Monday, August 26, 2013

Penulis.

Sebelum membaca ini, sangat digalakkan bagi membaca tulisan penulis tersohor ini dahulu, Eka Kurniawan. Kerana tulisan ini terinspirasi berat daripada tulisan itu.



Membaca tulisan Eka Kurniawan berkenaan pesan moral, saya sangat tertarik pada kata-kata beliau yang ini,

“Menjadikan novel atau karya sastra semata-mata tunggangan pesan, hanya akan menjadikannya angkutan umum. Kejar setoran. Yang penting pesan sampai dengan selamat kepada pembaca. Dunia sastra kita akan dipenuhi penulis-penulis yang bertabiat ugal-ugalan seperti sopir angkutan umum di Jakarta. Dan mereka akan bangga dengan ini.”

Untuk kesan dan makna pada tulisan itu, saya tinggalkan kepada pembaca bagi menikmatinya. Saya cuma mahu berbicara tentang kata, 'novel yang menjadi angkutan umum', atau dalam bahasa Melayu Malaysia, 'novel yang menjadi kenderaan awam'. Di mana penulis novel begitu, akan bertabiat 'ugal-ugalan' atau dalam bahasa Melayu Malaysia, 'nakal', 'tidak sopan', 'kasar', dan seertinya dengannya, hanya kerana bagi memenuhi kenderaan mereka dengan penumpang, dan memperoleh banyaknya trip lalu cenderung memandu laju, dan bahaya bagi memperoleh pendapatan yang lebih.

Saya suka memanjangkan hal 'kenderaan' tadi kepada perkara yang lebih luas. Maknanya, akan ada juga 'pemandu kereta BMW' yang ugal-ugalan, akan ada juga 'penunggang motosikal yang ugal-ugalan', akan ada juga 'pemandu Ferrari yang ugal-ugalan'.

Pada akhirnya, siapa pun pemandu itu, semuanya cenderung menjadi ugal-ugalan. Bezanya, pemandu angkutan umum tadi, setidak-tidaknya ada 'memberi khidmat', khidmat memberi kos yang murah untuk pergi dan pulang. Walaupun nampak kecil tetapi sangat besar ertinya kepada manusia-manusia biasa di tepi jalan, yang imaginasinya tidak menembusi langit.

Namun risikonya, bagi pemandu bas yang ugal-ugalan tidak perlukan imaginasi, kerana mereka dapat juga membawa penumpangnya mati bersama. Risiko yang sama untuk semua 'pemandu yang ugal-ugalan'. Sama ada bas ataupun Ferrari.

Tetapi diakui, pemandu kereta-kereta mewah, motosikal mewah juga tetap memberi khidmat, iaitu khidmat, memberikan rasa teruja kepada manusia-manusia di tepi jalan tadi. Teruja melihat ferrari dan mereka berkata, “Waaa... Ferrari...” Ya, ia tetap 'khidmat', yang membuatkan manusia itu gembira walaupun pada akhirnya, bukan 'pemandu' 'Ferrari' itu yang akan membawa mereka pulang ke rumah abadi.

Pada akhirnya, terserah kita, yang mengaku penulis untuk memilih 'kenderaan' kita. Mahu memilih, 'monorel', 'bas', Ferrari, kapal terbang, basikal, dan malah berjalan kaki.

Dan tetap terserah kepad kita juga mahu menjadi pemandu yang bagaimana. Mahu menjadi 'pemandu bas' yang ugal-ugalan atau pemandu bas yang penuh adab dan gaya, pemandu Ferrari yang ugal-ugalan atau pemandu yang penuh sopan dan gaya, dan malah pejalan kaki yang ugal-ugalan atau pejalan kaki yang penuh budi dan gaya.

Pilih sendiri mahu yang mana, kerana saya juga tertarik pada petikan tulisan daripada tulisan Eka Kurniawan itu,

“Seperti kata Roberto BolaƱo, kita para penulis (yang baik, dan saya harap saya bisa menjadi bagiannya, bahkan meskipun saya penulis yang buruk, saya akan mengikuti sarannya), tak memerlukan siapa pun untuk bernyanyi bertepuk tangan atas karya-karya kita. Kenapa? Karena kita sudah dan akan melakukannya sendiri. Kita akan bernyanyi dan bertepuk tangan untuk karya-karya kita sendiri.”





2 comments:

Izham Alias said...

Saya sebenarnya kurang mengerti apa yang saudara nukilkan. Mungkin terlalu tinggi analoginya untuk saya fahami. Saya tertanya juga, bilakah saudara akan sambung beberapa keratan novel di blog ini? Saya menantikannya dengan penuh hiba. =)

Fira Hilwa said...

Saya pernah terbaca kata2 "anda adalah apa yg anda baca" & saya pula minat membaca telah dipupuk dari kecil jadi utk membaca novel @ bacaan yg bermoral adalah suatu bentuk 'keperluan' bg minda saya sebab itu saya suka baca karya2 tuan dalam blog ini sebab ada 'isi' dan moralnya :) teruskan berkarya, tuan.