Saturday, March 27, 2010

peluang kedua untuk kita

Ayah saya, sebagai lelaki yang diam, sering mengaduk-aduk rambut saya, hanya bagi menjemput jiwa saya pada kata-katanya – dunia ini adalah peluang kedua. Kata-katanya itu, meski menggeser hati, namun tidak mempan pada saat saya merasakan dunia saya hilang cahaya. Pada saat saya sendiri tidak tertolong oleh manusia, dan pada saat peri kehidupan sudah sampai ke jurang hitam. Saya mengerti kata-kata itu dan sangat mafhum maksudnya, namun mengapa kata-kata itu sepertinya tidak mahu merapat pada jiwa dan terbenam dalam hati? Kata-kata itu hanya bersiul-siul dan sesekali melolong, dan pasti itu tidak membuat kusut hati saya surut.

Beragam cara saya perbuat, bagi merubung hati saya dengan pesan ayah saya, namun tidak satu pun yang mampu membengkokkan perkara itu. Malah semakin kalut, dan semakin melilit leher. Mujur pada saat sesak dada saya ingin mengkhabarkan rasa kecewa, saya menemui dia, seorang teman yang cantik dan punyai mata yang mampu meneduhkan matahari. Kata-katanya berkenaan hati, membantu saya menanam dalam-dalam pesan ayah saya dalam hati – dunia ini adalah peluang kedua.

Peluang untuk saya.
Terik manapun matahari, tidak pernah menghalang teman saya itu tersenyum bahagia. Matanya tetap meneduhkan hati, membahagiakan jiwa. Saya, pada hari itu adalah manusia yang bahagia kerana berasa terpakai apabila bertemu dia.

Soal pertamanya kepada saya adalah, bagaimana hidup saya sekarang. Jantung saya terpacu, bercerita itu ini. Bercerita tentang masalah yang berhamburan, berkisah tentang manusia-manusia yang berkicau-kicau memandang rendah, dan berkisah berkenaan tembok-tembok ghaib yang menghalangi hidup. Bercerita bagaimana, saya sepertinya tidak punyai peluang kedua atas semua perkara itu.

Teman saya, tersenyum bahagia. Resah yang saya pegang seperti dilepaskan pergi apabila melihat senyumannya. Dia memicing mata sesaat sebelum menarik nafas panjang. Matanya yang meneduhkan tunduk ke bumi.

“Selagi kamu masih melihat matahari, selagi itu kamu masih ada peluang kedua,” kata teman saya. Saya menggaris satu senyuman yang bermakna - saya tahu dan sering mendengar kata-kata itu dan ia tidak membekas elok ke dalam hati.

“Kamu tahu, saya adalah manusia yang sangat mengerti ertinya peluang kedua. Saya setiap hari, adalah manusia yang tidak putus-putus mengutuskan syukur kerana masih ada peluang saya pada hari itu bagi melihat matahari, memohon ampun, memberi sayang, dan menerima kasih. Saya masih berpeluang untuk perkara-perkara itu, dan saya yakin, kamu pasti boleh begitu, malah lebih bagus daripada saya,” jelas teman saya dengan mata yang masih memandang bumi.

Saya, sekali lagi tersenyum yang membawa maksud - saya tahu perkara itu tetapi saya tidak merasainya. Tidak cukup dengan senyuman, saya berkata pula, “Dunia hari ini, adalah dunia yang hanya mahu perkara terbaik. Tidak ada peluang untuk yang membuat silap. Sekali kamu silap, kamu terus mati, diusir jauh-jauh ke gaung dalam. Saya sangat tahu berkenaan peluang kedua, malah Tuhan memberikan peluang kedua kepada hambaNya dengan taubat, tetapi masalah saya, mengapa saya seperti sahaja merasa tidak diberi peluang kedua dan saya tidak mampu merasakan peluang kedua itu ada, hingga tahu-tahu sahaja saya sudah tiba digaris kecewa.”

