Friday, March 30, 2012

lelaki-lelaki dan bengkel besi - sebuah cerpen

Dia bertanya, “Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?”

Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan termangu saya menjadi menungan yang panjang.

Lelaki dan bengkel besi

Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya. Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya, tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia bukan kata-kata untuk mengambil hati.

Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok, parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.

Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat, bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.

Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting besi.

Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia. Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh seorang lelaki tua.

Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.

Bapa saudara.
Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin, memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.

Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu, setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya. Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.

“Sampai bila kamu mahu membuat parang?” Itu soalan pertamanya kepada saya.

Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.

“Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?” Lelaki tua itu terus bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali merah.

“Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan pengalaman kerja kamu.”

Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi, bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.

Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!

Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu yang menyala di hadapan saya.

“Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini, tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma tidak dapat menerima ujian hidup.” Lelaki tua itu mula bersyarah, dan saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap bilah parang daripada tangan saya.

“Mengapa kamu diam?” Lelaki tua itu mula keras suaranya.

“Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu,” jawab saya untuk pertama kalinya.

“Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan, luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!” bidas lelaki tua itu.

Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang dan diam.

“Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?” soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.

“Kata Imam Ghazali, “Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah jarang betul saya melihat kamu solat.”

“Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu,” bidas saya geram dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..

“Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian. Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran, gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada kegagalan,” terang lelaki tua itu.

“Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal,” hujah saya.

“Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya 'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi, tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah kamu kepada kamu!”

Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.

“Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?” soal dia lagi.

“Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan berjumpa dengan lebih banyak tangisan,” balas saya lalu tersenyum sinis.

“Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu, saya yakin kamu tidak akan lagi begini,” jelas dia.

Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.

“Rasulullah pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Seperti besi yang kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih? Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa menjadi sesuatu yang berguna.”

“Apa kena-mengena dengan saya?” soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.

“Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api. Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur, sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik. Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya.”

Saya pantas berkata, “Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?”

“Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya, dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredai Allah.”

Saya terdiam dan dia menyambung lagi,

“Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap kesempatan.  Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini.”

Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang panjang.

Thursday, March 22, 2012

di dalam rumah itu ada aku sebagai debu,

di dalam rumah itu ada aku sebagai debu,
bersenang-senang di atas sejadah tua,
dan pura-pura merindu,
datang kau malaikat menyapu aku,
hilang aku bersama rindu,
ke jendela tanah yang basah selalu,
meninggalkan di atas sejadah tua,
hanya pura-pura,
menunggu debu yang baru

Tuesday, March 20, 2012

dan rambutnya pun terlindung - sebuah cerpen.

Cerpen ini saya tulis berdasarkan e-mel kisah benar yang dikirimkan kepada saya. Dan, pastinyalah, sudah lebih 90 peratus ceritanya saya gubah kembali bagi melindungi baik-baik si pengirim e-mel agar tidak terjejak identitinya, namun mutiara kisahnya tetap saya kekalkan.

Dia yang memberitahu saya dahulu, “Allah tahu siapa saya. Hanya Allah yang berhak putuskan, sama ada Dia mahu menerima solat saya ataupun tidak. Walaupun saya tidak bertudung tetapi Allah lebih tahu hati saya. Saya tidak mahu hipokrit.”

Waktu itu, dia adalah idola saya. Mendengarkan kata 'tidak mahu hipokrit' sepertinya rakyat kulit hitam yang mendapatkan inspirasi daripada Malcom X. Saya begitu terinspirasi dan tanpa canggung, terus mengirai rambut ikal hitam lebat saya, dengan wajah tersenyum-senyum.

Benarlah rambut saya dan rambut dia berbeza, dia berambut lurus, panjang lebih sedikit dari telinga dan dia terlihat Korea cantik. Manakala saya, rambut ikal hitam, panjang melebihi bahu dan terlihat persis Latino. Dan apabila berjalan, tidak pernah tidak ada lelaki yang tidak melihat dengan mata yang bulat-bulat.

Dia jugalah yang meyakinkan saya dengan kata-katanya, “Mengapa perlu menutup rambut? Bukankah menutup dada dan paha itu sudah cukup bagi mengelakkan maksiat?”

Saya cukup yakin dengan dia, kerana saya kenal dia. Dia bukan berasal daripada keluarga yang biasa-biasa. Ayah dan datuknya adalah imam masjid. Ibunya pula seorang yang bertudung dan dia juga adalah pelajar pintar di sekolah. Pasti sahaja segala sebab-sebab yang dia beritahu ada hujahnya, hujah yang saya tidak tahu apa, tetapi cukuplah saya diyakinkan oleh dia kerana dia itu budak yang pandai.

