Manusia berubah, begitu juga saya
kerana saya ini manusia. Berubah menjadi lebih baik, berubah menjadi
lebih hasad, berubah menjadi lebih bahagia, berubaha menjadi lebih
miskin, dan segala macam lagi perubahan.
Cuma sahaja, pada ketika melihat
manusia lain, ada perkara yang membuat saya terlupa untuk berubah.
***
Nama perempuan itu Alya. Nur Alya. Saya
bertemu dan kenal dengan dia semasa bekerja di kedai serbaneka yang ada menjual minuman keras, kedai 8-11. Tetapi saya
tidak lama bekerja di situ, cuma sempat tiga hari apabila ditegur
oleh seorang lelaki yang baik hati, “Apakah kamu yakin dengan
berkat pada pendapatan kamu dengan menjual minuman keras?”
Pertanyaan itu saya bawa pulang tidur
dan bangun sahaja, saya tahu yang saya tidak yakin. Rezeki itu adalah
berkenaan berkat, dan terus sahaja saya berhenti. Cuma sahaja Nur
Alya terus bekerja di situ, dan sehinggalah lima bulan kemudian, saya
bertemu lagi dengan Nur Alya.
***
Waktu itu saya sudah punyai pekerjaan
yang baik, dan sering juga mengikuti kelas agama, lalu semangat saya
bagi berdakwah itu juga tinggi. Saya yang mula-mula menegur dia, dan
Nur Alya tersenyum kepada saya lalu berkata, “Dahulu, ada seorang
lelaki mencari kamu. Kata saya, kamu sudah berhenti. Lebih malang,
nombor telefon kamu juga tidak ada.”
Saya akur itu silap saya. Terburu-buru
berhenti sehingga nombor telefon Alya pun saya tidak simpan. Tetapi
tidak apalah, itu bukan isunya. Isu utamanya, saya melihat Alya masih
memakai seragam 8-11.
Terus sahaja saya memberitahu hal yang
saya lupa beritahu lima bulan dahulu, “Kamu yakin dengan berkat
pendapatan kamu dengan menjual arak?”
Nur Alya yang saya yakin baru sahaja
pulang dari kerja, memberikan pandangan yang biasa kepada saya. Dia
tersenyum. Senyuman yang saya fikir adalah senyuman merendahkan nilai
soalan saya itu.
“Itulah soalan yang lelaki yang
mencari kamu.”
Saya terkejut. Mengapalah saya tidak
fikirkan perkara itu, yang lelaki itu juga pasti bertanyakan
soalan yang sama kepada Alya. Tidak mungkinlah dia bertanyakan soalan
itu kepada saya sahaja.
“Jadi, mengapa kamu terus bekerja di
situ? Adakah kamu tidak fikir masa hadapan kamu bukan semasa kamu berjaya di dunia, tetapi semasa kamu sudah mati. Mengapa?" soal saya.
Alya yang baru mahu bercakap sesuatu, terus saya sampuk kerana hati saya meluap luap rasa tidak puas hati.
“Saya bukannya baik sangat tetapi kita manusia ini perlu berubah setidak tidaknya daripada tidak berkat kepada mendapat sedikit berkat. Setidak tidaknya. Lalu mengpa kamu tidak mahu begitu? Apa lebihnya bekerja di situ? Di mana berkatnya?"
“Sebab itulah lelaki itu mencari
kamu. Sayangnya kamu berhenti awal.”
Saya tidak mengerti ke mana Alya mahu
membawa perbincangan itu. Apa kaitan dengan lelaki itu pula?
“Mengapa dengan lelaki itu? Jangan jadikan dia alasan untuk perkara yang kamu sendiri boleh fikir."
“Dia mahu kita terus bekerja di
situ.”
“Apa?” Saya hampir sahaja menjerit
mendengar kata-kata Nur Alya.
“Ya.”
“Sebab apa pula? Bukankah dia yang
bertanyakan soalan itu?”
“ Sebab dia mahu membayar upah kepada
kita. Manakala duit gaji itu kita sumbangkan kepada badan dakwah.
Badan dakwah itu yang kemudiannya membayar kita kembali. Kiranya,
kita dapat gaji yang berkat. Tetapi dengan satu syarat.”
“Syarat?” Penerangan Nur Alya
membuatkan saya sedikit keliru. Mengapa terdengar begitu kompleks?
“Syarat, supaya kita berdakwah kepada
mana-mana orang Islam yang masuk membeli minuman keras. Tidak dapat
dakwah mulut, kita juga disediakan dengan flyer. Masukkan sahaja
flyer ke dalam plastik. Doakan mereka membacanya dan mendapat
hidayah.”
Saya terdiam. Itulah pertama kali saya
mendengar perkara itu.
“Itu yang saya lakukan. Hanya orang
yang berada di dalam situ sahaja yang dapat menjalankan dakwah secara
halus dan sembunyi. Bayangkan kita berdakwah menunggu di hadapan
kedai, kamu fikir kamu tidak akan dihalau?”
Pertanyaan Nur Alya itu kembali
menyentuh fikiran saya, dan akhirnya saya mengerti juga mengapa Nur
Alya terus bekerja di situ.
Ternyata, saya tetap tidak mampu
mengubah tanggapan saya kepada manusia lain, pada ketika saya
merasakan diri saya lebih baik. Yang jelas, antara saya dan Nur Alya,
perubahan Nur Alya itu lebih besar berbanding perubahan saya, dan saya pula hanya kerana merasa diri lebih baik, saya terlupa untuk berubah menjadi lebih merendah diri.