Thursday, October 24, 2013

Kisah-kisah pada waktu malam di kampung yang sunyi.

Kisah 1.

Tengah2 malam begini, teringat semasa saya darjah dua. Waktu itu balik dari rumah mak cik dengan ayah saya. Jalan kaki. Kena lalu kebun kelapa dan koko, dan ketika itu jugalah lampu suluh habis bateri.

Ayah terpaksa bakar daun pisang kering pada pokok pisang, jadi kami kena berjalan laju sebelum daun pisang tadi habis dimakan api dan cahayanya hilang. Itu sahaja cara tercepat. Hendak buat obor dari daun pisang memang makan masa juga.

Dari satu pokok ke satu pokok, dan ada juga waktunya bergelap, tetapi ayah saya tetap tenang menghisap rokok.

Dalam gelap, yang saya nampak hanya bara rokok dan waktu itu boleh pula saya terfikir, "Betul ke ini ayah aku? Bagaimana kalau bukan?"

Jadi, untuk hilangkan ketakutan itu, saya sering panggil dia, dan dia menyahut. Saya pun lega. Akhirnya selamat juga sampai ke rumah. Dan sampai sekarang saya masih terbayang, bara rokok ayah saya di dalam gelap, dan ketakutan seorang budak pada perkara yang tidak dia lihat.


Kisah 2.

Semasa di kampung, perkara yang paling tidak saya suka adalah, terbangun pada waktu tengah malam. Bukan kerana takut gelap, tetapi resah pada apa yang didengar.

Bayangkan sahaja, rumah kamu di tengah kebun, dan jiran terdekat mungkin 200-500 meter. Itupun tidak nampak kerana dilindungi pokok kelapa. Hanya sunyi, dan apa-apa selain sunyi akan membuatkan kamu terfikir sesuatu.

Waktu itu saya mungkin antara darjah satu dan dua. Kampung belum ada elektrik, masih guna pelita. Saya terbangun kerana terdengar bunyi mengilai yang panjang. Sampai sekarang saya tidak pasti bunyi itu, bunyi burung ataupun bunyi apa, tetapi itulah yang saya dengar.

Saya cuma diam dan pada ketika itu, saya terdengar ibu bertanya kepada ayah, "Bunyi apa?" Tetapi ayah saya tidak menyahut.

Kemudian terdengar lagi ibu bertanya, "Sampai bila bunyi itu?"

Ayah saya tetap diam, dan diam ayah saya itu membuat saya mengerti, ada sesuatu yang sangat berat dan serius bermain dalam fikirannya. Sesuatu yang saya tidak pernah tanya sampai sekarang.


Kisah 3.

 Kisah yang sudah kabur2, tetapi lebih kurang beginilah perasaannya.

Masih lagi kisah semasa saya kecil. Waktu itu, rumah nenek saya meriah kerana ada saya dan sepupu2. Rumah nenek juga di tengah kebun, dan bertiang tinggi.

Waktu itu, oleh kerana tidak ada elektrik, hanya ada pelita, memang tidak banyak yang dapat dibuat selain bercerita. Saya pula hanya mendengar pebualan sepupu2 saya yang lebih dewasa.

Kemudian, datang kenalan ayah dari kampung seberang, tumpang bermalam atas urusan apa saya sudah lupa. Dia menghisap rokok dan bertanya di mana pak cik saya. Selepas memberitahu, pak cik masih di rumah, dia terus tenang menghisap asap rokok sambil bersandar pada dinding.

Apabila ditanya mengapa dia bertanya, dia menjawab, "Ada nampak orang di bawah rumah tadi. Ingatkan siapa. Saya panggil dia cuma diam."

Waktu itu, yang saya masih ingat, saya cuma mampu duduk bersempit-sempit dengan sepupu2 sambil berfikir2 siapa di bawah rumah.

Tuesday, October 01, 2013

Keguguran.

Sebuah lagi cerpen Bahruddin Bekri.

Ini kisah seorang lelaki yang isterinya baru sahaja keguguran. Isterinya sudah beberapa hari tidak lalu makan. Ingatannya masih jelas pada wajah bayi yang sudah pun nampak pada scanner. Emosi muram si isteri terlalu kuat sehingga terbawa-bawa dalam wajah dan sikapnya, sehingga suaminya sudah kehilangan kata-kata bagi memujuk.

Isterinya sering berkata, “Kalaulah saya tidak pandu laju hari tu.”

“Awak, tidak perlu berkalau-kalau. Semua sudah takdir Allah. Sabar. Ingat ini semua ujian untuk kita,” pujuk suaminya, namun isterinya hanya mampu menitiskan air mata. Apatah lagi pada ketika melihat baju bayi, lampin, tilam, bantal, mainan, yang sudah di susun di penjuru bilik.

Akibat daripada itu, lelaki tadi tanpa sedar ikut berasa stres. Setidak-tidaknya isterinya mampu melepaskan air mata, pada setiap masa, sedangkan dia seorang lelaki yang sukar mahu selalu menitiskan air mata. Solat dan doa sahaja yang menjadi penguat namun itupun selalu tidak mampu lantaran jiwanya yang terlalu berkecamuk.

Lelaki yang stres tadi yang sudah hilang kata-kata hanya mampu melayari Facebook dengan menggunakan smartphone. Sempatlah dia membaca status pada wall rakan-rakannya sebelum dia berhenti pada satu status,

“Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... See more.”

Segera lelaki itu membalas tanpa klik pada 'see more', “Takkan kucing beranak pun mahu tulis di facebook? Tidak ada kerja lain? Gila!”

Akhirnya berlaku pertengkaran di Facebook dan berakhir apabila lelaki itu memblok lelaki yang kucingnya baru beranak tadi. Masalah selesai dan komen-komen di status itu juga ikut terpadam, tanpa ada sesiapa lagi perlu berasa sakit hati.

Sementara itu, isterinya pula juga melayari Facebook dan pada ketika itulah dia membaca status, “Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... See more.”

Si isteri mula tersentak, namun dia gagahkah juga klik see more,  dan dia membaca keseluruhan status itu.

Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... Tuhan sudah ganti anak kucing saya yang hilang dahulu dengan lebih banyak anak kucing yang comel. Ya, Tuhan tidak pernah lupa memberi kepada yang meminta. Cuma cara dan nama 'memberi' itu sahaja yang berbeza-beza. Ada yang mengelarnya hikmah, anugerah, makbul, dan paling manusia tidak sedar adalah 'mengganti'. Mengganti juga adalah nama lain untuk memberi. Yang utama, kita perlu percaya pada setiap kehilangan Tuhan tetap akan 'menggantikannya' dengan sesuatu yang tidak pernah kita sangka selagi mana kita tetap bersangka baik kepada Tuhan, kerana bersangka baik itu juga adalah kata lain untuk meminta.

Si isteri mula tersenyum untuk pertama kalinya. Dia mula bangun dari katil, berjalan perlahan-lahan menuju ke arah suaminya. Dia memaut bahu suaminya dan perlahan berkata, “Maafkan saya, bang, buat abang begini. Saya lupa yang saya sebenarnya sudah mula bersangka buruk kepada Tuhan. Maafkan saya sebab mengabaikan abang juga, Maafkan saya.”

Si suami tersenyum mesra dan berkata, “Abang maafkan.” Lalu mereka kembali tersenyum bersama.

Tanpa si suami tahu, bagaimana Tuhan mengatur supaya isterinya kembali tersenyum, dan membuat dia juga ikut tersenyum.