Beberapa hari lalu. Aku melalui perkara yang aku kurang setuju. Duduk di dalam kereta yang tersedu-sedu geraknya. Bukan kerna enjinnya udah uzur tetapi kerna keadaan jalan raya yang langsung tidak bisa diajak tersenyum. Jem.
Mujur aku merasakan waktu tidak berlalu perlahan. Mungkin kerna aku ikut menyanyi bersama nyanyian lagu daripada radio kereta. Menyanyi sepenuh hati. Seolahnya aku bersatu dengan baris liriknya.
Sehingga pada satu saat aku mendengarkan lagu dari negara tetangga. Indonesia. 'Aku Mau'. Ada baris liriknya yang membuat aku menegangkan dahi. Bukan kerna ia terlalu berat bagi diertikan. Cuma ia kedengaran terlalu lembut dan benar.
'Aku mau cintai kekurangan mu'
Biasanya, aku sering mendengarkan:
'Aku akan menerima dirimu seadanya.' ataupun yang seerti dengannya.
Aku memikir sambil memerhati kereta merah di hadapan aku. Biasanya, manusia yang bercinta itu mencintai kelebihan pasangannya. Mungkin pasangannya punyai gigi yang cantik, hidung yang mancung ataupun kulit yang putih. Manakala jika pasangannya itu punyai kekurangan kerna tubuhnya yang terlalu gebu, kulitnya yang berwarna kopi kurang susu dan seumpamanya, sang pencinta hanya akan berkata, dia menerima segala kekurangan itu dengan seadanya. Hanya menerima seadanya. Bukan mencinta.
Betul, ia bukannya hal yang berat. Malah tidak pula menjadi hal yang serius. Cuma jika dilihat ke belakang, sebenarnya ada manusia yang udah melaksanakan lirik lagu itu. Mencintai kekurangan kita. Ibu dan bapa. Mereka bukan sekadar menerima seadanya kekurangan diri kita, tetapi sebenarnya mencinta. Jika sekadar menerima seadanya, pasti kita tidak berada pada tahap kita sekarang.
Jika pun ada kekurangan kita yang mereka tidak mampu terima,mungkin ia kekurangan daripada segi sifat nakal kita yang berlebihan. Tidak menurut dan kuat berkata tidak bagi suruhan mereka. Itu normal.
Persoalannya, apa mungkin kita mencintai kekurangan pasangan sendiri. Diakui pada awal bercinta, pasangan kita adalah segalanya. Tidak langsung terlihat cacat celanya. Jika pun mereka memberitahu kita yang kekurangan diri mereka, kita hanya tersenyum dan berbisik kepada mereka, 'aku menerima seadanya kamu.'
Aku kira itu adalah batasan cinta manusia. Manusia hanya bisa mencintai apa yang indah tetapi jika ia tidak indah, mereka hanya akan membuang ke tepi. Jika pun tidak di buang, kekurangan itu hanya diterima seadanya. Diterima tanpa pelukan erat. Hanya umpama salaman tangan yang longgar dan ringan.
Namun, tidak salah kita mencuba mencintai kekurangan pasangan kita. Mungkin dengan mencintai kekurangan itu, kita akan lebih mengerti makna cinta itu sendiri. Iya, segalanya mungkin. Tinggal lagi, kita mahu ataupun tidak.
Mungkin juga aku boleh mencuba sekarang. Menghantar sms begini kepada isteri aku di rumah,
“Maaf, kerna aku baru mahu mulai cuba mencintai kekurangan mu”
Mungkin dibalasnya begini.
“:-) Kamu tahu, mengapa aku dan kamu bersatu? Kerna tuhan mahu kita berdua saling melengkapkan kekurangan masing-masing.”
Pasti aku tersenyum sepanjang hari. Namun itu hanya mainan fikiran. Aku tidak fikir aku mampu menghantar sms sebegitu. Jika pun aku menghantar paling tidak jawapannya begini
“Maaf, kamu salah nombor.”
:-P
1 comment:
mencintai kekurangan seseorang?
mana mungkin akan terjadi begitu ...
Post a Comment