Friday, May 28, 2010

Bab 3: Zali Lelaki yang Tenang - Sebuah Novel.

Bab 3. Bagi membaca bab 1 dan 2 klik sahaja pada label entri ini.

Sudah diberitahu yang Zali menjadi lelaki yang tenang kerana dibantu kuat oleh rakan-rakannya. Sebenarnya Zali hanya ada dua rakan yang sangat baik dan rakan itulah yang membuatkannya terlihat sebagai lelaki yang tenang.

Salah seorangnya, sudah diceritakan sebelum ini, iaitu Sabri. Manakala seorang lagi, juga adalah rakan yang bertanggungjawab menampakkan Zali sebagai seorang yang tenang selalu. Dia jugalah yang bertanggungjawab mempopularkan Zali sebagai lelaki yang tenang di kampung itu.

Namanya Mohamad Izwa bin Sulaiman Taha. Dalam keluarganya dia dipanggil Wa. Di kalangan rakan-rakan sekolahnya dia dipanggil Taha sempena nama ayahnya. Di kalangan orang kampung dia dipanggil 'Anak Sulaiman'. Sementara tauke Cina di kampung memanggilnya Mohamad. Hanya Zali yang memanggilnya Izwa.

Izwa sama seperti Sabri, menjadi teman Zali dari darjah satu sampai tingkatan tiga. Bezanya, Izwa tidak berhenti sekolah selepas tingkatan tiga tetapi dia berpindah ke sekolah berasrama penuh kerana keputusan PMR yang cemerlang. Selepas itu dia menyambung diploma dalam bidang komputer. Selepas habis diploma, dia menyambung pula sarjana muda dalam bidang yang sama. Dia menjadi penduduk yang paling pandai di kampung itu. Berbeza dengan Sabri juga, Izwa ini sangat terkenal. Malah kanak-kanak di tadika juga menjadikan Izwa sebagai idola. Kata mereka, “Saya mahu jadi seperti 'Anak Sulaiman'.

Izwa terkenal bukan sahaja kerana otaknya yang bergeliga, malah kerana dia mempunyai paras rupa yang elok rupawan. Semuanya diperoleh daripada ibunya, seorang penduduk Indonesia kacukan Belanda dan Aceh. Izwa bertubuh lampai, berambut coklat, berkulit cerah dan paling istimewa, dia punyai mata coklat yang jernih.

Yang paling membuatkan Izwa terkenal, bukan kerana dirinya sahaja, tetapi kerana ayahnya, Sulaiman Taha. Ayahnya adalah pemilik kilang papan dan ayahnya juga adalah orang yang paling awal mempunyai kereta di kampung itu. Yang paling membuatkan Sulaiman Taha terkenal adalah kerana dia punyai tiga isteri dan ibu Izwa adalah isteri bongsu yang dikahwininya di Indonesia. Jadi kerana itulah Izwa dipanggil sebagai 'Anak Sulaiman' oleh orang kampung.

Walaupun sepertinya Izwa itu sempurna, Izwa tetap punyai kelemahannya. Dia masih menjadi penganggur. Sudah jenuh Izwa meminta kerja namun pada saat temuduga, Izwa tidak pernah berjaya. Bukan kerana Izwa pemalu, bukan juga kerana Izwa gemuruh tetapi kerana Izwa sangat jujur. Apa sahaja yang terlintas dalam hatinya dia akan segera menyampaikan tanpa rasa ragu-ragu.

Misalnya semasa dia ditemuduga menjadi pegawai sistem maklumat di sebuah syarikat swasta. Soalannya mudah, cuma bertanya berapa gaji yang dia mahu tetapi Izwa menjawab, “Saya mahu RM500.00 sahaja kerana saya tidak fikir syarikat ini mampu memberikan lebih daripada itu. Komputer pun masih gunakan monitor yang seperti kotak.”

Anehnya Izwa tidak pernah mahu mengaku yang dia terlalu jujur. Dia cuma berkata, “Hidup ini seperti soalan peperiksaan, jadi adakah kita mahu menjawab salah pada soalan itu?”

