Friday, August 28, 2009

Dunia Buku: Adi Gempa: Evolusi

*Sebenarnya, saya orang Samarahan. :)

Manusia uji kaji jadi rebutan Amerika, Russia

ADI Gempa: Evolusi karya Bahruddin Bekri membawa pembaca menelusuri kisah manusia uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa hasil konspirasi pertubuhan sulit Amerika dalam percubaan mereka untuk menguasai dunia, tetapi terhalang apabila ada pihak yang membangkang niat jahat itu.

Novel pertama percubaan pengarang ini dalam genre aksi fiksyen sains atau Sai Fai dimulai dengan penemuan logam hitam dipercayai tahi bintang yang jatuh terhempas di kawasan terpencil di Russia, hampir 100 tahun lalu dan Amerika merancang menghasilkan sesuatu yang dahsyat bagi merealisasikan impian menguasai dunia.

Tidak mahu terbabit dengan rancangan jahat itu, Prof Ashraf bersama-sama 10 manusia uji kaji melarikan diri dan sempat membebaskan 100 sejenis dengannya, sebelum lari bertebaran di serata pelosok dunia manakala Prof Ashraf memilih menyembunyikan diri di Malaysia dengan membawa dua manusia uji kaji, Amin dan Hadi.

Bagaimanapun, Hadi yang masih bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah dan pada usia 12 tahun menjalani kehidupan normal di samping Puan Maimun dan Pak Ali di sebuah kampung, tanpa disedari memiliki kekuatan luar biasa iaitu dapat mengesan gempa bumi serta menghasilkan gegaran.

Prof Ashraf kembali menjejaki Hadi dan memerhati perkembangan serta gerak gerinya sehingga dapat mengesan adanya kaitan antara Hadi dan kejadian gempa bumi di samping membongkar hubung kait di antara Hadi dengan perancangan sulit Amerika terungkai.

Tokoh itu turut membongkar eksperimen berlabel Boy I yang lahir daripada ‘Projek Manusia Uji kaji’ dan satu daripadanya ialah Hadi selain Prof Ashraf cuba membantu pemuda terbabit mengguna serta mengawal kuasanya yang sangat berguna untuk mengesan gempa bumi bagi menyelamatkan dunia serta beribu nyawa.

Penulis mengangkat Hadi sebagai hero yang menjadi rebutan Amerika dan Russia kerana kekuatan yang dimilikinya itu akan membawa keuntungan kepada mereka, meskipun hakikatnya Hadi masih tidak dapat menggunakan kuasa sepenuhnya.

Penulis bagaikan membawa pembaca menonton siri komik super hero apabila muncul lebih ramai manusia

uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa dan setiap daripada mereka memiliki kehebatan tersendiri selain kebijaksanaannya menyusun plot dengan baik berjaya menambat tumpuan pembaca.

Selain Amin yang memiliki kuasa angin, Hadi turut bertemu dengan Man-7 atau dikenali sebagai Tokoh X, antara manusia uji kaji terkuat dan banyak kuasa hebat yang antaranya mampu mengeluarkan sinaran seolah-olah logam hitam, kuasa teleport dan kuasa ais.

Plot cerita menjadi semakin menarik serta menimbulkan debaran kepada pembaca apabila wakil Amerika yang diketuai Prof William, mula memburu Hadi dan Prof Ashraf manakala Prof Mashkadov mewakili Russia pula berusaha melindungi Hadi.

Keadaan menjadi lebih sulit apabila Prof Maskadov, Prof Ashraf dan Hadi diculik oleh Amerik, manakala Jeneral Kashparov pula berusaha mengatur rancangan dengan mengumpul barisan tenaga yang kuat untuk menyelamatkan kelompok yang diwakilinya.

Pergelutan demi pergelutan berlaku bagi memusnahkan pihak lawan masing-masing, tetapi kekuatan dan kelicikan kelompok Amerika dengan barisan tentera skuad pengawal gelap dan skuad pembunuh gelap, menyukarkan usaha menumpaskan mereka.

Baik kelompok Amerika mahupun Russia, masing-masing mengeluarkan senjata dan kekuatan bagi melawan serta mempertahankan diri, pelbagai makhluk yang mempunyai kuasa luar biasa turut muncul dalam memperkukuhkan serangan sehingga pembaca terdorong menyudahkan bacaan.

