Thursday, March 06, 2014

Yang mencintai tanpa menghakimi

Dahulu ayah memberikan cinta kepada ibu dengan tanah dan air mata. Kini, saya mahu memberikan cinta kepada dia, hanya dengan kata-kata. Sungguh kerdil benar rasanya diri ini. Hanya dengan kata-kata, saya mengatakan akan memberikan dia dunia, dan seterusnya syurga.

Dia percaya kata-kata saya. Sungguh, kerdil benar rasanya diri ini apabila diberi kepercayaan yang sebesar langit.

Cuma satu pintanya, katanya, "Saya bukan perempuan suci. Terima saya dengan seadanya." 

Apabila saya bertanya, “Apa maksud kamu dengan suci?”

“Kamu lihat, saya tidak bertudung. Lalu perempuan seperti saya ini sering dituduh yang bukan-bukan. Lalu terima saya seadanya.”

Saya tersenyum dan sekali lagi menjanjikan dia dengan kata-kata.

“Saya menerima kamu seadanya.”

“Mengapa?”

“Kerana saya tidak punya kuasa untuk memberi hidayah. Tuhan yang memberi hidayah kepada hamba-hamba-Nya, termasuk kamu. Saya hanya mampu berusaha, untuk memastikan kamu diberi cinta. Diberi kasih. Orang yang diberi cinta, diberi kasih lebih mudah untuk kembali memberi cinta, memberi kasih. Orang yang begitu, lebih disayangi Allah, dan lebih mudah diberi hidayah.”

Dia tersenyum baik, dan saya setuju, senyuman dia adalah senyuman paling indah pernah diberikan oleh mana-mana perempuan kepada saya, kecuali... senyuman ibu.

“Betul?”

Namun tetaplah dia perempuan, yang suka mendengar ulangan kata-kata manis lelaki. Dan saya, mahu memastikan, walaupun saya cuma menjanjikan dia kata-kata, tetapi ia bukan kata-kata palsu.

“Ya. Memperlekeh, memandang sinis manusia lain, hanya mewujudkan benci kepada sesuatu yang indah. Yang indah itu adalah kasih sayang. Tanpa kasih sayang, apakah Tuhan masih mahu memandang kita yang hina ini?”

“Lalu dinikahi saya segera. Cukup dengan kata-kata itu.”

“Harta saya tidak punya.”

“Saya tahu.”

“Lalu mengapa mahu saya menikahi kamu?”

“Kamu lelaki yang punya kata-kata kasih. Kamu lelaki yang berusaha. Nikah akan memudahkan kamu untuk menyara saya, dan nikah juga akan memudahkan saya untuk... mungkin memaksa diri bagi menjadi seperti yang kamu inginkan, jauh-jauh dalam hati kamu.”

“Kamu tahu apa isi hati saya?” Saya tersenyum.

“Ya. Saya tahu. Kamu mahu saya bahagia dunia akhirat. Kerana kamu sayangkan saya.”


Itulah mulanya, kisah saya dan dia. Untuk satu kisah yang bernama cinta. Pada ketika manusia menghakimi dia, saya memilih untuk menyayangi. Tanpa saya sedar, pada ketika manusia menghakimi saya, dia memilih untuk mempercayai.

Sunday, March 02, 2014

Diari Suami Blur

Selepas Diari Mat Despatch, cuba pula buat Diari Suami Blur.‪#‎diarimatdespatch‬ ‪#‎diarisuamiblur‬

Test 3.

Ketakutan dalam hidup akan lebih mudah dihadapi dengan cinta. Itu yang saya cuba lakukan sentiasa. Namun ada waktunya ia hadir pada saat yang tidak terduga.

Hari ulang tahun perkahwinan adalah antara hari yang tanpa saya sedar, menjadi ketakutan itu.

"Abang, selamat ulang tahun."

Isteri saya tersenyum kasih.

"Selamat ulang tahun juga."

Dia mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya lalu memberikan kepada saya.

"Hadiah untuk abang."

Saya tersenyum gembira, namun dalam masa yang sama berdebar-debar. Kotak itu saya buka dan di dalamnya ada seutas jam tangan yang membuatkan saya bergetar.

"Abang suka? Cantikkan. Ada permata di dalamnya. Kristal rasanya. Selepas ini abang akan nampak lebih profesional."

Saya diam sebentar. Saya adalah lelaki yang berambut panjang dan berimej simple. Jam tangan besi dengan butir2 kristal di dalamnya adalah sesuatu yang menyesakkan jiwa. Bagaimana aku nak pakai?

Namun tetap saya berkata, " Cantik sangat. Abang suka terima kasih sayang."

Senyuman pada bibir dia ternyata membuatkan gerun saya hilang. Namun itu tidak cukup.

"Abang pun ada hadiah untuk sayang."

Dengan senyuman yang semakin melebar dia membuka bungkusan yang saya hulurkan.

"Cantikkan kain itu? Sangat sesuai untuk dibuat baju kurung raya."

Senyuman isteri saya hilang. Dia diam sebentar melihat kain itu. Dahi berkerut. Namun tetap kemudian dia tersenyum kembali.

"Cantik, bang. Pandai abang pilih."

Kini senyuman saya pula yang melebar. Dan kami sudah bersama2 menghadapi ketakutan itu dengan cinta.


Test 2.

Cinta itu, bukan apa yang kita lihat, tetapi banyak pada yang kita rasa. Sehingga para pujangga berkata, kita boleh menahan mata daripada melihat benda yang kita tidak mahu, tetapi manakan mampu kita menahan hati daripada merasai rasa yang hadir. 

Itu tidak sepenuhnya saya fahami, dan pada ketika saya mahu memahaminya, ia datang dalam bentuk yang tidak saya sangka.

"Abang, cepatlah. Kan semalam abah dah telefon, esok ada kenduri. Kita kena balik kampung."

Saya yang waktu itu baru sampai, dan baru sempat merehatkan belakang di sofa, memandang perempuan di hadapan saya, yang sentiasa ke sana sini.

"Nak cepat apa? Abang begini pun sudah boleh gerak."

"Kita kena bermalam. Siap2 kanlah barang nak bawa."

Lalu dengan rasa malas yang berat, saya terpaksa bangun mengemas baju yang hendak dibawa. Selesai semuanya, kami menuju ke destinasi, dan di dalam kereta wajah isteri masih terlihat mahu ke sana sini. Sudah terbiasa agaknya jadi sibuk.

"Tuala ada bawa?" Isteri saya bertanya cemas. Entah mengapa cemas sangat.

"Di kampung ada."

"Minyak rambut, deodoran?"

"Ada," dan disusuli angguk bagi memberitahu yang saya memang bawa.

"Berus gigi?"

Saya pula yang memandang isteri saya dan berkata, "Pakai awak punya."

Isteri menjeling tajam.

"Nak geli apa?" Saya menyoal, dan dia hanya terlihat geram.

Saya tersenyum, dan kini mula mengerti, cinta itu adalah berkongsi rasa, tanpa mengira apapun rasanya.


Test 1.

Terkadang, cinta itu bukan kita yang bersuara. Kita cuma diam mendengar, dan anehnya terkadang dia pun juga diam. Itu yang terjadi hari itu, semasa saya turun dari tangga, mahu ke ruang tamu, dan saya terdengar adik ipar saya berkata kepada isteri.

"Kakak ni, dengan saya cakap kuat2, dengan abang cakap bukan main lembut lagi."

Saya tersenyum, dan mula untuk semakin mengerti.