“Mungkin kamu perlu memberi peluang kedua untuk orang lain, sebelum kamu mampu merasai wujudnya peluang kedua. Jadi bagaimana, mulakannya dengan memberi peluang kepada saya? Beri saya peluang bagi membuatkan kamu, merasai wujudnya peluang kedua itu. Mahu kamu beri peluang?” Teman saya yang cantik itu menyoal lembut. Saya hanya tersenyum yang memberi maksud – mengapa tidak mencuba? Tidak saya sedar, itulah kali terakhir tersenyum penuh sinis, kerana saya mengetahui sesuatu berkenaan hatinya, dan akhirnya, daripada hatinya itu saya mampu merasa – dunia ini adalah peluang kedua.

Peluang untuk teman.
Dia memaklumkan dengan baik bahawa saya beruntung mempunyai hati yang baik. Saya mengerut dahi. Entah bagaimana dia yakin baiknya hati saya, sedangkan saya sendiri tidak tahu. Namun, tetap juga saya tersenyum.

Akhirnya senyuman saya hilang juga apabila saya mula mengerti maksudnya berkenaan hati saya yang baik itu. Dia dengan suara yang tenang menjelaskan bahawa, dia punyai masalah liver disease. Suatu keadaan di mana sistem pertahanan tubuhnya ada masalah tidak mengenali organ hati sebagai sebahagian organ dalam tubuh, dan sistem pertahanan tubuh menyerang hati kerana menganggapkan ia satu ancaman. Organ hati teman saya itu, semakin hari semakin rosak dan dia perlu kerap berjumpa doktor bagi menyelesaikan masalahnya yang belum ada penawar.

Saya diam. Saya tidak berlengah membangunkan simpati saya. Namun wajah teman saya yang cantik itu, tidak berubah sedikit pun. Matanya tetap meneduhkan, dan senyumannya tetap membahagiakan.
“Itulah diri saya. Saya tidak tahu berapa lama hayat saya. Namun, tetap sahaja, saya bersyukur, kerana setiap hari yang saya masih bernafas, saya diberikan peluang kedua oleh Allah bagi mensyukuri nikmatnya, diberi peluang memohon ampun atas dosa-dosa saya, diberi peluang untuk memberi sayang dan menerima kasih. Juga, utamanya saya diberikan peluang, bagi memperlihatkan kepada dunia seisinya, saya tidak tunduk pada masalah dunia,” jelas teman saya, sebelum menelan liur. Dia diam sebentar bagi merasai angin yang berlalu. Saya ikut diam menahan nafas.

“Rasai peluang kedua itu dengan mencarinya, bukan menanti, kerana di akhirat nanti, kita tidak lagi punyai peluang kedua. Adakah kamu mahu seperti saya, baru kamu mampu merasai betapa banyaknya peluang yang Allah berikan setiap hari kepada kita? Dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Pasti pada setiap ujian dan cubaan itu ada peluang keduanya. Peluang kedua bukannya hanya datang begitu sahaja. Rasai peluang itu dengan mencari Tuhan pada setiap perkara yang kita perbuat. Carinya dengan mentasbihkan namaNya, mengingatiNya, membuat suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. InsyaAllah kita mampu mencari peluang kedua dan kita dapat merasakan dunia ini adalah peluang kedua, walau masalah jenis apa pun yang datang menimpa,” jelas teman saya dengan panjang lebar.

Saya menarik nafas panjang. Diam dan terus diam. Kata-katanya mula tenggelam perlahan-lahan dalam hati, dan dalam diam-diam, saya berdoa dalam hati, semoga teman saya itu punyai peluang kedua dalam hidupnya, untuk hidup seadanya. Semoga. Lalu pada ketika itu, walaupun dengan sedikit, saya mampu merasai dunia ini adalah peluang kedua.