Bagaimanakah nasib Prof Ashraf dan Hadi serta apakah tujuan sebenar Prof Mashkadov yang juga orang kanan Prof William, tetapi akhirnya membelot serta berjayakah pihak Amerika ditumpaskan akan diketahui dengan membaca sendiri novel setebal 331 halaman berharga RM19.00 senaskhah ini.

INFO: Adi Gempa: Evolusi

  • Pengarang: Bahruddin Bekri
  • Tebal: 331 halaman
  • Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd
  • Harga: RM 19.00 senaskhah
  • Bintang: ****


Lulusan ekonomi pilih penulisan kreatif

MOHAMAD Bahruddin Mohamad Bekri berasal dari Kuching, dilahirkan pada 11 Januari 1981 mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Iboi, sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semera, Sarawak.

Pemegang Ijazah Muda Ekonomi ini menulis sejak di sekolah, kemudian menjadikan blog sebagai medan bereksperimen dan walaupun baru dua tahun menulis novel, enam sudah diterbitkan iaitu Doa Untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil, Detektif Bertudung Hitam, Puisi Untuk Nadina, Perang Kucing dan Adi Gempa.

Adi Gempa adalah percubaan pertamanya menulis novel berbentuk aksi fiksyen sains, Sai Fai kerana sebelum ini, Mohamad Bahruddin selesa dengan genre komedi kehidupan, tetapi tetap berazam untuk menulis sekual Adi Gempa selain pernah mencuba bakat dalam genre cerpen dan novel remaja

Beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat logistik dan bekerja sementara di bawah Skim Kerajaan, kemudian bekerja secara bebas dalam menyusun reka letak buku, mengedit buku mahupun novel dan kini bekerja sebagai Editor di PTS Litera Utama Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Berbanding novel, beliau lebih selesa menulis di blog kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain boleh bersikap jujur di samping bereksperimen dengan pelbagai gaya penulisan

Tuesday, August 25, 2009

Langit Ramadhan.

Hati yang mendung.
Hati saya dan langit seperti sudah sepakat, untuk menjadi muram dan hitam, pada petang itu. Tidak sering saya begitu, namun pada saat ia terjadi, sesal saya tidak akan surut, sampai bila-bila.

Semuanya kerana saya tidak bersedia, untuk melihat hal yang sederhana itu sebagai hal yang besar. Menghampakan, untuk saya memperoleh pandangan sebegitu.

Lelaki pesona.
Dia termasuk dalam keluarga saya yang dekat. Pangkatnya sebagai abang kepada nenek saya. Dia lelaki yang banyak kisah menakjubkan untuk saya dengari. Bermula dengan kisahnya semasa masih di Sulawesi, masih berambut panjang menentang belanda. Hingga pada kisahnya yang membuat bulu roma saya berdiri, dia mencabar lembaga hitam tinggi yang menghadang jalannya. Kisah-kisahnya itu, tidak sekali pun membuat hati saya merinding dengan soalan, kerana untuk saya, dia adalah lelaki yang penuh pesona.

Duduknya jauh dari kami, duduknya di ulu. Jalan ke rumah orennya berliku dan harus menempuhi jalan yang diceritakannya, pernah dihadang oleh lembaga hitam yang tingginya menjulang. Jalan yang sunyi, penuh pokok-pokok liar.

Atas sebab itu, saya sangat jarang untuk ke rumahnya, hanya kerana saya takut untuk bertemu dengan lembaga hitam yang tinggi menjulang. Tanpa saya tahu, takut saya itu bukan apa-apa, sekiranya mahu dibanding dengan hal yang sederhana itu.

Ramadhan.
Pada zaman 80-an, Ramadhan di kampung saya adalah sesuatu yang cukup luar biasa untuk saya. Pada saat Ramadhan itu tiba, saya dapat merasakan udaranya berbeza, cahaya mataharinya juga berbeza, dan segala-galanya cukup berbeza. Waktu itu, walaupun tanpa bazar Ramadhan, saya tetap tahu itu adalah Ramadhan.

Ramadhan pada waktu itu adalah waktu yang paling nyaman. Waktu itu walaupun puasa, saya tidak letih untuk ke kedai Cina membeli blok ais untuk dicampur dengan air kelapa. Air kelapa yang dicampur dengan perahan limau dan sedikit pati sirap, membuat air kelapa itu berwarna merah jambu dan memberi rasa manis yang luar biasa.