Mungkin inilah akibatnya hidup terlalu berorientasikan peperiksaan, sehingga pandangan hidup juga menjadi seperti itu. Itulah yang membantu Zali terlihat menjadi lelaki yang tenang, kerana Izwa yang jujur tidak bertempat itu sering menjadi mangsa kemarahan makcik-makcik yang bergincu merah dan berbedak tebal. Izwa sangat jujur memberikan komentar berkenaan hal itu. Katanya, “Gincu dan bedak itu sekiranya didermakan ke Afrika pasti boleh memutihkan 10 lelaki Afrika dan memerahkan bibir 20 wanita Afrka.”

Disinilah peranan Zali. Dia adalah orang yang kembali menaikkan semangat makcik-makcik itu dan mengelakkan Izwa menjadi mangsa serangan mulut. Semuanya dilakukan dengan tenang dan harmoni. Bukan itu sahaja, malah Izwa yang jujur itu sering berkata, “Zali, kerana dia adalah lelaki yang tenang.” Ia bagi menjawab soalan orang kampung, “Siapa lagi yang layak menjadi angkasawan negara?”

Dengan jawapan Izwa, Zali tersohor di seluruh kampung sebagai lelaki yang tenang. Izwa pula tetap seperti dirinya, menjadi lelaki yang sangat jujur sehingga tidak ada konsep menjaga hati. Namun kejujuran Izwa sepertinya tergugat pada saat sebuah keluarga guru datang ke kampung itu. Guru baru dinaikkan pangkat menjadi guru besar dan seterusnya dihantar berkhidmat ke kampung itu.

Bersambung....

Wednesday, May 19, 2010

Bab 2 : Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bagi membaca Bab 1 klik sahaja pada label ini - Zali Lelaki Yang Tenang

Bab 2

Ketenangan Zali sebenarnya bukan sahaja didorong oleh dirinya, bukan juga oleh suasana kampungnya dan bukan juga faktor keluarganya sahaja. Antara faktor lain dan juga antara faktor utama Zali dikenali sebagai lelaki yang tenang adalah kerana dia mempunyai teman-teman yang tidak tenang.

Teman-temanlah yang menjadikan Zali sebagai lelaki yang menjadi pusat perhatian. Bayangkan sahaja, pada saat semua teman-teman Zali mengerutkan wajah, Zali masih boleh berwajah kosong dengan mata yang redup. Lalu pada saat itu, apa yang menarik perhatian kita? Pasti wajah Zali yang kosong itu dan sekaligus menjadikan dia lelaki yang tenang.

Siapa teman-teman Zali itu? Kenalkan dulu Sabri, teman sekelas Zali dari darjah satu sampai tingkatan tiga. Selepas tingkatan tiga, Sabri berhenti sekolah dengan alasan, tingkatan empat dan lima tidak menjanjikan apa-apa untuk dia. Dia mendapat semua E dalam subjek yang diambil semasa PMR. Lalu kesemua penduduk kampung yang mengenali Sabri, sepertinya merestui hasrat Sabri dan pada saat orang kampung yang mengenali Sabri melihat Sabri, mereka memberikan pandangan yang seolahnya berkata, 'Kamu adalah penerus generasi yang bekerja dengan Tauke Cina. Selamat berjaya, Sabri'.

Mujur tidak ramai penduduk kampung yang mengenali Sabri. Mungkin hanya 2/5 yang kenal dan selebihnya, lupa-lupa ingat dan perlu diberitahu siapa bapa Sabri, ibunya, datuknya dan sepupu-sepupunya. Selepas itu barulah mereka akan mengangguk-angguk seperti tahu walaupun jelas memek wajahnya mereka masih ragu-ragu.

Mengenali Sabri sebagai rakan Zali, seolah seperti kita mengenali Zainuddin sebagai rakan Micheal Jackson. Semua tahu siapa itu Micheal Jackson, tetapi siapa pula Zainuddin? Dalam kisah ini Sabri adalah Zainuddin yang tidak seorang pun tahu siapa dia, dan Zali pula adalah Micheal Jackson, di mana satu kampung mengenali Zali.

Tidak susah bagi memahami mengapa Sabri itu menjadi Zainuddin sekiranya kita pernah mendapat semua E dalam PMR dan sekarang sedang bekerja sebagai kuli di kedai runcit Tauke Cina. Lalu Sabri lelaki yang tubuhnya rendah tetapi tegap dan berotot-otot sering sembunyi di dalam setor Tauke Cina. Hanya keluar bagi memikul guni tepung gandum, beras, gula dan sesekali baja kelapa sawit.

