Wednesday, September 22, 2010

Manusia yang mengaku cinta menulis.

Jalan di belakang.

Lama saya tidak bercerita berkenaan sesuatu. Bukanlah tidak ada kisah, kerana pengalaman hidup ini masih banyak yang belum ditiup-tiup, seperti debu tebal pada tingkap rumah pusaka. Masih pekat dan elok nian dibuat batuk dan bersin.

Begitulah jalan hidup ini, cukup berliku dan bersimpang siur halanya. Banyak waktu terpaksa berhenti untuk memandang ke hadapan dan merenung-renung jalan yang betul. Namun yang pasti, akan ada lebih banyak waktu untuk berhenti, bukan untuk memandang ke hadapan, tetapi untuk berpaling ke belakang. Melihat kembali jalan-jalan yang pernah digagahi. Apakah jalan yang bahagia ataupun jalan yang membawa luka.

Itulah saya, berhenti lama hanya untuk memandang jalan yang selama ini saya tempuh. Diakui dengan penuh dengan rasa rendah hati, saya segan melihat jalan yang pernah saya jejaki. Mengaku menjadi manusia yang cinta menulis, saya adalah manusia yang pernah menuliskan banyak perkara yang membuat dosa kepada diri, dan lebih membuat saya takut dan malu, saya pernah menuliskan dosa yang berantai-rantai sesama manusia.

Itulah saya, manusia yang kurang ilmunya. Itulah mungkin yang terpamer pada tulisan saya. Tidak mampu saya menuliskan watak utama yang pandai agama yang sangat sempurna. Yang basah lidahnya dengan hafalan ayat suci atau lunak suaranya membacakan hadis. Watak-watak saya adalah lelaki yang sangat biasa yang kurang ilmu agama, yang masih samar matanya dan mahu mencari Islam dalam dirinya. Betullah, kata bijak pandai, tidak banyak, mungkin ada sedikit berkenaan tentang diri kita ataupun pengalaman kita yang kita akan tulis berkali-kali.

Malu juga saya, kerana saya ini yang mengaku sebagai manusia yang cinta menulis, tidak mampu menulis pemikiran besar berkenaan masalah umat, paling tidak, saya juga tidak mampu menulis berkenaan masalah orang lain. Saya cuma menuliskan berkenaan diri sendiri, orang yang mencari Islam dalam dirinya. Berlikunya jalan manusia yang kurang ilmu seperti saya. Namun yang membuatkan saya semakin malu, saya masih mampu bermegah pula dengan perkara yang tidak layak itu.

Pada waktu saya berhenti dan memandang jauh ke belakang, sebetulnya saya terpandang kisah seorang teman saya. Kisah yang bermula dengan berjabat tangan.

Lelaki di jeti.

Teman saya itu, bukan teman saya yang rapat. Dia cuma teman sekelas sejak dari darjah satu sampai darjah enam. Atas diri dia, saya punyai banyak kelebihan. Ayah teman saya itu lebih miskin daripada ayah saya, dan paling malang, otak teman saya itu sangat sedikit pandainya berbanding otak saya.

Itulah hidup yang saya dan dia lalui. Saya ibarat serigala di dalam kandang musang. Jadilah teman saya itu malu-malu dengan saya dan tidak mampu berkata tidak dengan apa sahaja suruhan saya.

Lagilah malang teman saya itu, kerana belum lagi sempat dia mencium bau kertas ujian PMR, dia sudah berhenti belajar. Namun tidak sulit bagi menerima baik keputusan itu kerana sudahlah ayah teman saya itu miskin, malah ayahnya juga sudah dijemput Tuhan. Tidak ada harapan lain selain berhenti.

Keputusan teman saya itu semakin terasa ringan kerana dalam pelajaran dia bukanlah pelajar garis atas, dan pada waktu itu dia percaya yang hidupnya tidak akan ada bezanya sekalipun dia ada sijil PMR dan SPM. Pada waktu itulah, saya masih ingat lagi, saya berjabat tangan kali terakhir dengan teman saya itu sebagai dua orang pelajar sekolah yang masih lembut ubun-ubun ilmunya dan masih lembut tapak tangannya.

Kehidupan pun terus berlangsung, dan saya tidak lagi mendengar apa-apa cerita tentang teman saya yang terlupakan itu. Saya terus bersekolah dan menyerahkan hidup bulat-bulat kepada takdir tanpa saya sedar yang takdir itu boleh dibentuk-bentuk seperti mengukir kayu. Mujur, Tuhan mahukan saya menjadi orang kampung yang memasuki universiti. Jadilah saya pelajar universiti yang gembira kerana ada duit PTPTN dan semakin gembira pada saat cuti semester, saya pulang ke kampung dengan megah sehingga Tuhan menemukan saya kembali dengan teman saya itu di sebuah jeti.

Tangan ke hati.

Liku hidup teman saya yang tidak rapat itu, berbeza daripada saya, seperti berbezanya mukjizat nabi dan ilmu sihir para penyihir. Teman saya berjuang membentuk takdirnya, namun jalannya seribu kali jauh lebih berliku daripada saya.