Pada waktu malamnya pula, walaupun terpaksa berjalan kaki dengan lampu suluh yang malap, dan terkadang dengan pelita bersumbu besar sekiranya bateri habis, kami tetap ke masjid dengan rasa gembira. Terkadang, apabila minyak pelita habis di tengah jalan, terpaksa membakar daun pisang kering, dan ia menjadi suar selama beberapa minit. Cukup untuk beberapa langkah sebelum terpaksa berhenti lagi untuk membakar daun pisang kering yang lain.

Pada malam selepas terawih itulah saya mendengarkan permintaan sederhana itu, permintaan yang saya tidak bersedia untuk memasang wajah yang tersenyum bersedia. Permintaan yang hingga kini masih berlegar-legar dalam kepala.


Silaturahim
Pada suatu malam yang berbintang, ayah saya mengajak saya ke rumah datuk saudara saya itu. Kata ayah saya, “Kita pergi untuk silaturahim.”

Mendengar itu, saya hanya tersenyum. Pada malam Ramadhan, saya lebih suka bermain bunga api dengan sepupu-sepupu saya. Bermain mercun hingga bawah rumah saya bertaburan dengan kertas-kertas yang berwarna-warni. Sekiranya tidak begitu, saya lebih suka duduk di rumah yang waktu itu sudah ada generator, menonton televisyen hingga generator mati sebelum pukul 10 malam. Tetapi untuk berjalan ke rumah datuk saudara saya yang jalannya ada lembaga hitam yang menjulang, adalah perkara terakhir yang akan saya buat.

“Tunggu hari raya nanti,” jawab saya untuk ayah saya, lalu dengan pantas berlarian keluar masjid, berjalan ramai-ramai dengan teman saya, membelah gelapnya kampung dengan bunga api dan mercun.

Malam itu, saya tidak pernah tahu, permintaan sederhana ayah saya itu, adalah permintaan yang sangat saya sesali.

Tuhan.
Dua hari selepas itu, semasa Ramadhan sudah menjelang senja, ayah saya berlari pantas menuju ke rumah dengan wajah yang merah. Lekas dia bertanya, “Di mana ibu mu?”

Saya memberitahu ibu sedang sibuk membelek-belek majalah yang dikirim sepupu saya dibandar, kerana di dalamnya ada resepi baru untuk biskut raya. Kemudian saya pula bertanya, “Mengapa?”

Ayah saya dengan wajah yang merah kerana berlari memberitahu dengan suara yang ditahan-tahan, “Datuk saudara mu sudah pergi meninggalkan kita.”

Saya, waktu itu masih belum baligh, namun saya tetap tahu maknanya perkara itu. Tidak saya sedar betapa lama saya menangis. Permintaan ayah saya yang sederhana, beberapa malam lepas kembali berlegar dalam kepala.

Kini.
Pada saat Ramadan ini tiba, saya tidak mahu salah lagi dalam hal yang sederhana. Walaupun kisah ini boleh sahaja terjadi dalam bulan apa pun, tetapi, saya tetap sesal kerana pernah menyebut, “Tunggu hari raya nanti.”

Jadi, saya tidak mahu lagi mengatakan hal itu dan di sini saya hanya mahu berkata yang sederhana, di bulan Ramadan ini, “Maafkan semua salah saya, yang sedar mahupun tidak, kerana takut, kita tidak akan ada untuk 1 Syawal nanti.”

Friday, August 14, 2009

Daripada Hamka, ke Micheal Jackson.

Hamka
Kata Hamka, untuk menjadi pengarang adalah bukan dengan banyak mengarang, tetapi adalah dengan banyak membaca. Namun hal itu sering kali sulit untuk saya, apatah lagi apabila ramainya teman yang punyai ketetapan pendapat, meminta pendapat saya sebagai pembaca, berkenaan apa yang saya baca.

Soalan-soalan mereka, “Apa pendapat kamu tentang novel picisan, apa pendapat kamu tentang novel cinta, apa pendapat kamu tentang novel sastera, apa pendapat kamu tentang novel cinta Islami, apa pendapat kamu.....”

