Friday, October 26, 2007

salahkah jika aku mahu bermimpi?

'Tidak perlu mencari cinta, jika anda mempunyai kulit yang putih, kerna cinta akan mencari anda'. Itu antara kata-kata yang aku peroleh dari iklan produk pemutih kulit di siaran televisyen Indonesia. Iklan itu tidak lagi sembunyi-sembunyi dalam mesejnya. Ia begitu berterus terang. Memang perlu diakui manusia di Asia terutamanya wanita, kepingin kulit yang putih hanya kerna sebab itu. Mahu dicintai dan mahu mencintai. Aneh bunyinya. Tapi itu hakikat.

Selain menonton siaran televisiyen Indonesia, aku juga menonton siaran televisyen kerajaan Malaysia (yeah). RTM- TV1. Ada satu cerita yang menarik perhatian aku. Filem orang Inggeris. Cerita seorang ibu yang khuatir melihat anak perempuannya, seorang gadis cantik yang masih belum lagi punyai teman hidup. Lantas atas keprihatianan si ibu, dia memasuki laman web mencari jodoh dan mendaftarkan anaknya itu. Hasilnya, seorang lelaki budiman yang kacak menghantar mesej peribadi dan mereka mula berbalas-balas mesej peribadi. Sehingga pada suatu saat, si lelaki budiman itu mahu berjumpa dengan wanita itu. Masalahnya, yang berbalas-balas mesej dengan lelaki budiman itu bukan sang anak tetapi si ibu.

Sang anak membantah tindakan ibunya. Tetapi lelaki budiman sudah menunggu di depan pintu. Ternyata lelaki budiman itu terlalu kacak untuk di tolak. Lantas sang anak setuju. Malah teruja. Cuma konflik yang mula timbul, si lelaki budiman tadi merasakan dia lebih dekat kepada ibu sang gadis lebih daripada gadis itu sendiri. Terjadi cinta yang entah aku sendiri tidak bisa menafsir. Cinta tiga segi? Si gadis jatuh cinta pada si lelaki budiman, tetapi si lelaki budiman jatuh cinta pada ibu si gadis dan ibu si gadis hanya mahu melihat anaknya bahagia. Untuk pengetahuan semua, ibu si gadis itu adalah seorang janda yang cantik. :-p

Dalam hidup pula, aku mempunyai seorang teman yang cantik yang bertanya “Salahkah aku jika aku mahu bermimpi?”

Soalannya terlalu abstrak, rumit untuk otak tidak genius aku ini bagi mentafsirnya. Lantas aku bertanya lagi, “Mahu bermimpi yang bagaimana?”

“Bermimpi memiliki lelaki yang aku suka?” katanya lembut Dalam hati aku berkira-kira, semoga lelaki itu aku. Dalam pada masa yang sama muncul bayangan isteri aku di sebelah aku menyingsing lengan baju. Terus aku berishtifar dan menyebut nama isteriku tiga kali :-P

“Mengapa perlu bermimpi?” tanyaku lagi sambil tunduk. Kerna adalah elok tidak memandang sesuatu yang cantik buat masa itu. :-P

“Kerana aku sudah berbuat silap sehingga dia yang sudah di tangan, kembali menjauh. Lantas aku hanya bisa bermimpi,” jawabnya lagi. Seolah putus harapan. Seolah mengubat lukanya sendiri.

“Silap yang bagaimana?” tanyaku lagi. Aku hanya mampu bertanya kerna aku sudah bilang, otak aku ini tidak genius.

“Aku terlalu mendesak dia menerima dan memilih aku dalam hidupnya. Terlalu mendesak dia mengucapkan kata-kata itu. Sehingga dia merasa aku ini tidak memberi pilihan kepada dia untuk berfikir. Tidak memberi ruang untuk dia bernafas, aku terlalu mendesak,” jawabnya lagi. Tetapi aneh, wajahnya tetap ceria. Ternyata dia bisa menyembunyi luka.

