Thursday, February 05, 2009

PPSMI - antara cinta dan air mata :P

Isteri saya guru sains. Dia mengajar di suatu kawasan pedalaman di Sarawak. Dia mempunyai kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi dan tidak ada masalah mengajar dalam bahasa Inggeris. Malangnya, dia sedikit kecewa, apabila anak-anak muridnya cukup jarang yang mendapat A dalam PMR. Lalu apa pandangan dia berkenaan PPSMI? Saya tidak pernah bertanya.

Segala cara sudah dia lakukan, semuanya. Namun yang pasti, mengajar di suatu kawasan pedalaman, dia sebenarnya tersepit, keliru, sama ada dia sedang mengajar sains ataupun sedang mengajar bahasa Inggeris? Untuk saya, PPSMI tidak dicipta untuk mereka yang di pedalaman. Mereka di sana tidak mempunyai pola berfikir dalam bahasa Inggeris, kerana kurangnya pendedahan daripada ibu bapa. Tidak juga dicipta untuk mereka yang di bandar kerana rata-rata murid di bandar sudah cukup hebat bahasa Inggerisnya, tidak perlu lagi pengukuhan.

Lalu sekiranya PPSMI itu bukan dicipta untuk pelajar sekolah, lalu ia dicipta untuk siapa? Mungkin aneh, tetapi hakikatnya ia dicipta untuk graduan menganggur. Mengapa? Kerana dahulu heboh dengan meningkat graduan yang menganggur kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya, para bijak pandai mengatakan bagi mengatasi masalah itu, pelajar perlu fasih bahasa Inggeris dan caranya PPSMI dicipta.

Aneh. Masalah yang berbangkit adalah masalah graduan menganggur, namun cara penyelesaiannya pula diberikan pada pelajar sekolah. Seumpamanya, seseorang yang mengadu sakit kepala, tetapi doktornya memberikannya pil perancang.

Masalah graduan menganggur, tidak ada kerja, penyelesaiannya, wujudkan kerja. Masalah tidak fasih berbahasa Inggeris itu terlalu digembar-gemburkan. Seharusnya perkemaskan lagi cara pembelajaran bahasa Inggeris, sekiranya perlu tambahkan waktu subjek.

Jadi apa cadangan saya? Melayukan semua sektor korporat kita. Mulai daripada segala jenis surat pinjaman, kontrak dan surat-surat. Melayukan semua, minimakan bahasa Inggeris. Apakah dengan meminimakan penggunaan bahasa Inggeris kita akan gagal? Bagaimana dengan contoh yang terkini, Edrogan masih mampu memarahi Peres dengan bahasa Turki. Iran masih mampu menghantar satelit ke angkasa dengan bahasa Parsi.

Mungkin ada yang berkata, ekonomi bukan dipegang oleh orang Melayu, cadangan ini sampah. Tidak mungkin bahasa Melayu dijadikan bahasa bisnes, ia perlu bahasa Inggeris. Jadi, sekiranya begitu, PPSMI itu tidak juga dapat membantu malah menambah parahkan masalah. Sudahlah tidak tahu berbahasa Inggeris, tidak dapat A pula dalam matematik dan sains. Sedangkan subjek-subjek itu perlu bagi kelangsungan riwayat pelajar dan seterusnya negara bangsa. Jadi, apa yang akan membantu? Mansuhkan PPSMI.

Terima kasih.

7 comments:

aiXat.MR said...

sy setuju!

nahaj said...

setuju!!
mansuhkan PPSMI
pakat2 sokong GMP

K.H said...

Oh, untuk graduan menganggur itu justifikasi lama. Tun M tampil dengan justifikasi baru mengapa harus PPSMI.

Menurut beliau, S&M tidak terkejar dengan BM, kerana katanya ilmu itu terlalu cepat berkembang dalam BI dan penterjemahan ke dalam BM melambatkan proses mengusai ilmu baharu.

Jadi kita sekarang kabur, daripada mulut sang guru-guru, PPSMI membantutkan pemahaman pelajar terhadap S&M. Sebaliknya, KPM mengeluarkan statistik pencapaian peperiksaan yang enak-enak dan lunak-lunak belaka.

Maka, mahu percaya yang mana?

awi.prt8 said...

salam,
saya juga sependapat dgn anda.postin saya jg ada menyentuh isu PPSMI.
http://nasilemakbungkus.blogspot.com

awi.prt8 said...

posting saya berkenaan PPSMI dibawah tajuk:YG DIKEJAR TAK DAPAT YG DIKENDONG BERCICIRAN.

Anonymous said...

Tidak anti bahasa Inggeris tetapi anti yang menghina bahasa Melayu.

junkfood said...

ya tak perlu pandang jaoh sebenarnya. tengok kat indon sudah.
orang puteh kat indon selamba cakap indon. orang cina kat indon selamba cakap indon.

mungken negara kita terlampau kecik kot. aku tak tau apasal aku cakap macam ni cuma aku terfiker.