Tuesday, March 21, 2017

Sebuah cerpen putus tunang.

Tajuk : Putus Tunang. (Saya dah tak ada idea nak letak tajuk)
Ketika itu, saya baru putus tunang. Segala kenangan pun terurai-urai menjadi peniti mencucuk hati. Saya murung dan berkurung di dalam rumah. Hanya sesekali melempar wajah tanpa senyum ke luar jendela dan membuang pandang ke pohon kelapa sawit ayah, dan saya baca dengan terang di sana, sudah tidak bahagia untuk saya. Selepas lima hari berkurung, ayah sendiri yang datang lalu duduk di hujung katil. Saya membelakangi dia, lebih rela menghadap laptop di meja yang rapat ke dinding.
“Ini...” kata ayah lalu menghulurkan satu sampul surat berukuran biasa. Warna putih.
Saya ambil dan gerak-gerakkan perlahan, atas bawah terasa padat isinya. Saya mula terfikirkan, yang ayah membelikan saya tiket kapal terbang. Mungkin dia mahu saya menghiburkan hati yang luka. Tetapi, takkanlah. Sekarang semua sudah online. Sudah tidak ada tiket yang keras-keras kertasnya. Kecuali tiket kelas pertama untuk ke luar negara. Ah, tak mungkinlah. Mana ayah saya dapat duit? Jadi, kalau bukan tiket kapal terbang, apa? Saya berusaha meredakan jerit hati dengan mengusap-usap sampul itu, dan sedia untuk membukanya.
“Jangan. Kau buka selepas kau jumpa dengan Jono,” tegah ayah dan itu yang membuatkan saya berada di sini hari ini, di hadapan rumah Jono.
Jono itu orang Indonesia. Dia bekerja di kebun kelapa sawit ayah. Dia dan dua orang lagi rakannya, tinggal di rumah yang ayah sediakan untuk dia.
“Kenapa?” tanya Jono yang duduk di atas anak tangga paling atas. Anak tangga kelima.
Daripada wajah, jelas Jono baru bangun tidur. Terik matahari petang memang membuatkan mata tidak mampu menahan godaan tilam dan bantal. Apatah lagi di bawah putaran kipas pada level 5.
Peluh sudah menitik dari dahi saya. Sudah tiga minit saya berpanas di hadapan rumah Jono, tetapi belum diajak masuk. Jono yang berambut ikal separas bahu dengan tinggi cuma 167cm, dan tubuh kurus memerhati saya dengan penuh tanda tanya. Umurnya, saya tidak pasti. Mungkin sebaya saya, 22 tahun ataupun lebih 2 3 tahun. Tidak dapat saya membaca umurnya daripada wajah tirusnya yang sudah sun burned.
Tetapi, tenaga Jono seperti lembu. Kepala sawit berpuluh kilo mampu dia angkat masuk ke dalam lori. Tidaklah dengan selamba, berkerut-kerut juga wajahnya, tetapi tetaplah dia mampu. Seingat saya, saya sendiri pun tidak mampu begitu.
“Ayah saya suruh datang jumpa kamu.”
“Pak Mawi? Ada apa?” Wajah Jono keliru.
Saya yang sudah sedia keliru, ikut bertambah keliru.
“Mana saya tahu.”
Jono bangun, masuk ke dalam dan kemudian keluar dengan telefon bimbit sudah melekap pada wajahnya.
“Ya, Pak Mawi, ada apa Sulaiman dengan ke sini? Katanya Pak Mawi yang suruh.”
“....”
“Ooo... begitu. Ya, ya. Baik Pak Mawi. Assalamualaikum.”
Jono menyimpan telefon bimbitnya yang saya fikir mungkin harganya di bawah 200 ringgit ke poket belakang, sebelum tersenyum lebar.
“Sulaiman, jemput naik.”
Saya naik ke rumah kayu itu, dan mula terasa bahang daripada bumbung zink. Jarak lantai dan bumbung yang rendah membuatkan haba tidak dapat beredar dengan mudah. Apatah lagi cuaca pada bulan Julai begini. Peluh saya terus mengalir pantas.
