, tetap saya tidak akan mampu memahami kamu. Melainkan sahaja kamu punyai rakaman hidup selama lebih 20 tahun dan saya menontonnya pula untuk lebih 20 tahun tanpa henti. Kamu pun pasti mengerti, ia tidak masuk akal.

Akhirnya semuanya berbalik kepada perkara yang saya punyai dalam diri saya. Saya perlu memahami perkara itu, iaitu saya punyai cara pandang yang berbeza terhadap dunia. Apabila saya memahami diri saya yang punyai cara pandang yang berbeza, ia sudah cukup untuk saya tahu dan yakin yang kamu juga pasti punyai cara pandang hidup yang berbeza daripada saya. Tanpa sedar saya sebenarnya sudah mewujudkan rasa hormat kepada kamu. Bagaimana mungkin?

Pada asalnya tidak ada cara pandang yang salah bagi kita memandang hidup kita. Saya punyai alasan dan kamu juga punyai sebabnya. Asalkan sahaja semuanya masih tidak melanggar garis dosa dan merosakkan akidah. Cuma sahaja, ia menjadi salah pada saat saya mengatakan cara pandang kamu itu salah dan hanya cara saya yang betul.

Sepertinya saya memaksa kamu tetap sahaja bekerja di sini. Di sini kerjanya bagus, gajinya tinggi dan segala macam perkara yang bagus-bagus berkenaan bekerja di situ. Sedangkan kamu pula mahu keluar merebut peluang lain yang tersedia di luar.

Begitu juga pada ketika kamu memandang saya, dalam diam dan mungkin tanpa sedar kamu berkata, saya ini tidak punyai wawasan dan tidak punyai cita-cita tinggi kerana mahu terus bekerja di tempat ini. Lalu pada saat kita saling menyalahkan, titik harmoni tempat kita bertemu tadi tidak akan lagi wujud dan tidak akan ada lagi ruang dan peluang untuk silaturahim.

Itu yang saya cuba ingati dan cuba saya fahami pada saat saya bertemu dengan kamu dan sesiapa sahaja orang baru. Mungkin sahaja kita akan bertemu di perhentian bas, di majlis kenduri, di stadium, di Facebook, di Blog, di hati, dan segala macam tempat dan ketika. Itulah adalah titik harmoni dalam hidup dan selagi mana saya cuba menghormati cara kamu yang tidak mendatangkan dosa dalam memandang hidup ini, titik harmoni itu akan tetap ada di situ dan wujud sebagai manfaat untuk kita, kerana titik harmoni itulah ruang silaturahim untuk saya dan kamu.

Doakan sahaja, saya dan kamu tetap mampu menjaga titik-titik harmoni itu. Paling utama untuk diri saya sendiri, semoga saya tetap ingat akan perkara ini. Semoga.

Tuesday, January 04, 2011

Sebaik-baik manusia (Siri cerpen yang tidak sempurna)

Tahun baru

Adapun berkenaan tahun baru, sudah sering benar orang bertanya kepada saya, apa azam saya? Ya, saya ini adalah seorang yang sentiasa berazam kerana saya sangat takut pada kata yang bernama janji. Untuk saya, 'azam' itu adalah ganti kepada 'janji'. Mengapa saya begitu? Semuanya kerana saya percaya, janji itu pasti akan dituntut. Sekiranya tidak di dunia, pasti di akhirat sana saya akan dicari.

Akhirnya apabila tiba tanggal 31 Disember, manusia-manusia mula menjadi baik, bertanya apa azam saya? Tersenyum saya kerana saya juga pernah menjadi manusia-manusia yang baik itu, suka bertanya berkenaan azam dan daripada situlah sebenarnya kisah ini bermula.

Azam

Namanya, biarlah saya rahsiakan. Jantinanya, dia lelaki yang berusia awal 40-an. Bertubuh tegap dengan dagu yang sentiasa tegak apabila berjalan. Kulitnya sudah hangus dibakar matahari kerana dia seorang tukang membuat rumah yang handal lagi terpercaya. Rambutnya pula kasar-kasar dan saya tidak berani bertanya bila kali terakhir dia bersyampu.

