Friday, August 15, 2014

Sebesar seringgit

Yang selalu didengar, kalau tidak ada seringgit manakan ada seribu. Seringgit itulah yang dikumpul2 sampai seribu ringgit.
Hari itu saya belajar lagi istilah, 'kalau tidak ada seringgit manakan ada seribu', dalam bentuk yang berbeza.
Waktu itu saya sedang memberi bengkel penulisan untuk pelajar sekolah menengah.
Saya hidupkan komputer, sambungkan pada projektor. Semasa sedang menyusun bahan bengkel di komputer, saya gunakan dompet bagi menutup pancaran projektor.
Semasa masih tekan sana tekan sini, ada pelajar angkat tangan mahu bertanya. Saya datang ke arah dia dan jawab pertanyaannya. Kemudian ramai lagi yang bertanya sehinggalah seorang angkat tangan dan kata, "Abang projektor berasap."
Saya sudah risau kalau2 rosakkan projektor sekolah. Selepas periksa, rupa2 nya dompet saya yang terbakar dan sudah berlubang.
Saya periksa, dua keping not seringgit ikut berlubang dan, alhamdulillah not seratus terjaga baik, hasil 'pengorbanan', not seringgit.
Terus terdetik dalam hati, 'manakan ada seratus kalau tidak ada 2 ringgit'.
Agaknya, hidup berkeluarga juga begitu.
Manakan ada gelaran suami kalau tidak ada isteri, dan begitu juga sebaliknya. Saling melengkapi. Itulah nilai utama sebuah keluarga.
Namun ia tidak terhad dalam soal 'melengkapi', ia juga termasuk dalam soal 'melindungi'.
Melindungi bukan sahaja fizikal, emosi, aib, dan yang terkadang kita lupa adalah kepercayaan kepada pasangan masing2.
Kerana pada ketika fizikal, emosi dan aib sudah 'dilubangkan' fitnah, pada ketika itu, suami dan isteri masih mampu wujud sekiranya masing2 melindungi dengan rasa saling percaya mempercayai.
Nilai asas yang sering terlepas pandang, yang terkadang nilainya hanya diletak sebesar seringgit.

1 comment:

NadiaK. said...

Assalamualaikum, bila Dingin nak update blog lagi? Setiap hari buka dengan harapan ada post dari blog ini :)