Peluang kedua untuk kita.
Liver disease boleh di baca di sini ---> http://en.wikipedia.org/wiki/Liver_disease
Beri peluang untuk diri kita, mendoakan sesuatu yang baik-baik. Mohon doa teman-teman yang baik, semoga teman saya yang cantik ini, Nurul Aida sembuh daripada liver disease. Semoga dia diberi peluang kedua untuk hidup seperti manusia lainnya. Semoga. Amin.

Friday, March 12, 2010

saat langit itu tersenyum

Langit saya.

Berkisah berkenaan langit, saya suka kembali pada masa lalu saya. Hanya pada waktu itu, langit sepertinya kisah puteri yang berubah rupa daripada angsa. Penuh cinta dan mengkhayalkan. Seumpama misteri yang tenteram tidak terusik, untuk ribuan tahun.

Langit ibu dan ayah.

Saya ingat lagi, pada waktu kecil saya, saya pernah bertanyakan ibu, apa rasanya memegang pelangi? Ibu tidak menjawab, hanya tersenyum bahagia lalu memeluk tubuh saya yang halus. Saya tidak mampu mengerti jawapan sebegitu, jawapan yang tidak mampu berjalan di lorong-lorong akal saya.

Saya ingat juga, pada waktu saya masih kecil, saya pernah bertanyakan kepada ayah, apakah ada cara untuk saya menyentuh langit biru? Ayah tidak seperti ibu yang tersenyum. Dia menatap diam, dan matanya seperti berbicara sesuatu yang saya tidak mengerti. Ayah kemudiannya meletakkan punggung halus saya di bahunya yang pejal, dan yang saya masih ingat, semakin kuat saya ketawa, semakin laju ayah membawa.

Itu semua ingatan yang membawa fikiran saya kepada langit. Tidak sekalipun pada saat saya menatap langit, saya terlupa perkara itu. Namun, saya tidak mampu menyedari erti jawapan-jawapan daripada masa lalu saya. Sehingga saya bertemu dia, seorang teman yang saya tidak mampu baca wajahnya, ketika dia menatap langit.

Langit teman.

Tanpa saya bertanya apa-apa, bicaranya melungsur sendiri. Katanya, “Manusia itu makhluk yang berfikir. Semua kita tahu, kita mampu berfikir, tetapi tidak ramai antara kita yang tahu, manusia itu perlukan bantuan bagi berfikir. Sama seperti sang algojo yang perlukan alat bagi membunuh.”

Lidah saya seperti terkilir. Kata-kata saya tergulung sepi di dalam dada. Mahu saya bertanya tetapi agak sedikit besar risikonya, saya menghilangkan semangatnya yang jelas masih mahu bicara.

“Begitu juga saya. Langit adalah alat bantu saya berfikir. Pada saat saya menatap awan yang bergulung, ego saya lungsur. Pada saat saya merenung langit yang biru, aroma takut saya menyeruak. Pada semua saat itu, fikiran saya didesak-desak bagi memikirkan hanya satu, iaitu betapa besarnya Dia.”

Dia tersenyum bahagia. Saya pula tergesa-gesa mengambil hikmah daripada kata-katanya. Sedaya upaya saya cuba membenamkan hikmah daripada kata-katanya ke dalam hati saya dan ternyata, teman saya itu belum lagi usai ceritanya.

“Kamu mahu tahu, menatap langit juga, membuatkan saya bahagia. Membuatkan semangat saya berhamburan tinggi, kerana langit itu mengisi hati saya.”

Akhirnya pada saat itu terpelesat juga tanya daripada saya, “Apa yang langit itu isi?”

Segera pipinya berona saga, dipadu bersama senyumannya yang girang tidak kepalang. Sambil menatap langit dia berkata, “Langit itu adalah harapan dan langit mengisi hati saya dengan harapan. Apabila menatap langit, saya sedar, Tuhan menciptakannya supaya manusia tidak mampu mengukur luasnya, kerana Tuhan mahu manusia tahu, yang harapan itu juga adalah sesuatu yang tidak terbatas, selagi mana langit itu sendiri belum runtuh. Tetapi tentu sahaja Tuhan mahu kita berfikir sendiri berkenaan perkara itu, melalui langit yang tersenyum dan awan yang menatap.”