Dia bekerja menjadi kuli di kedai Cina. Sekiranya kuli batak itu kuli yang paling kasar, teman saya itu mungkin sama ataupun di bawah sedikit daripada kuli batak. Kerjanya rencam dan segala perkara yang membabitkan peluh dan tulang keras di kedai Cina itu, pasti diberikan kepada teman saya itu.

Pada hari itu, teman saya berada di jeti, menghantar minyak petrol untuk bot ekspres yang mahu ke bandar. Minyak petrol yang diisi di dalam tong besi yang berat, diletakkan pula di atas kereta tarik. Kereta itu ditarik dengan tenaga manusia, atau lebih tepatnya, ditarik oleh teman saya.

Saya waktu itu masih membawa kemegahan saya sebagai manusia yang dibiayai oleh PTPTN. Saya berdiri di hadapannya dan tersenyum megah dan teman saya itu pula membalas dengan senyuman yang saya yakin, ia seperti senyuman orang Afrika yang sedang menuangkan air kopi untuk tuannya. Senyuman yang getir.

Tidak lama untuk bersikap mesra dengannya kerana waktu itu, saya cukup percaya diri. Saya yang mula-mula menghulurkan tangan kepadanya bagi bersalaman dan pada saat tangan kami menyatu erat, pada saat itulah, megah saya runtuh. Pada saat itulah saya seperti burung layang-layang yang dilanggar ribut. Mahu jatuh, tetapi tetap berusaha terbang dan akhirnya tetap juga terpaksa hinggap pada dahan yang juga mahu patah.

Pada saat tangan kami bersentuhan erat itu, saya dibawa ke dalam dunia yang bertentangan dengan apa yang saya ada pada waktu itu. Saya dibawa masuk ke dalam dunia teman saya. Semuanya kerana, saya dengan sangat sedar, tapak tangan teman saya itu sangat kasar. Belum pernah saya bersalaman dengan orang yang sekasar itu tapak tangannya. Sedangkan dahulu tapak tangannya lembut dan halus, sama seperti saya.

Saya betul-betul tersentak. Pada waktu itu saya sedar, betapa beruntungnya saya menjadi orang kampung yang masuk universiti tetapi adakah saya sudah cukup bersyukur? Rasanya, tidak kerana saya sebelum itu masih megah dengan status yang tidak seberapa itu.

Namun itu cuma permulaan, ibarat bola penalti yang baru diletakkan di hadapan pintu gol. Kata-kata teman saya nanti yang akan menyempurnakan tendangan bola itu ke dalam hati saya.

Katanya, “Bersyukurlah tangan kamu masih lembut dan kamu ada banyak ruang bagi merebut peluang. Namun, bersyukur bukan sekadar pada kata-kata tetapi kamu perlu menjalankan syukur itu. Menjalankan syukur itu adalah dengan menjalankan peranan kita dengan melakukan yang terbaik ataupun memberikan yang terbaik. Jadilah anak yang baik, jadilah pelajar yang baik dan jadilah manusia yang baik. Jadi, jaga hati kamu. Jangan benarkan sebarang kata-kata yang akan membuatkan kamu berhenti daripada melakukan yang terbaik daripada memasuki hati kamu. Jangan lengah pada pujian dan jangan pula resah pada makian. Itu hanya membuatkan kamu berhenti daripada menjalankan syukur.”

Saya waktu itu sebenarnya keliru, kerana tiba-tiba sahaja dia berkata begitu. Tidak lama saya keliru kerana teman saya itu ketawa kecil sambil menjelaskan, “Saya sebenarnya menasihatkan dan memperingatkan diri saya sendiri tetapi agak aneh pula sekiranya saya berkata seorang diri di atas jeti ini. Saya perlu menjalankan syukur dan saya perlu melakukan yang terbaik walaupun saya cuma seorang kuli.”

Menjalankan syukur.

Mengingat kembali perkara itu dan merenung kembali pada jalan yang bersimpang siur di hadapan, saya mampu berkata kepada diri saya, saya tetap perlu melakukan yang terbaik dan saya tetap perlu memberikan yang terbaik walau siapapun diri saya. Saya tidak boleh dan mampu lagi berhenti lama-lama kerana saya harus menjalankan syukur sebagai manusia yang mengaku cinta menulis.

Penafian: Ini adalah fiksyen namun walaupun fiksyen pasti saya secara sedar ataupun tidak, tetap menyelitkan sesuatu tentang diri saya dan juga orang di sekitar saya.

5 comments:

Khair Zawawi said...

Indah sekali susunan kata-kata.
Suka kisah ini ♥

inar said...

anda mmg seorg penulis.. ^_^

frwls said...

benar, memang ada disisipkan sedikit kisah setiap kali kita menulis.

sha83@kaizer said...

yang pasti tanpa sisipan daripada kehidupan realiti sudah pasti ia cuma sekadar dongengan untuk si anak-anak yang ingin ditidurkan oleh ibunya...

lebih indah lagi jika sebuah cerita itu yang dasarnya bersandarkan pada hakikatnya sebuah realiti kehidupan namun dihiasi dengan perhiasan-perhiasan lainnya ...

Anonymous said...

babe naked [url=http://digg.com/celebrity/Lindsay_Lohan_Maximum_Sexy] nude sex scene[/url] fre naked pictures