Aku mahu bertanya lagi, tiba-tiba aku teringat iklan petronas, “burung apa bah?...burung murai nak,” Aku ini seperti budak kecil itu. Ekeke. Asyik bertanya. Lantas aku malu mahu bertanya.

Melihat aku diam dia kembali menyambung, “Berapa harga yang aku perlu bayar bagi mendapatkan cinta dia?”

Wah. Aku jadi takut. Kerna apabila wanita mula bertanya berkenaan harga cinta, sang lelaki bisa meletak berapa sahaja yang mereka mahu dan biasanya mereka akan meminta yang priceless. Kemudian aku bertanya hatiku, mengapa aku perlu takut dan kemudian menjadi seolah lelaki yang baik. Hatiku menjawab, kerna blog aku ini dibaca oleh isteriku, jadi jika mahu menulis cerita pastikan aku ini watak yang baik :-p (Lupa memberitahu, ini hanya cerita rekaan. Semua kisah teman-teman cantik yang aku tuliskan di blog ini hanya ada dalam imaginasi aku. Cuma cerita berkenaan isteri aku sahaja yang benar. Ampun semua :-P)

Ok kembali bercerita. Dalam keadaan yang sebegitu aku pun menceritakan berkenaan iklan Indonesia dan filem Inggeris yang aku tonton itu. Teman cantik aku ini, khusyuk mendengar. Kemudian dia bertanya pula,

“Apa kaitan dua kisah itu dengan kisah aku?”

Aku buat pertama kali berani mengangkat muka dan melihat wajahnya yang cantik. Kemudian berkata, “Kisah kamu semua sama. Kisah berkenaan manusia yang mahu bermimpi berkenaan cinta. Cuma cara ia dipersembahkan berbeda. Aku tidak dapat bayangkan jika kamu terpaksa membeli produk pemutih itu hanya untuk cinta dan sudahnya si pembeli hanya mampu bermimpi. Ini kerna kamu udah sedia cantik. Aku juga tidak dapat membayangkan kamu dalam situasi si anak gadis yang mencintai lelaki yang mencintai ibunya. Yang akhirnya si gadis hanya mampu bermimpi. Kamu tidak perlu melalui situasi begitu untuk bermimpi. Kamu hanya diabaikan buat sementara ini kerana kamu tidak memberi ruang kepada dia. Itu sahaja. Lelaki terutamanya yang suka memakai jeans, t shirt dan kasut kain adalah jenis lelaki yang bebas Jadi bagaimana jika kamu berkata 'Maaf' sahaja kepada dia. Dan kemudian kamu terus sahaja jalani hidup kamu ini. Jangan tanyakan harga cinta kamu kepada dia. Kerna cinta kamu itu tidak ternilai. Jangan berterusan menyalahkan diri kamu kerna kamu tetap perlu hidup. Biar hidup ini tidak indah di hati kamu, tetapi kehadiran kamu itu tetap indah di hati para keluarga dan teman-teman kamu termasuk aku. Jika pun mimpi kamu itu tidak menjadi nyata, percayalah tuhan itu maha adil. Percayalah. Percaya pada keadilanNya pasti membuat kamu mampu tersenyum, kerna dahulu pun aku seperti kamu, aku hanya mahu bermimpi...”

3 comments:

Anonymous said...

Thanks.I'll wake up... n move on...

Anonymous said...

Biar hidup ini tidak indah di hati kamu, tetapi kehadiran kamu itu tetap indah di hati para keluarga dan teman-teman kamu termasuk aku. Jika pun mimpi kamu itu tidak menjadi nyata, percayalah tuhan itu maha adil.

AzwanRamli said...

Syukur pada Allah,walaupun rupa hanya "sedap mata m'mandang"(curi ayat)tapi hidup aku bahagia (tak b'makna aku dah kawen.haha)