Cuma pada hari ini, dia yang menjadi idola kepada saya selama ini sudah tidak nampak lagi rambut lurusnya yang lembut halus. Semuanya sudah dilitupi tudung biru sehingga apa yang nampak adalah bentuk bujur wajahnya yang sempurna, dan senyum manis yang terbit daripada wajahnya.

“Mengapa?” Hanya itu yang mampu saya soalkan. Rambut ikal yang saya gayakan twisted loop mula terasa menjadi beban kepada hati saya.

“Anggaplah saya sudah mendapat hidayah,” jawab dia ringkas.

“Itu sahaja? Awak sudah dapat hidayah ataupun awak sudah belajar menjadi hipokrit?” soal saya. Terasa ketul-ketul tidak puas hati berkumpul dalam dada. Mahu saya semburkan satu per satu ke muka dia.

Dia pula anehnya, semakin tenang mendengarkan suara keras saya. Sepertinya dia sudah bersedia untuk menerima semua kata-kata nista daripada seluruh dunia.

“Kamu tahu tentang ibu saya?”

Segera ingatan saya mengarah pada seorang perempuan yang tidak pernah kering senyuman daripada wajahnya. Segera juga saya teringat bahawa perempuan itu, sudah dua bulan meninggalkan dunia ini. Lalu segera juga datang logik dalam kepala saya, adakah kerana wasiat ibunya sehingga dia menjadi begini? Saya berasa sedikit janggal untuk berfikir apa-apa berkenaan hal itu, juga berasa serba-salah kerana mengeraskan suara kepada dia. Dan akhirnya saya cuma diam.

“Semasa akhir hayatnya, ibu saya cuma berpesan suatu perkara, memohon saya kembali kepada Allah untuk semua perkara yang terjadi, kerana hanya kasih Allah yang melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya.”

Saya mengangguk-angguk walaupun saya sendiri tidak pasti mengapa saya perlu mengangguk-angguk.

“Pada mulanya, saya mendengar pesan itu sebagai pesan yang biasa. Sehinggalah dua minggu lepas, ada perkara berat yang terjadi kepada saya. Masalah yang membuatkan saya hilang punca, dan sekiranya ibu masih ada, maka dengan dialah saya akan mengadu. Mujurlah pada ketika itu, saya teringatkan pada pesanan ibu.”

Entah mengapa, tiba-tiba saya nampak pada pelupuk matanya ada air bening. Cepat-cepat dia menguis. Entah kisah apalah yang mahu dia sampaikan sehingga perlu diberi permulaan air mata, dan jujurnya, ia membuatkan saya semakin berdebar.

“Pada setiap kali solat, pada setiap sujud, dan pada setiap selesai solat, saya berdoa kepada Allah, 'Ya Allah, makbulkan doa saya ya Allah, makbulkanlah. Saya sudah tidak tahan dgn dugaan-Mu ya Allah, makbulkanlah doa saya, saya mohon hentikan ujian ini...' Itulah doa yang saya ulang-ulang. Sehinggalah pada suatu malam, selepas solat Isyak....”

Dia berhenti, dan lebih banyak butir air mata yang tumpah.

“Selepas solat Isyak itu, dengan kuasa Allah, datang bisikan dalam hati saya, 'Mengapa kau terlalu meminta-minta kepada Allah sedangkan kau tidak cukup bagus kepada-Nya? Bayangkan kau minta baju, kasut, dan barang-barang daripada kawan kau... adakah dia sudi mahu hadiahkan? Sedangkan kau memburuk-burukan dia? Sedangkan kau hanya tahu bermulut manis? Sedangkan kau menyakiti hatinya? Kau tidak mahu mendengar katanya, dan kau tidak mahu menerima arahannya? Benar Allah maha pengasih, maha mengasihani, maha penyayang tetapi sedarkah kau, udara yang kau hirup, mata yang kau pakai, duit yang kau peroleh itu semua adalah tanda maha pengasihnya Allah? Tanda maha mengasihaninya Dia? Jadi, dia mana kau letakkan malu kau sebagai hamba kepada Allah? Sudahlah hanya hamba yang ingkar, mengarah-arah pula. Kau tidak malu?”

Dia kembali mengesat air matanya. Dan saya tahu, ceritanya belum berakhir.