Antara sebab utama Sabri keluar dari setor juga adalah apabila Zali memanggilnya bagi minum petang di kedai kopi, selang tiga buah kedai dari tempat Sabri bekerja. Pada saat itu Sabri tidak membantah dan segera mengenakan topi berlambang harimau ke kepalanya. Dengarnya, topi berlambang harimau itu pemberian daripada seseorang yang istimewa, namun tidak seorang pun tahu, siapa orang istimewa yang dimaksudkan oleh Sabri. Sekiranya ditanya Sabri hanya menjawab, “Istimewa itu adalah sesuatu yang rahsia. Sekiranya sudah diberitahu ia tidak lagi menjadi istimewa.”

Zali pula walaupun cukup tenang mendengar jawapan Sabri, sesekali geram juga hatinya mahu tahu siapa orang istimewa itu, tetapi mulut Sabri seperti pintu makam firaun, yang tertutup rapat. Namun Zali tetap tenang.

Adapun semasa bersama Zali, Sabri menjadi lelaki yang tidak tenang kerana pada saat Zali berkata-kata, dia antara mahu percaya ataupun tidak. Mahu percaya tetapi kedengaran terlalu hebat, dan mahu tidak percaya pula mana tahu perkara itu memang betul. Yalah, diakan cuma kuli kedai runcit, lalu apa sangatlah pengetahuan yang dia ada. Misalnya semasa Zali bercerita berkenaan motosikal abang sulungnya yang bekerja sebagai askar.

“Motosikal abang aku itu boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi. Sekiranya ada tanjakkan ia boleh melompat melepasi rumah ketua kampung kita,” kata Zali dengan wajah yang tenang.

Sabri antara mahu percaya ataupun tidak. Bagaimana motosikal boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi? Sedangkan tinggi lori itu bukan main lagi. Apatah lagi sekiranya ia boleh melepasi pula rumah ketua kampung. Rumah ketua kampung mereka adalah rumah yang paling tinggi di situ. Tinggi tiang rumahnya sahaja sudah dua meter dan lelaki dewasa boleh berlumba lari di bawah rumah tanpa gusar kepala benjol.

Namun pada satu sisi Sabri terpaksa akur berkenaan pengetahuan yang dia ada. Dia cuma kuli yang hidupnya di setor kedai runcit. Mungkin sahaja di luar sana memang ada motosikal yang boleh melompat tinggi. Mana tahu? Jadi kekallah wajah Sabri berkerut dan ia sangat membantu menonjolkan Zali sebagai lelaki yang tenang.

Sikap Sabri yang waswas dan ragu-ragu itu akhirnya semakin menjadi-jadi pada saat kedatangan sebuah keluarga guru ke kampung itu. Guru yang baharu dinaikkan pangkat menjadi guru besar, guru yang menjadikan Sabri semakin terlihat tidak tenang.


Bersambung....


Wednesday, May 12, 2010

Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel.

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bab 1

Dia lelaki yang tenang. Sekiranya dia sedang menghirup sup, dan ada manusia yang tiba-tiba menegurnya, dia akan menghabiskan dulu hirupan supnya, sebelum berpaling tersenyum kepada manusia itu. Sekiranya juga pada suatu tengah hari terik, dia terbangun dan melihat jam dia sudah terlewat ke tempat kerja, dia hanya menggeliat sebelum bangun dan menyiapkan diri dengan hanya membasuh muka. Tidak ada langsung gelisah pada wajahnya kerana dia lelaki tenang.

Namanya Zali bin Mahyuddin. Entah daripada mana ayahnya mendapat ilham bagi menamakannya Zali masih menjadi topik petang yang hangat di kedai kopi. Kata seorang lelaki tua yang sering disalah anggap sebagai ketua kampung, Mahyuddin sebenarnya mahu menamakan Zali itu Jali, namun tersilap tulis di atas borang. Kata seorang lagi lelaki tua, yang sering disalah anggap sebagai orang kaya, Mahyuddin mendapatkan ilham menamakan Zali daripada filem P.Ramlee, anakku Sazali, namun kerana khuatir anaknya nanti menjadi derhaka, dipendekkan sahaja menjadi Zali.