Senarainya tidak pernah akan kurang, dan saya sering termangu-mangu, bagaimana saya hendak memberikan pendapat, sekiranya yang bertanya itu sudah menetapkan pendapatnya sejak soalan itu belum wujud? Tidak mungkin, dan akhirnya, saya hanya akan tersenyum, diam dan menjadi manusia kecil.

Cuma sahaja, sekiranya mereka yang bertanya itu mahu membaca kisah ini, saya sangat gembira, kerana berbanding memberi pendapat, saya lebih gemar menunjukkan sikap, dan sikap yang tidak luntur itu, diwarnakan elok daripada kisah ini.

Hormat
Mengernyitkan alis untuk perkara yang saya tidak setuju, dengan niat mahu merendah-rendah, adalah perkara yang sukar. Namun untuk tersenyum sambil bersenandung kecil dengan niat tidak mahu menghormati adalah perkara yang mudah. Tanpa sedar, bila-bila masa, pada detik siang mahupun malam, pasti tidak ada yang mampu menahan.

Mudah untuk hilang hormat pada apa yang dilihat di televisyen, pada apa yang renung di depan mata dan pada apa yang dibaca. Tidak merendah-rendah, namun tidak hormat atas jutaan alasan yang sepertinya jatuh dari langit.

Tidak sekalipun saya cuba bertanya mengapa saya hilang hormat. Tidak sekalipun. Namun, pada suatu hari yang menyenangkan, akhirnya saya mengerti sesuatu berkenaan hal itu, sesuatu berkenaan hormat, dan saya mengerti dengan hati yang lungsur.

Lelaki
Di kampung saya yang makmur itu, sebenarnya tidak ada apa-apa keindahan untuk kita benamkan perasaan takjub. Jika ada pun, mungkin pada hijaunya daun kelapa, dan merdunya kicau burung. Lalu, masa penduduk kampung saya, lebih banyak pada usaha di kebun kelapa, kerana hanya itu sahaja yang indah.

Di suatu tempat, di suatu kebun kelapa yang jauh dari rumah saya, ada seorang lelaki yang tinggal dengan anaknya yang istimewa, anak Sindrom Down. Dia lelaki yang tabah, sentiasa berusaha membahagiakan keluarga dengan titik peluhnya. Tidak lokek dengan senyuman dan tatapannya cukup meneduhkan hati.

Selain anaknya yang istimewa itu, hal yang saya sangat kenang tentang lelaki itu adalah, kebenciannya. Kebencian yang dikongsi bersama oleh kebanyakan penduduk kampung saya. Namun, sekiranya kebencian itu punyai raja, dia adalah rajanya. Bencinya tidak pernah tersisa, tanpa dia tahu bencinya itu hanya membawanya pada erti kehilangan.

Micheal Jackson
Waktu itu, Micheal Jackson sudah mengusai dunia, namun di kampung saya, yang masih kental dengan irama P. Ramlee dan Ahmad Jais, Micheal Jackson itu adalah ibarat melihat langit yang gelap. Tidak memberi harapan, jauh sekali mengalirkan senyuman.

Itu, dapat saya fahami, kerana semuanya berkait soal selera. Di kampung saya yang keindahannya hanya pada kelapa hijau dan kicaunya burung, soal selera adalah hal yang dijunjung. Tidak boleh ditukar cara pandangnya dan sekiranya bertentangan, akan dilawan, malah dibenci.

Micheal Jackson, menjadi mangsa. Orang kampung saya, yang seleranya P.Ramlee dan Ahmad Jais, membenci Micheal Jackson atas nama selera. Manusia yang paling membencinya adalah lelaki yang punyai anak istimewa itu, kerana dia adalah juara pertandingan lagu-lagu lama, dan dia adalah peminat nombor satu Ahmad Jais.

Bencinya tiada banding. Hingga tidak ragu-ragu mengatakan Michelas Jackson itu setan yang merasuk, dan punyai niat jahat. Kamu juga akan dimarah tanpa segan-segan sekiranya berani memutarkan kaset Micheal Jackson di depannya. Dimarah sehingga kamu terasa mahu mengeluarkan air mata.

Itu yang saya ingat dalam kepala, namun Tuhan itu maha adil dan maha tahu. Tanpa saya tahu, tanpa dia tahu, dan tanpa Micheal Jackson tahu, ada cerita perih yang akan terjadi, selepas bertahun-tahun.