“Saya masih berasa bersalah dengan pegangan saya dahulu. Saya salah menggunakan kata 'hipokrit'. Saya tidak mahu hipokrit kepada diri dan masyarat, tetapi akhirnya saya hipokrit kepada Allah.Untuk mengerjakan suruhan dan menghindari larangan Allah, tidak ada kata 'hipokrit' kerana Allah tahu hati kita. Kata 'hipokrit' hanya wujud pada ketika melanggar larangan-Nya. Saya tahu, menutup aurat itu wajib, tetapi saya memilih bagi tidak menjadi 'hipokrit kecil' iaitu hipokrit kepada diri sendiri, dan akhirnya saya tanpa sedar menjadi 'hipokrit besar', hipokrit kepada Allah. Memanglah ikhlas itu perlu, tetapi bagaimana kita mahu ikhlas sekiranya suruhan Allah pun kita tidak lakukan? Mengapa kita hanya 'ikhlas' bagi mengerjakan larangan-Nya dan menghindari suruhan-Nya? Hanya itu sahajakah makna ikhlas dan hipokrit yang kita tahu?”

Saya menelan liur mendengarkan kata-kata dia. Terlalu bisa sebenarnya. Terlalu mencucuk hati.

“Namun sesuatu yang saya sedari, walaupun datuk dan ayah saya imam masjid dan ibu saya itu kuat agamanya, tetapi hidayah itu hanya datang daripada Allah. Bukan datang daripada ayah, datuk dan ibu saya. Hidayah itu bukan dicari daripada mereka, tetapi dicari daripada Allah. Dan saya yakin, atas sebab itulah, 'kembali kepada Allah', menjadi pesan terakhir ibu kepada saya....”

Dia tidak mampu meneruskan lagi kata-katanya, dan hanya terdengar esak yang semakin bergema dalam hati saya. Ya, Allah ampunkan aku. Ya, Allah.

Friday, March 16, 2012

Ini bukanlah cerpen. Ini cuma tentang usaha rakan baik saya.



Dia seorang yang kreatif, dan dia seorang yang suka berbeza. Atas dasar itu, dia tampil dengan idea kedai online yang unik.

Saya suka dengan konsep kedai online ini, dan saya setuju bekerjasama dengan dia, tuan punya kedai yang kreatif dan baik hati. Tagline kedainya agak panjang tetapi ia berbaloi dibaca. :)

'Anda boleh meminta penulis buku menulis apa sahaja ucapan yang anda mahu pada buku yang anda beli. Ia percuma!'

Jadi Tuan dan Puan sekarang sudah ada lebih banyak pilihan :) Boleh klik link di bawah bagi sebarang urusan. :) Terima kasih.

http://www.sayabeli.com.my/

Thursday, March 08, 2012

Kisah manis hati anakanda

Mata Amira sudah merah, dan ada surat di tangannya. Entah beberapa kali Amira membaca surat itu, tetapi setiap kali membacanya, pada setiap kali itu juga hati Amira umpama dirayapi semut merah yang bisa.

Amira sekali lagi membaca surat di tangannya.

Assalamualaikum,

Apa khabar anakanda di sana? Ayah doakan semoga anakanda ceria semasa membaca surat ini. Maafkan ayah kerana masih ketinggalan zaman. Perkara yang sepatutnya diberikan melalui e-mel, ayah hantarkan melalui surat. Salah ayah juga kerana tidak bertanya e-mel baru anakanda.

Ringkaslah ceritanya, ayah sudah tahu kisah anakanda daripada bonda. Kisah manis hati anakanda. Namun janganlah anakanda khuatir sehingga surat ayah ini anakanda berhenti baca, kerana ayahanda bukanlah mahu marah, bukan juga mahu mengarah-ngarah anakanda yang sudah dewasa, melainkan ayah cuma mahu bercerita kepada anakanda berkenaan apa dalam hati ayah ini.

Ayah yakin dan sangat percaya, anakanda adalah anak yang solehah, yang taat kepada agama. Namun pada usia anakanda, ayah juga tahu suatu perkara, anakanda dalam diam sedang berperang dengan perasaan di dalam dada.

Ayah khuatir betul dengan perkara yang namanya cinta. Walaupun sudah ayahanda jelaskan, dan walaupun puas bonda terangkan kepada anakanda berkenaan cinta, pasti ada ketika hati anakanda terdetik juga mahu mencuba apa rasanya cinta, dan ayah tahu sudahlah datang waktu itu kepada anakanda.

Janganlah salahkan bonda kerana memberitahu ayah, tetapi ayah jugalah yang salah kerana setiap hari ayah bertanya tentang kamu daripada bonda. Bonda kamu itu sangat taat kepada ayah, dan tidak mungkinlah dia mampu merahsiakan sesuatu pun daripada ayah.