Itu kata orang kampung di kedai kopi. Namun yang sebenarnya tidak ada seorang pun yang benar-benar pasti mengapa Mahyuddin menamakan anaknya Zali. Malah sekiranya ditanyakan kepada Mahyuddin, Mahyuddin hanya mampu menggaru-garu kepala, tersenyum dan berkata, “Wallahuaklam.”

Zali sebagai lelaki tenang, yang sering menjadi perdebatan namanya di kedai kopi, sering juga singgah ke kedai kopi. Berlagak seperti lulusan universiti yang menganggur, sedangkan satu kampung tahu, dia cuma belajar sampai ke tingkatan enam, sebelum bekerja menjadi kerani di pejabat daerah. Namun sering juga anak-anak gadis selang beberapa buah kampung tertipu dengan gayanya. Semuanya kerana dia sangat tenang pada saat berbahas berkenaan pengangguran di kedai kopi. Mengapa ada ramai penganggur dan bagaimana mahu mengurangkannya. Zali mampu berbahas dengan baik berkenaan perkara itu dan lebih utama, dia cukup tenang menyentuh hal itu.

Hidup Zali juga tenang kerana keadaan kampungnya yang tenang. Kampungnya yang baru 15 tahun ada jalan raya, 10 tahun ada elektrik dan lima tahun lepas baru ada paip air, sangat kurang jumlah penduduk mudanya. Jadi jalan raya sangat tenang tanpa bunyi motosikal anak muda dan makcik-makcik boleh berlenggang dengan gelang emas sebesar ibu jari dilengan tanpa khuatir yang namanya peragut.

Lebih menenangkan hidup Zali, dia adalah anak bongsu daripada lima adik beradik. Abang sulungnya bekerja sebagai askar, kakak nombor duanya menjadi cikgu, abang nombor tiganya menjadi pegawai tadbir dan abang nombor empatnya menjadi doktor. Dia pula anak bongsu yang masih tinggal dengan ibu bapa tanpa perlu resah memikirkan duit sewa, duit makan dan segala perkara yang sedang difikirkan oleh lelaki bujang di Kuala Lumpur sekarang.

Setenang-tenang lelaki bernama Zali, ada juga kekecualiannya. Dia sangat tidak tenang pada saat melihat wajah ibunya. Sekiranya ibunya berwajah kosong, Zali segera bertanya mengapa? Sekiranya ibunya berwajah tenang, Zali akan bertanya mengapa. Sekiranya ibunya berwajah mendung, lagilah Zali segera bertanya mengapa.

Itu kerja Zali, hanya bertanya kepada ibunya. Ibunya pula seperti mana ibu-ibu yang lainnya di dunia, tidak pernah mampu berahsia kepada anaknya. Sekiranya pada hari itu dia berwajah geram kerana kucing melarikan ikan terubuk yang mahu dipanggang, dia akan menceritakannya kepada Zali. Sekiranya dia hari itu dia tersenyum kerana terpakai berus gigi Zali, juga dia beritahu kepada Zali.

Sehinggalah pada satu hari hidup Zali tidak akan lagi tenang. Semuanya kerana kehadiran sebuah keluarga di kampung itu. Keluarga seorang guru yang baru dinaikkan pangkat menjadi menjadi guru besar, dan sekolah rendah di kampung Zali menjadi tempatnya berkhidmat. Sejak kehadiran keluarga itu hidup Zali mula menjadi tidak tenang.


Bersambung.







Friday, May 07, 2010

Tiga soalan untuk hati

Untuk hati.

Dia seperti tidak berada di tempat dia berada. Dia duduk takzim di atas kerusi roda tua tetapi dia seperti tidak berada di situ kerana senyumannya sentiasa menjunjung ke langit. Dia lelaki yang saya megah-megahkan kerana sabarnya. Lelaki yang sudah renta hidupnya dengan musibah, namun sabarnya itu seperti sudah terpasak kukuh di ubun-ubun. Daripada lelaki itulah, saya menerima tiga soalan untuk hati.