Sindrown Down

Kali terakhir saya melihat, juara lagu-lagu lama itu menangis adalah pada saat anaknya yang Sindrown Down itu kembali menemui Tuhan, beberapa tahun yang lalu. Tangisnya tidak bernada, namun getarnya pada wajahnya, mencucuk-cucuk hati. Saya yang hanya menatap dari jauh, ikut sebak melihat wajah juara lagu-lagu lama itu, lelaki yang sentiasa cuba membahagiakan keluarga. Saya sentiasa berfikir, itu adalah kali terakhir dia akan menangis dan tanpa saya menjangka, saya melihatnya menangis lagi pada tahun ini.

Saya melihatnya menitik air mata, pada saat yang paling tidak saya duga. Pada saat matinya sang raja pop, Micheal Jackson. Dia waktu itu menitik air mata semasa melihat acara peringatan sang raja pop itu. Saya menahan nafas lalu bertanya, mengapa?

Dia dengan suara yang masih sebak, namun sudah tidak sanggup mengangkat kepala, tetap menjawab, walau gugupnya sangat jelas.

“Kamu tahu, anak saya adalah anak yang istimewa. Tidak ada apa yang membahagiakan anak saya, selain mendengarkan lagu-lagu Micheal Jackson. Anak saya menjadi gembira, cerdas dan sangat bahagia. Saya ikut bahagia melihat anak saya.

Pada saat itu saya mengerti tentang diri saya, mungkin selera saya tidak sealiran dengan Micheal Jackson, mungkin saya tidak menyukainya, malah membencinya. Namun, saya tahu, saya tetap perlu menghormati dia, kerana walau dia tidak memberikan bahagia untuk saya, setidak-tidaknya dia memberikan bahagia untuk orang yang sangat saya sayang. Lalu bahagia apa lagi yang saya dapat peroleh selain melihat bahagianya orang yang saya sayang?”

Saya diam, namun tersentak. Kata-kata lelaki itu membuat saya melihat diri saya.

Membaca
Saya cukup yakin, setiap manusia itu berbeza, dan malah memang sengaja diciptakan berbeza-beza oleh Tuhan. Lalu sangat mudah untuk memberitahu setiap manusia itu punyai selera bacaan tersendiri, punyai selera tulisan yang sudah sebati. Berbeza-beza. Juga niat setiap pembaca juga adalah berbeza-beza. Ada yang mahu meninggikan daya fikirnya, ada yang mahu sekadar merehat minda, ada yang mahu menyentuh jiwa, dan senarainya tidak pernah akan habis.

Setiap apa yang saya baca, sekiranya saya tidak suka, saya lebih gemar untuk marah-marah sendiri kerana tersalah pilih, kerana boleh sahaja saya memilih dahulu buku yang selari dengan selera saya. Tidak mampu saya hendak marah-marah pada penulis. Hanya kerana, kisah penduduk kampung saya itu tadi.

Boleh sahaja saya tidak suka bukunya, tetapi jauh di kampung sana, pasti ada anak miskin yang bahagia membaca kisah itu. Di hujung sebelah sana pula, pasti ada anak yatim tersenyum membaca ceritanya. Di sini pula, pasti ada manusia patah harapan yang kembali tumbuh semangatnya apabila membaca buku itu.

Lalu sebagai pembaca apa hak saya, untuk memaksakan pendapat saya yang jelas lain seleranya ini, kepada satu pihak lagi yang berbeza seleranya dengan saya? Saya hanya mampu berpendapat dengan mereka yang sealiran dengan saya, dan ini cuma sekiranya saya pembaca. Sebagai editor, lain pula ceritanya. Lebih panjang, dan lebih banyak likunya, dan sebetulnya ia lebih mudah kerana ia terus kepada penulis.

Sekiranya pun saya mahu memaksakan pendapat saya, saya akan memaksakan pendapat sekiranya buku itu memang membawa dosa, dan hanya membuat manusia bahagia untuk berbuat dosa. Selain itu, saya sentiasa mengingatkan diri saya, dengan sepenuh-penuh ingatan, tinggalkan hormat pada sesiapapun, kerana mereka itu pasti sudah membuatkan manusia lain bahagia, pada saat saya langsung tidak mampu berbuat begitu.