Ingat lagi ayah, pada ketika anakanda baru empat tahun dan anakanda mahu membeli belon warna merah. Ayah belikan dan anakanda sangat gembira. Anakanda terus berlari-lari dengan belon merah di tangan sambil ketawa riang. Malangnya, belon anakanda pecah tergeser daun lalang. Anakanda menangis, dan ayah sekuat hati memujuk anakanda dan waktu itu walaupun anakanda sangat kecewa, marah dan sedih tetapi tetap juga anakanda terpujuk dengan kata-kata ayah. Terpujuk apabila ayah mengangkat anakanda tinggi dan meletak anakanda pada bahu ayah. Anakanda gembira, dan tangisan pun mereda.

Namun kini, apa yang ayah takutkan semasa anakanda umur empat tahun, terjadi lagi. Bukan lagi belon yang pecah tetapi akankah hati anakandayang pecah? Itulah yang ayah khuatirkan tentang anakanda, pada ketika umur anakanda sudah tidak memungkin ayah meletak anakanda pada bahu ayah, itu juga bermakna anakanda tidak mungkin lagi terpujuk.

Itulah cinta sebelum nikah, ia seperti belon merah yang anakanda inginkan semasa kecil. Ia lembut, ia menggoda dan ia nampak manis. Namun hakikatnya, ia sangat nipis, dan banyak perkara mampu membuatnya pecah pada ketika anakanda membawanya berjalan di jalan penuh lalang.

Ayah, berharap tahan-tahan dahulu perasaan kamu itu. Jangan ditunjuk kepada si lelaki sehingga anakanda terlihat murah. Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa.

Banyakkan ingat Allah sayang. Banyakkan menyebut namanya. Berzikirlah, bertahmidlah, bertasbihlah dan bertakbirlah. Banyakkan membaca ayat-ayat-Nya. Kerana hanya kepada Dia anakanda dapat bergantung dengan sepenuh hati selepas ayah dan bonda jauh dari anakanda.

Janganlah pula anakanda menyangka ayah ini kolot orangnya sehingga tidak mahu anakanda bercinta. Tidak salah anakanda bercinta, cuma bagi setiap perkara akan ada masanya yang tepat. Seperti embun yang lembut, tidaklah ia turun ketika matahari sudah tegak di kepala, tidak juga turun pada ketika matahari condong ke barat, ia turun pada waktunya yang tepat, walaupun singkat tetapi itulah yang terindah untuknya.

Sedangkan embun di hujung daun pun punya waktu, apatah lagi cinta yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anakanda bertanya, bila waktu yang tepat untuk yang bernama cinta? Jawab ayah, pada ketika semuanya sudah bersedia.

Cinta itu anakanda, bukan sekadar hati yang bersedia menerima dan memberi tetapi, fikiran juga perlu bersedia, emosi perlu bersedia, fizikal perlu bersedia, dan paling utama, adakah pasangan anakanda itu juga sudah bersedia untuk semuanya? Bersedia menerima dan memberi? Pada ketika hanya hati yang bersedia, pada ketika itulah cinta itu umpama belon yang mudah pecah.

Pada ketika anakanda sudah tidak mampu menahan rasa hati, ingatlah anakanda ayah dan bonda di sini. Jaga air muka kami dengan menjaga air muka anaknda, jaga maruah kami dengan menjaga maruah anakanda, dan jaga akhirat kami dengan menjaga akhirat anakanda. Ingat jugalah, jodoh itu terkadang datang lebih awal daripada cinta.

Sekiranya anakanda berasa surat ayah ini sudah keterlaluan, ketahuilah, ayah memang keterlaluan dalam soal sayang dan kasih kepada anakanda. Sayang ayah dan bonda kepada anakanda, keterlaluan sepertinya matahari yang terik, bukannya seperti matahari pagi tidak juga seperti matahari senja.

Sekiranya keterlaluan sayang dan kasih itu salah untuk anakanda, maafkan ayah kerana ayah tidak mampu untuk mengurangkannya. Tidak mampu walaupun sekuman. Baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata dalam hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil.

Akhir kata, semoga anakanda sudah mengerti sedikit hati ayah. Tidak banyak, sedikit pun itu sudah membuat ayah tersenyum. Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah.

Salam sayang,
Ayah.

Tuesday, March 06, 2012

sembunyi

di tengah malam pekat,
di hujung atap berkarat,
di penjuru paling tajam,
ada titik air lembut,
tergantung rapuh,
menunggu jatuh

Friday, March 02, 2012

pada bicara ini

pada bicara ini,
ada kata yang paling tepat,
ada kata yang paling benar,
ada kata yang paling pedih,
ada kata yang paling tajam,
ada kata yang paling pilu,

terselit entah di celah otak yang mana,
kiri ataupun kanan?

terselindung entah di sudut hati yang mana,
putih ataupun hitam?