Hari itu pula adalah 31 Disember. Hari itu saya bertemu dia di rumah teman saya yang sedang diperbesarkan ruangan dapurnya dan dia adalah tukangnya. Pada ketika itu dia sedang meneliti mata gerudi tangannya. Entah apalah maksud dia memerhati, tidak pula saya bertanya. Pada waktu itu saya lebih bersemangat mahu bertanya, apa azam tahun baru dia.

Pada saat saya bertanya, dia kembali bertanya soalan yang serupa kepada saya. Apa azam tahun baru saya?

Senyum saya lebar, selebarnya mata bayi yang dikejutkan ibunya. Saya sudah siap-siapkan jawapannya dan berkata saya kepada dia, saya mahu menjadi pelajar yang cemerlang. Saya berazam tidak mahu ponteng kuliah, mahu menyiapkan tugasan dengan markah penuh dan banyak lagilah berkenaan pelajaran. Maklumlah waktu itu saya masih lagi bergelar mahasiswa. Kemudiannya saya memandangnya, menuntut jawapannya pula.

Lelaki itu juga tersenyum dan dia sangat mengerti maksud pandangan saya dan segera menjawab soalan saya yang mula-mula. Katanya, “Pada 1 Januari, azam saya tetap sama seperti hari ini, tetap sama seperti hari-hari sebelumnya. Saya berazam mahu memperelok akhlak saya.”

Diam juga saya pada saat dia berkata begitu. Memperelok akhlak? Waktu itu definisi 'akhlak' untuk saya ialah 'tidak membuang sampah merata-rata' dan 'tidak membuat bising di dalam kelas'. Lalu hanya itu sahaja azam tahun barunya? Apa dia sudah tidak teruja untuk hidup?

Pada saat pelbagai soalan bermunculan dalam kepala, lelaki itu kembali berkata, “Kita memasang azam mengikut keutamaan, mengikut apa yang paling penting dalam hidup. Dan oleh kerana agama saya adalah Islam, maka keutamaan saya yang paling utama adalah Islam itu sendiri. Atas sebab itulah saya memasang azam bagi memperbaiki akhlak saya kerana ia dituntut oleh Islam.”

Wajah saya pada ketika itu semakin bersimpang siur garis-garisnya. Ia sudah menghampiri pada corak abstrak lukisan Picasso.

Lelaki yang sudah banyak pengalaman hidupnya itu sangat tahu lukis emosi pada wajah saya. Lukisan wajah manusia yang terhairan-hairan. Dia sebagai lelaki yang baik tidak mahu melihat saya terus begitu dan akhirnya dia berkata dengan kata-kata yang sangat baik.

“Akhlak itu bukan perkara kecil. Akhlak ialah sifat yang ada di dalam diri yang dapat melahirkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa perlu berfikir, meneliti ataupun paksaan. Sabda Rasulullah SAW, 'Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.”

Terdiam saya pada waktu itu. Ternyata lelaki tukang rumah di hadapan saya ini adalah seorang yang tahu hadis. Lelaki itu tidak berhenti di situ dan terus sahaja dia menyambung.

“Adakah kamu fikir Nabi Muhammad SAW diutuskan bagi menyampaikan sesuatu yang hanya terhad pada zamannya? Pastinya tidak dan itulah ciri-ciri akhlak yang disampaikan oleh Nabi junjungan kita. Ia bersifat sempurna, mutlak dan tetap. Ia jauh lebih tinggi daripada moral dan etika yang bersifat sementara, relatif dan subjektif.

"Menurut Imam Ghazali, akhlak yang baik itu terdiri daripada empat perkara, iaitu, bijaksana, memelihara diri daripada sesuatu yang tidak baik, keberanian dalam menundukkan hawa nafsu dan adil.

“Lihat betapa 'luasnya' akhlak itu. Ini belum lagi kita bercerita berkenaan akhlak kepada manusia dan akhlak kepada Allah. Daripada situ sahaja, sekiranya kamu mahu berfikir kamu dapat melihat betapa besarnya tuntutan memperelokkan akhlak itu. Sehingga Rasulullah SAW bersabda. “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

“Itulah akhlak dan sekiranya sahaja perkara berkenaan akhlak itu kita sentiasa berazam menjaga dan mempereloknya, insya-Allah apa sahaja yang mahu kita perbuat akan menjadi yang baik-baik. Insya-Allah.”