Rumah kayu itu sangat sederhana. Ada sebuah sofa panjang yang sudah uzur dan sebuah tv rata 24 inci. Saya segera duduk di sofa yang sudah berlubang-lubang. Sambil mata mencari-cari dua orang lagi rakannya yang saya tidak tahu di mana.
“Farid dan Miar, mana?” tanya saya pantas.
“Khuruj,” jawab Jono sepatah lalu masuk ke dapur dan keluar kembali dengan sebotol air dan dua biji gelas plastik biru.
“Ini, minum,” pelawa Jono lalu duduk dan terus tersenyum.
“Ya, minum... minum...,” kata Jono lagi apabila melihat saya menuangkan gelas kedua. Panas betul.
Melihat saya sudah lega, Jono menyambung lagi, “Jadi, Sulaiman baru putus tunang?”
“Ya. Tak ada jodoh.”
“Hah, gampang semua tu.”
“Gampang?” Saya renung dia.
“Maksud saya, mudah. Gampang itukan bahasa Indonesia, mudah.”
“Ooo...” Saya angguk-angguk. Terlalu sensestif pula saya hari ini. Padahal saya memang sudah tahu maksudnya hasil daripada tontonan sinetron bersama dengan emak.
“Begini, Sulaiman. Kamu sudah berjumpa dengan saya. Jadi baliklah, dan bukalah surat itu,” kata Jono perlahan tetapi serius.
Saya renung wajah Jono. Saya sudah pening.
“Takkan itu je?” bantah saya.
“Ya, itu saja. Gampang kan?”
“Kalau macam tu je, memang gampang.”
“Iya, gampang. Syarat sudah tertunai. Jadi baliklah.”
“Tak ada apa-apa nasihat?” Saya masih tidak puas hati.
Jono senyum nipis dan meyambung, “Langsung tidak ada. Hanya itu. Balikah.”
Saya lekas-lekas turun, dan duduk sahaja di atas motosikal Yamaha Legenda ayah, terus saya keluarkan surat tadi dan mengoyakkannya.
Satu kad warna purple saya tarik keluar. Saya mula berdebar-debar, namun pada ketika semua sudah jelas di hadapan mata, rasa teruja tadi berubah kecewa. Kad tebal itu ternyata surat undangan pernikahan sepupu saya, yang akan menikah sebulan lagi. Saya baca, saya belek-belek, memang tidak ada apa-apa. Saya tarik nafas dalam-dalam. Sama ada mahu marah atau apa? Saya tida tahu.
Saya hidupkan motorsikal dan terus memecut balik ke rumah yang jaraknya hanya tiga kilometer. Sampai sahaja, terus saya naik dan duduk di depan ayah.
“Apa ni, ayah?” Sambil saya letak kad undangan perkahwinan itu di atas meja.
Ayah memandang kad di atas meja, dan kemudiannya melihat wajah saya. Nampak dia baru bangun tidur.
“Kad ini, Jono, dan perjalanan tadi, itu semua menggambarkan perjalanan cinta.”
“Perjalanan cinta?”
“Orang bercinta yang benar, pergi mencari cintanya, bukan sahaja kerana itu naluri manusia semata, tetapi itu juga anjuran Tuhan.”
Ayah menahan kuap sebentar sebelum menyambung, “Misalnya tadi, ayah beri syarat untuk buka kad tadi, kamu harus berjumpa Jono. Kamu akur dengan arahan itu. Tanpa sedar, pada ketika itu kamu berharap sesuatu yang besar. Ada dua harapan wujud, perkara besar ketika bertemu Jono, dan perkara besar untuk mengetahui apa rahsia di sebalik surat yang kamu bawa.”
Saya pandang kipas berdiri di sebelah ayah, ia hanya menumpu ke arah dia. Patutlah rasa bahang. Saya bangun, dan tekan punat di belakang, sekarang kipas itu mula berpusing 180 darjah. Ayah terhenti sebentar dengan tindakan itu. Tetapi duduk sahaja saya, dia menyambung lagi.