Saya diam, sekonyong-konyong, saya sedar bahawa saya sudah sedikit mengerti maksud jawapan-jawapan dari masa lalu saya. Jawapan daripada ibu saya yang tersenyum bahagia, dan jawapan daripada tatapan ayah saya yang diam.

Semuanya kerana diri saya. Mereka tidak sanggup mengatakan saya tidak mampu memegang pelangi, dan mereka tidak sanggup mengatakan saya tidak mampu menyentuh langit yang biru, kerana saya untuk mereka, adalah harapan yang mengisi hati. Terlalu awal mengatakan tidak bagi harapan yang baru tumbuh seperti saya. Semoga, tidak pula terlalu akhir untuk saya betul-betul menjadi harapan seperti yang mereka mahu.

Langit manusia

Itulah kisah daripada langit. Kisah yang membuatkan saya rindu kepada pelangi dan langit biru yang saya tahu semasa kecil. Sebuah kisah yang membuatkan saya berdoa, semoga sahaja teman saya itu, tetap tersenyum menatap langit dan semoga juga, manusia mengerti pada saat langit itu tersenyum.

Tuesday, March 09, 2010

hati ini ada ilalang

Jari telunjuknya yang halus, mengarahkan mata saya kepada sesuatu yang biasa. Matanya yang tenang pula, menyita hati saya, kepada sesuatu yang juga biasa. Akhirnya, senyumannya yang bahagia, menjunjung jiwa saya, kepada sesuatu yang masih biasa.

Tidak mengapa, kerana saya adalah orang yang biasa. Apa lagi yang saya mampu harapkan untuk diri saya? Namun, cukup tiga kali begitu, hati saya terjerembap kepada perkara yang tidak biasa.

Tanya hati saya berlari mendekat ke lidah lalu menggelepar menjadi kata tanya, mengapa perlu jari halusnya mengarahkan saya kepada ilalang? Mengapa mata tenangnya merenung ilalang dan mengapa dia tersenyum bahagia, juga kepada ilalang?

Katanya, “Tidak pernah luruh hati saya pada perkara ini. Kepada kamu juga saya beritahu. Hati-hati kepada perkara hijau yang biasa-biasa.”

Dia diam tetapi saya tahu, katanya akan terus mengalir, lalu dengan hati yang penuh debu tanya, saya taat menahan diri.

“Tidak ramai petani yang mahu ilalang tumbuh di ladang mereka, namun tanpa sedar, ia tumbuh juga kerana ladang itu tidak terjaga. Itu juga hati kita, tidak ramai kita yang mahu yang jahat-jahat itu tumbuh dalam hati, namun kerana hati tidak terjaga, ia tumbuh juga dalam hati.”

Saya benar-benar orang yang keliru. Mahu lagi tanya hati saya berlari mendekat ke lidah, namun belok matanya jelas mahu berkata lagi sesuatu.

“Ilalang itu tumbuhnya di mana-mana. Tidak ada apa yang mampu membunuhnya. Tanyalah kepada petani mana pun di dunia, pasti mereka mengaku, mereka hanya mampu mengawalnya, tidak menghapusnya. Kamu juga tidak akan mampu membunuh ilalang dalam hati kerana ia sudah ada di situ sejak kamu tahu makna manisnya dosa. Kamu hanya mampu merapikannya dan menjaganya supaya ia tidak semak dan membunuh pohon berbuah manis daripada hati."

Dia tidak terus maju dengan bicaranya. Dia diam sesaat merenung ilalang, sebelum kenyit alisnya pada kata akhirnya, membuatkan saya menjadi manusia yang lebih takzim kepada bicaranya.

"Hati-hati... hati ini ada ilalang.”