Waktu itu saya sedar berkenaan sesuatu tentang diri saya. Saya terlupa berkenaan perkara yang bermaksud 'keutamaan'. Ya, saya sebagai orang Islam, perlu melihat diri saya sebagai orang Islam dan mengutamakan kehendak Islam. Selepas itu automatik dan semulajadi, saya akan mengutamakan diri saya sebagai seorang anak, seorang pelajar, seorang pekerja, dan apa sahaja.

Semua itu bermula daripada soalan, bagaimana caranya saya mahu memperindahkan akhlak saya?

Saturday, January 01, 2011

cinta di dalam bilik kaca

“Jangan sesekali mengejar orang yang sudah masuk ke dalam bilik kaca.”

Itu adalah nasihat yang saya anggap sebagai kata-kata yang bersifat simbol. Pastinya ia kata-kata untuk simbol cinta. Ia membawa maksud jangan mengejar seseorang yang kamu boleh lihat, mampu dengar suaranya tetapi tidak akan sesekali kamu mampu sentuh.

Itu keyakinan saya kerana orang bercinta memang banyak simbolnya. Bulan boleh sahaja menjadi wajah kekasih hatinya, bintang utara pula diumpamakan seperti dirinya. Dia sebagai bintang utara duduk setia di sisi bulan, menjaga dan terus memerhati sampai mati.

Lalu dengan berfikiran bahawa nasihat itu cuma simbol atau kata-kata yang letaknya pada permukaan, saya tidak sesekali meletakkan nasihat itu dalam hati. Iyalah, untuk orang yang sudah bergelar suami, sudah mempunyai wanita yang halal untuknya, untuk apa lagi mengejar orang berada di dalam bilik kaca?

Itulah yang saya fikir sehinggalah pada suatu pagi. Nasihat itu akhirnya betul-betul menghempap hati. Semuanya bermula dengan kisah isteri saya juga. Dia seorang yang bekerjaya di seberang laut dan bersama dia adalah anak perempuan tunggal saya. Lalu pada pagi yang hening, saya menghantar mereka ke lapangan terbang demi kerjayanya..

Awalnya semuanya berlangsung seperti biasa. Antara saya dan isteri, saling memberi ucap selamat, saling memberi pelukan kasih. Untuk anak perempuan saya pula, saya memeluknya lebih erat dan menciumnya dengan lebih kerap dan itulah yang berlaku dengan tenang sehinggalah mereka melangkah pergi dari saya.

Biasanya, saya hanya berdiri memerhatikan mereka sambil berlambai tangan. Namun pada pagi itu, saya mahu mencuba sesuatu yang baru. Saya mengejar mereka. Saya mengikuti langkah mereka dan pada pada waktu itulah hati saya teruji apabila mereka memasuki ruangan yang berdindingkan kaca.

Anak perempuan saya memandang saya. Dia tersenyum lalu menampakkan gigi halus dan lesung pipit ceteknya. Tidak cukup dengan itu, dia menepuk-nepuk pula dinding bilik kaca. Waktu itu saya benar-benar mahu memeluknya, saya mahu menciumnya namun dia sudah berada di dalam bilik kaca.....

Allah sahaja yang tahu betapa peritnya hati dan panasnya mata saya.

Pagi itulah saya belajar sesuatu berkenaan nasihat. Nasihat mampu menjadi simbol dan ia juga mampu menjadi sesuatu yang terus kepada maksud. Semoga pada tahun baru ini, saya mampu sentiasa melihat sesuatu itu daripada dua sisi. Sisinya sebagai simbol dan sisi yang terus kepada maksud.

Untuk permulaannya, saya sangat mengerti cinta di dalam bilik kaca itu sememangnya sangat menyeksa. Sama ada ia dilihat pada sisinya sebagai simbol ataupun pada sisinya sebagai maksud yang terus.