Lanjutan kisah:
Si tukang sapu sampah dan si cinta
Katanya, apa sahaja yang dibuat untuk dirinya adalah kerana untuk memuaskan hati mereka yang ada di sekitarnya. Alasannya mudah. Dia adalah manusia kecil yang tidak tahu apa mahu dirinya sendiri. Hatinya tidak pernah terpaut pada kata jiwanya. Semuanya adalah untuk mereka-mereka yang ada di sekitarnya.
Jatuhnya tidak sakit, cuma jatuhnya jauh dari imaginasi. Lalu tanpa imaginasi, apa lagi batas hidup yang boleh dijadikan sempadan? Mungkin mati.
“Untuk kamu si tukang sapu sampah, hidup kamu tidak perlu imaginasi. Kamu bukan ahli politik, kamu bukan penulis. Kamu hanya perlu hidup dengan apa yang ada di hadapan kamu, menyapu terus apa yang ada dijalanan. Tidak perlu berimaginasi bagaimana rupanya sampah. Kamu tahu apa yang beruntung berkenaan hal itu? Kamu boleh hidup dalam jalur yang lurus. Boleh menjauh daripada dosa imaginasi,” kata seorang lelaki yang berdiri di belakang penyapu sampah yang sedang santap dengan nasi lemaknya.
Tukang sapu sampah itu diam lalu perlahan berpaling. Hatinya berdesit, bala apa pula yang datang ini? Memberikan pelbagai kata yang aneh-aneh'.
“Jadi apa sahaja yang dikatakan oleh penjual nasi lemak itu, jangan kamu terlalu ambil pusing. Jangan pula kamu langsung tidak menanggapinya. Cuma tetap sederhana. Melihat tapi tidak menyentuh. Menghidu tapi jangan merasa,” kata lelaki itu lagi yang masih tetap berdiri.
Tukang sapu sampah itu kembali menyambung suapan yang terhenti. Matanya tumpul mengarah pada penjual nasi lemak di seberang jalan.
“Maaf, tumpang tanya, saudara ini siapa? Dan apa kaitan saudara dengan penjual nasi lemak di hadapan?” tanya tukang sapu sampah selepas beberapa detik dia merasakan lelaki di belakangnya itu masih tidak berganjak, kaku di situ.
“Anggap saja saya sahabat. Tetapi sebelum lebih lanjut, saya mahu tanya, apa yang kamu fikirkan berkenaan kata-kata penjual nasi lemak itu?” soal lelaki di belakangnya.
Tukang sapu sampah itu diam. Fikirannya melayang-layang ke langit pertama. Kata-kata yang mana? Kata-kata promosi berkenaan sambalnya yang sedap ataupun harga nasi lemaknya yang tetap murah?
“Kata-kata yang mana?” soal tukang sapu sampah dengan mulut yang masih mengunyah suku daripa ruang mulutnya.
“Suatu saat nanti dengan hati kamu yang besar itu, kamu terpaksa memberikan nilai yang tinggi pada sesuatu perhubungan walaupun hakikatnya, bukan itu yang kamu niatkan. Cuma sahaja, hati kamu besar.”
Tukang sapu sampah diam. Apa perlu kata-kata itu untuk dia? Diakan hanya tukang sapu sampah yang hidup pada jalur yang lurus. Tidak perlu pontang panting dalam imaginasinya. Jadi kata-kata begitu, apa perlunya? Tukang sapu sampah terus menggeleng kepala.
“Untuk kamu biar saya beritahu. Penjual nasi lemak itu bermaksud, kamu nanti akan menjumpai seseorang yang hati kamu menganggapnya sahabat. Kamu melayannya dengan penuh hikmah. Namun pada saat yang sama sahabat itu akan menanggapi layanan kamu itu sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar sahabat. Ia perlahan-lahan berlaku sehingga kamu mengetahui apa isi hatinya tetapi waktu itu kamu sudah terlambat dan kamu dengan hati yang tidak rela terpaksa menyambut apa mahu hatinya. Waima itu rasa yang kamu tidak punya,” jelas lelaki di belakangnya itu.
“Jadi apa perlunya hal itu untuk saya? Saya kan hanya penyapu sampah?” tekan tukang sapu sampah itu lagi.
“Tidak ada perlunya, cuma sahaja saya mahu mengingatkan, berjiwa besar bukan bermakna tidak mengecewakan. Jangan takut untuk mengecewakan, kerana apa perlunya air mata kalau ia bukan untuk hal-hal seperti itu. Lalu hal yang utama daripada itu, sebagai sahabat, saya...,” kata lelaki di belakangnya tergantung.
“Apa?” tukang sapu sampah mengerut dahi.
“Harap kamu boleh membeli VCD Senaman ini. Biasanya kami menjual dengan harga RM50, tetapi hari ini, untuk abang saya jual RM10 sahaja,” kata lelaki yang berdiri di belakangnya itu sambil menghulurkan VCD dengan senyuman yang menampakkan gigi sederhana putih.
Tukang sapu sampah itu diam. Wajahnyanya tanpa sengaja berkerut. Kata-kata si penjual nasi lemak dan kata-kata lelaki di belakangnya kembali terulang di telinga. Apakah maksudnya? Perlahan-lahan fikirnya mula menerawang, cuba lari daripada jalur lurus, berimaginasi, dengan dahi yang terus berkerut.
5 comments:
kelakar lah.
hehe.
salam ziarah dari cerita mungkar
salam kenalan.
ini lanjutan entri di bawah ya? ntah kenapa, pemahaman saya jd begini.
tukang sapu = kita atau sebahagian manusia biasa mcm kita (selalu risau, terlalu memikir, kdg2 penakut, kdg2 penurut, kdg2 berimaginasi, namun x cuba direalisasi)
penjual nasi lemak = segelintir manusia yg suka menasihat atau meneka2 perangai org (saya x suka sikap begini, bg telahan, tafsiran yg pelbagai, kemudian bila ditanya, jadi beku dan tak mau ulas lebih lanjut), cuba berlagak bijak, walhal sbnrnya tidaklah begitu bijak.
penjual DVD = ini mcm politikus malaysia. bg ulasan berjela2, cuba nampak bijak dan arif, suka berpusing sedunia kala nk menyampaikan kata2, kesudahannya penyelesaian yg diberi kalau tak sekadar melindungi masalah nyata, terus melencong jauh ke isu sia2.
saya mau pautkan blog ni di laman saya ya.
hahhahaha.....
sudah terjwab teka-teki.
VCD senaman satu!!
Haha,
terima kasih para pengomen,
saya pun x terfikir lagi.
Terima kasih. :-)
Post a Comment