Wednesday, June 30, 2021

Bawalah luka

 Selalunya yang dikatakan luka itu adalah apabila hati mengharap tetapi harapan itu dipatah-patahkan oleh takdir.

Dikatanya cinta tidak memihak. Sedangkan realiti, cinta itu sangat neutral. Tidak memihak kepada sesiapa kerana cinta itu adalah apa yang terjadi dalam hati sendiri. Ia bukan apa yang terjadi di hati orang lain. 

Hati orang lain, cintanya sendiri. Tidak akan berkait dengan kita sekiranya dia tidak suka kepada kita. 

Terlihat semudah itu, dan realitinya memang semudah itu. Tetapi apa yang membuatnya sukar?

Kerana kita manusia tidak akan pernah tahu cara yang tepat bagi merawat luka akibat harapan yang patah-patah tadi.

Memang tidak ada cara yang tepat, kerana cara merawatnya adalah sebelum luka itu sendiri terjadi. Bukan semasa ia terjadi atau sudah berlaku.

Jauh-jauh hari sebelum terluka, ada yang sudah menyerahkan seluruh hatinya kepada yang Maha Esa. Jadi pada ketika harapannya patah, dia memang luka tetapi ubatnya sudah dia ada. Pulihnya cepat.

Ada pula yang selepas hatinya patah, baru mencari ubat dan ketika itulah semuanya terasa sukar. Ada yang demam ada yang sakit, tetapi mujur pada akhirnya sembuh juga.

Ada yang lukanya tidak pernah sembuh tetapi tetap mampu hidup seperti biasa. Dia membawa luka itu bersama sepanjang waktu. Tidak ada apa-apa juga. Kerana harapan baru bukan tentang menjadi orang yang baru. Tetapi upaya untuk kehadapan tidak mengira baru ataupun lama, sembuh ataupun masih luka.

Jadi sekiranya masih tidak mampu memaafkan, tidak mampu melupai, dan masih terluka, itu biasa. Itu bukan tanda tidak ada harapan, tetapi itu tanda cinta kita dan cinta orang itu tidak bersatu. Tetapi cinta tetap kita ada dan punya. Tidak pernah hancur. Yang hancur hanya harapan lama, harapan dengan si dia.

Bawalah luka, tetapi jangan lupa, cinta itu masih ada dalam hati. 


No comments: