Akan ada banyak waktu, kita didatangkan
dengan pelbagai hal untuk kita mengerti, mengapa sesuatu perkara
perlu terjadi kepada kita, dan banyak waktu juga kita akan memilih
untuk membiarkan dengan alasan bersangka baik. Sehingga hal-hal itu
akhirnya bertumpuk-tumpuk di hadapan, menjadi beban, yang lama-lama
tidak kita tertanggung apabila ia pecah berderai-derai mencucuk hati.
Berderai.
Waktu itu, usia saya masih remaja, dan
waktu itu saya ingat juga, abang saya yang sudah beberapa tahun
bernikah, datang ke kampung.
Sewaktu abang mahu bernikah, dengan
perempuan kota cantik yang rambutnya warna perang, pernah juga saya
mendengar ayah dan ibu berbual tegang.
Ibu berasa abang tidak seharusnya
bernikah dengan perempuan yang seksinya seperti ayam betina mahu
mencari jantan. Untuk ayah pula fikirannya lain. Kata ayah, “Anak
kita itu, sudah dipilih untuk berdakwah dengan cara begitu. Tidak ada
salahnya.”
“Tetapi, itu juga mungkin akan
merosakkan dia! Dakwah ke mana, dia pun ke mana. Abang jangan lupa,
yang kami inilah nanti, perempuan-perempuan yang mampu menarik para
lelaki dari syugra untuk masuk ke neraka.”
“Ah, kamu jauh sangat fikirnya, tidak
ada apa-apalah. Sangka baik kepada anak kita.”
Akhirnya abang pun bernikah, dan semasa
dia datang pada petang itu, beban ayah yang selama ini cuba
ditanggung, mulai jatuh satu per satu, apabila melihat cucu
perempuannya yang umur baru enam tahun, berpakaian sudah seperti
perempuan di red district.
Ayah berisghtifar panjang. Apa yang
diharapkan daripada anak lelakinya itu berkenaan dakwah tidak sampai.
Malah memberi risiko yang tidak terbayangkan.
Maka malam itu, pada ketika embun pagi
sudah turun, ketika semua sudah lena, dan hanya saya yang curi-curi
dengar dari bilik, ayah dan abang berbual dengan penuh kaku di ruang
tamu.
Sebenarnya, saya terbangun. Bukan niat
mahu curi-curi dengar, dan permulaan perbualan malam itu, saya
dengar daripada abang.
“Ayah jangan risau. Tahulah saya
didik isteri dan anak saya.”
Suara abang terdengar seperti tidak
suka. Mungkin sebelum itu ayah sudah membangkit perkara tentang isteri dan anaknya.
“Ayah bukan apa. Bertahun-tahun juga
ayah berkata begitu kepada emak kamu. Malah berkata kepada diri
sendiri, yang kamu akan dapat mendidik anak dan isteri kamu, tetapi sampai
sekarang, selepas hampir lapan tahun, skirt isteri kamu semakin
pendek, rambutnya semakin perang. Malah semakin memilukan ayah, cucu
ayah itu yang tidak tahu apa-apa juga terseret sama.”
“Ayah, saya sudah beritahu isteri
saya hal itu, dan katanya pada suatu hari nanti, dia akan berubah.”
“Bila?”
“Apabila ikhlas itu sudah sampai
dalam hati.”
Aku yang mendengar di balik dinding
menggaru-garu kepala, dan menguap dengan penuh hati-hati.
“Anakku, ikhlas itu....” Suara ayah
tertahan, sepertinya ada sesuatu yang sangat berat dia mahu sampaikan
tetapi tidak sampai.
“Isteri saya tidak mahu hipokrit, dan
saya juga tidak mahu isteri saya hipokrit! Bertudung biarlah daripada
hati yang ikhlas, bukan kerana hipokrit!”
“Baiklah, ayah setuju kamu tidak mahu hipokrit. Tetapi sekarang kamu agama apa? Isteri kamu agama apa?”
“Islam. Kami Islam. Mengapa tanya?”
“Islam, mahu penganutnya membuat
suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Antara suruhan wajib
adalah menutup aurat. Ikhlas ataupun tidak, itu tidak ada kena
mengena kita sesama manusia. Ikhlas itu diberi oleh Tuhan, dan ia
antara kita dengan Tuhan. Jadi, ayah mahu bertanya, siapa yang lebih
hipokrit, seseorang yang mengaku Islam tetapi tidak menurut ajaran
Islam, ataupun seorang Islam yang menurut ajaran agama tanpa
mempedulikan apa kata hatinya sendiri dan orang lain?”
Saya mula berdebar-debar. Mahu sahaja
saya meluru keluar melihat wajah abang, tetapi saya fikir,
perbincangan anak-beranak itu lebih aman tanpa saya.
Abang diam dan suara ayah terdengar
lagi.
“Kamu takut hipokrit kerana tidak
ikhlas, sedangkan dalam masa yang sama kamu sedang berbuat hipokrit
yang paling besar dalam dunia. Kamu mengaku Islam tetapi tidak
menjalankan apa suruhan Islam. Bukankah itu juga hipokrit? Hipokrit
yang kamu kata kerana tidak ikhlas itu, sebenarnya adalah pengorbanan
dan nilainya pahala. Tetapi hipokrit yang mengaku sebagai Islam
tetapi sentiasa beralasan bagi menurut perintah-Nya, adalah hipokrit
sejati dan nilainya, kamu sendiri mesti tahu di mana mahu
meletaknya.”
Hampir seminit juga saya hanya
mendengar bunyi cengkerik dan katak memanggil pasangan. Saya
membayangkan ayah sedang menatap abang yang mungkin sedang tertunduk
pada waktu itu.
“Kamu jangan salah faham kepada ayah.
Ayah bukan mahu mencampuri urusan rumah tangga kamu. Tetapi siapapun
kamu sekarang, kamu tetap anak ayah yang ayah pernah dukung semasa
kecil, yang pernah ayah cium pipi dahinya. Kamu tetap anak ayah, yang
ayah sayang. Ayah tidak mahu masa hadapan akhirat kamu tidak menentu.
Apapun ayah hanya berusaha, hidayah itu tetap datangnya daripada
Allah, dan semoga kita semua terus mendapat hidayah-Nya.”
Suasana kembali diam, dan saya mula
membayangkan waktu itu abang meluru lalu memeluk ayah. Entah mengapa
tiba-tiba mata saya menjadi panas, dan ada mula bertakung. Namun
dalam masa yang sama, saya tetap mampu tersenyum.