Lelaki baik.
Tidak saya tahu daripada mana sabar lelaki itu datang melungsur. Saya cuma tahu dia asalnya lelaki yang baik, yang punyai segala apa yang hanya mampu dimimpikan oleh ramai penduduk Malaysia. Rumah yang besar, anak yang pandai, isteri yang cantik, kerja yang bagus, dan segala macam perkara yang tidak ada sisi celanya.
Sehinggalah pada suatu malam yang gelap dia kehilangan semuanya. Rumah indahnya hangus bersama seisinya. Harta dan keluarga. Malah dia juga sempat pengsan dan apabila sedar, dia sudah mati separuh tubuhnya diserang strok. Sekelip mata semuanya tampil mengerikan, segala harapan habis tidak bersisa.
Namun dia tetap sahaja tersenyum bahagia seperti rasa sedih dan kecewa tidak sempat bersandar dalam hatinya.
Pernah saya bertanya kepada dia, bagaimana dia boleh melakukan kesabaran yang tinggi dalam hidupnya. Adakah dia melakukan kebohongan pada senyumannya hanya bagi menutup galau-galau dalam hati?
Dia seperti biasa tersenyum baik dan berkata, “Allah sayangkan saya.”
Saya diam dan hati saya mula bertanyakan soalan yang serong-serong. Allah sayangkan dia? Namun, soalan-soalan itu tidak juga bocor dan sempat saya memarahi hati saya dengan soalan serong itu. Lelaki itu pula seperti dapat membaca riak pada wajah saya lalu memasang mimik wajah yang tergesa-gesa mahu berkata sesuatu.
“Saya tidak menganggap ini sebagai kafarah, bukan juga suatu bala,” kata lelaki itu tersenyum di kerusi rodanya.
Saya mengerut dahi dan mata saya menyambar seluruh wajahnya yang tersenyum dan berkata, “Sekiranya bukan kafarah dan bukan juga bala, itu adalah apa?”
Lelaki di kerusi roda itu memberikan senyuman yang menundukkan lalu dengan jelas berkata, “Kafarah itu adalah ujian untuk orang baik yang terbuat dosa, dan ia menjadi penghapus dosanya. Bala pula adalah ujian untuk orang jahat yang berbuat jahat sebelum menerima azabnya di akhirat dan saya bukan daripada kedua-duanya.”
Saya terus diam. Fikiran saya masih terus memikirkan apa maksud lelaki yang berkerusi roda itu.
“Saya menerima ibtila', musibah yang menimpa ke atas orang yang baik, sedangkan selama ini dia melakukan kebaikan. Ia sebagai tanda Allah sayang dan mahu menguji iman penerimanya,” jelas lelaki itu tersenyum baik.
Saya masih lagi diam. Diam kerana dua perkara. Pertama, kerana cuba memahami maksud ibtila' dan kedua, cuba memahami mengapa lelaki itu begitu yakin mengatakan dirinya menerima ibtila. Cuba saya menahan diri daripada bertanya, tetapi satu soalan itu bocor juga daripada lidah saya.
“Mengapa begitu yakin itu ibtila'?” soal saya yang akhirnya membuat saya kesal kerana sepertinya saya gagal menjaga hati lelaki yang berkerusi roda.
Lelaki berkerusi roda itu sekali tersenyum lalu berkata lembut, “Selama ini saya sudah mendidik diri dan seluruh keluarga supaya semampu mungkin menjaga agama Allah dengan sebaik-baiknya. Agama yang menjamin kebahagiaan seluruh manusia. Lalu adakah saya mahu bersangka buruk kepada Allah dengan mengatakan Allah tidak sayang kepada saya selepas saya menjaga agamaNya dengan sebaik-baik jagaan?”
Tiga soalan.
Saya diam. Kata-kata lelaki itu benar, dan saya menyoal hati saya, mengapa pula saya yang harus berburuk sangka kepada lelaki yang sudah menjaga agama Allah? Seketika saya menyoal pula diri saya, bagaimana pula selama ini saya menjaga agama Allah? Tanpa sedar, tiga soalan terus menghambur ke dalam hati.
Adakah pada satu saat nanti saya mampu berkata dengan yakin yang saya menerima ibtila'? Ataupun saya dengan yakin berkata saya menerima kafarah? Ataupun mungkin saya dengan yakin berkata yang saya sudah menerima bala?

*Definasi Kafarah, bala dan ibtila' diambil daripada majalah SOLUSI