Friday, March 12, 2010

saat langit itu tersenyum

Langit saya.

Berkisah berkenaan langit, saya suka kembali pada masa lalu saya. Hanya pada waktu itu, langit sepertinya kisah puteri yang berubah rupa daripada angsa. Penuh cinta dan mengkhayalkan. Seumpama misteri yang tenteram tidak terusik, untuk ribuan tahun.

Langit ibu dan ayah.

Saya ingat lagi, pada waktu kecil saya, saya pernah bertanyakan ibu, apa rasanya memegang pelangi? Ibu tidak menjawab, hanya tersenyum bahagia lalu memeluk tubuh saya yang halus. Saya tidak mampu mengerti jawapan sebegitu, jawapan yang tidak mampu berjalan di lorong-lorong akal saya.

Saya ingat juga, pada waktu saya masih kecil, saya pernah bertanyakan kepada ayah, apakah ada cara untuk saya menyentuh langit biru? Ayah tidak seperti ibu yang tersenyum. Dia menatap diam, dan matanya seperti berbicara sesuatu yang saya tidak mengerti. Ayah kemudiannya meletakkan punggung halus saya di bahunya yang pejal, dan yang saya masih ingat, semakin kuat saya ketawa, semakin laju ayah membawa.

Itu semua ingatan yang membawa fikiran saya kepada langit. Tidak sekalipun pada saat saya menatap langit, saya terlupa perkara itu. Namun, saya tidak mampu menyedari erti jawapan-jawapan daripada masa lalu saya. Sehingga saya bertemu dia, seorang teman yang saya tidak mampu baca wajahnya, ketika dia menatap langit.

Langit teman.

Tanpa saya bertanya apa-apa, bicaranya melungsur sendiri. Katanya, “Manusia itu makhluk yang berfikir. Semua kita tahu, kita mampu berfikir, tetapi tidak ramai antara kita yang tahu, manusia itu perlukan bantuan bagi berfikir. Sama seperti sang algojo yang perlukan alat bagi membunuh.”

Lidah saya seperti terkilir. Kata-kata saya tergulung sepi di dalam dada. Mahu saya bertanya tetapi agak sedikit besar risikonya, saya menghilangkan semangatnya yang jelas masih mahu bicara.

“Begitu juga saya. Langit adalah alat bantu saya berfikir. Pada saat saya menatap awan yang bergulung, ego saya lungsur. Pada saat saya merenung langit yang biru, aroma takut saya menyeruak. Pada semua saat itu, fikiran saya didesak-desak bagi memikirkan hanya satu, iaitu betapa besarnya Dia.”

Dia tersenyum bahagia. Saya pula tergesa-gesa mengambil hikmah daripada kata-katanya. Sedaya upaya saya cuba membenamkan hikmah daripada kata-katanya ke dalam hati saya dan ternyata, teman saya itu belum lagi usai ceritanya.

“Kamu mahu tahu, menatap langit juga, membuatkan saya bahagia. Membuatkan semangat saya berhamburan tinggi, kerana langit itu mengisi hati saya.”

Akhirnya pada saat itu terpelesat juga tanya daripada saya, “Apa yang langit itu isi?”

Segera pipinya berona saga, dipadu bersama senyumannya yang girang tidak kepalang. Sambil menatap langit dia berkata, “Langit itu adalah harapan dan langit mengisi hati saya dengan harapan. Apabila menatap langit, saya sedar, Tuhan menciptakannya supaya manusia tidak mampu mengukur luasnya, kerana Tuhan mahu manusia tahu, yang harapan itu juga adalah sesuatu yang tidak terbatas, selagi mana langit itu sendiri belum runtuh. Tetapi tentu sahaja Tuhan mahu kita berfikir sendiri berkenaan perkara itu, melalui langit yang tersenyum dan awan yang menatap.”

Saya diam, sekonyong-konyong, saya sedar bahawa saya sudah sedikit mengerti maksud jawapan-jawapan dari masa lalu saya. Jawapan daripada ibu saya yang tersenyum bahagia, dan jawapan daripada tatapan ayah saya yang diam.

Semuanya kerana diri saya. Mereka tidak sanggup mengatakan saya tidak mampu memegang pelangi, dan mereka tidak sanggup mengatakan saya tidak mampu menyentuh langit yang biru, kerana saya untuk mereka, adalah harapan yang mengisi hati. Terlalu awal mengatakan tidak bagi harapan yang baru tumbuh seperti saya. Semoga, tidak pula terlalu akhir untuk saya betul-betul menjadi harapan seperti yang mereka mahu.

Langit manusia

Itulah kisah daripada langit. Kisah yang membuatkan saya rindu kepada pelangi dan langit biru yang saya tahu semasa kecil. Sebuah kisah yang membuatkan saya berdoa, semoga sahaja teman saya itu, tetap tersenyum menatap langit dan semoga juga, manusia mengerti pada saat langit itu tersenyum.

4 comments:

rahmahmokhtaruddin said...

salam

yeay, ada ilmu lagi! ^_^

mohon tanya, terkilir = terkelu kah?

Anonymous said...

Salam Cikpuan Rahmah.

Terkilir = terkehel, tergeliat, terkehel. Ia metafora. haha

|dingin|

Kak WL said...

Apakah laut skadar meniru warna langit? :)

Selamat hari Jumaat Cik Din.

Kak WL

namoyaki said...

dan aku berada di bawah langit bahau,
langit bahau juga adalah langit yang tidak pernah dusta kepada perjanjiannya,