“Kamu bertemu dia, tetapi dia tidak memberikan apa yang kamu harapkan, kamu kecewa, tetapi kamu sedar kamu sudah melaksanakan suruhan. Kamu buka surat tadi, dan kamu hanya menemui sesuatu perkara yang tidak kamu harapkan juga, kamu keliru, kamu bengang, tetapi akhirnya kamu kembali kepada ayah sebab ayah yang memberi arahan. Kamu mahu jawapan atas semua hal itu. Lalu pada ketika kamu sedang keliru sekarang, pada ketika kamu putus asa, pada ketika hati kamu terluka, mengapa tidak meminta jawapan daripada yang Maha Merancang? Bagaimana jawapan yang kamu peroleh nanti, bergantung bagaimana cara kamu 'bertanya'. Kamu bertanya sebagai seorang yang besar kepala, atau sebagai seorang hamba yang sedar diri.”
Saya diam. Lama saya diam. Kata-kata ayah belum mampu saya hadam. Apa sebenarnya maksud ayah? Pada ketika itulah ayah datang dan memeluk bahu saya.
“Namun, yang paling ayah takuti, kamu tidak bertanya soalan yang benar. Kamu mungkin bertanya, mengapa dia meninggalkan kamu, atau bertanya apa kurangnya kamu. Pada ketika kamu tahu jawapannya, kamu tidak akan berubah menjadi lebih baik. Mengapa? Kerana ada soalan lain yang sebenarnya belum terjawab dengan sesungguhnya, yang kamu segan dan malu untuk bertanya, iaitu mengapa Tuhan pilih aku untuk menghadapi semua ini? Kamu tidak akan menemukan jawapan pada soalan itu, apabila kamu tetap merasakan kamu sudah melakukan yang terbaik, sudah berbuat semua yang disuruh, dan apa sahaja yang agung-agung, lalu kamu fikir tidak layak untuk dibuat begitu. Tanyalah kembali diri kita, kita ini siapa sahaja di hadapan Tuhan sampai terfikir begitu? Kita siapa?”
Saya kembali bingung.
“Nak, sebenarnya ayah pun tidak tahu sama ada cara tadi berkesan untuk kamu ataupun tidak. Sekiranya tidak, setidak-tidaknya ayah mahu kamu rasai, bahawa sakitnya putus tunang itu akan terlupakan sekiranya kita sibuk melakukan dan memikirkan perkara lain. Itu sahaja. Jadi, jangan berkurung sahaja di rumah. Sibukkan fikiran kamu dengan hal-hal lain. Ada banyak perkara.”
“Maksud ayah, apa yang saya buat tadi sebenarnya nak suruh saya sibuk?”
Ayah mengangguk dan kemudiannya berkata dengan penuh kasih, “Ya. Itu pun benar. Apa yang ayah cerita mula-mula tadi juga benar. Bagaimana kamu rasa sekarang? Adakah kamu lega selepas mendengar penjelasan ayah, atas semua perkara mengelirukan, perkara yang tidak sesuai harapan, yang terjadi kepada kamu tadi?”
Saya diam.
“Jadi, pada ketika kamu keliru tadi, kamu cepat-cepat balik bertemu ayah. Kamu tahu ayah yang merancang semua ini. Jawapannya pasti ada pada ayah. Apatah lagi sekarang, pada ketika kamu keliru dan kecewa, adakah kamu cepat-cepat bertemu Tuhan? Yang Maha Merancang segala setiap sesuatu.”
Ayah menarik nafas panjang dan menyambung, "Terkadang, Tuhan berikan jawapan dengan menghilangkan pertanyaan tentang kecewa dalam diri kita. Ya, kita tidak akan ada jawapan untuk persoalan yang tidak kita tanyakan. Bukankah itu juga bahagia?"
Diam saya kemudian menjadi lebih panjang.
Cinta sentiasa memberikan sesuatu untuk manusia. Memberi pada apa yang didapat, dan memberi pada apa yang hilang.

1 comment: