Sunday, February 28, 2010

Perempuan-perempuan yang patah hati.

Perempuan.
Perempuan, yang saya tahu melalui pengalaman, adalah manusia yang lembut kata-katanya tetapi menundukkan. Mampu sahaja mata coklat mereka memberitahu beban yang tertanggung dalam hati, namun mampu juga dengan rapi mereka menggarap senyuman, melindung hati yang rosok berantakkan.
Ini adalah kisah, perempuan-perempuan yang patah hati. Kisah yang saya pinjam daripada teman-teman. Kisah yang menyuluh wajah putus asa setiap manusia, yang bernama perempuan.
Perempuan 1.
Saya manusia yang diam, mencium beban pada wajahnya. Mahu saya bertanya mengapa, tetapi saya tidak mampu kerana khuatir. Namun, firasat perempuan begitu mengerti. Dia berbelok matanya memandang lalu berkata, sekiranya hati dia adalah sungai, sungai itu adalah sungai yang mati. Tidak mampu lagi mengandung harapan untuk nelayan, tidak juga mampu direnang gembira anak-anak yang masih telanjang.
Dia hanya mahu jawapan pada satu soalan yang membuat pandai saya bocor tidak bersisa. Meski hati saya penuh kerangka mahu membantu, tetap tidak mampu saya menjawab soalannya yang penuh peduli.
Dia mahu hidup yang layak sebagaimana mestinya perempuan yang bahagia. Namun tetap juga ketentuan Tuhan kepadanya datang dalam bentuk yang dia tidak mengertikan. Hatinya masih belum terisi pada kata yang bernama 'suami'.
Bukan tidak pernah mencuba, malah sudah sampai batas merah wajahnya menawarkan hati. Mujur juga masih beringat tidak mahu diri bersimbah dosa, dia kembali merendah hati pada hakikat dia perempuan yang baik dan ketentuan Tuhan pasti ada maksudnya.
Cuma pada saat ketidakmengertiannya itu dianjurkan kepada saya, saya cuma mampu bolak-balik menatap cemas. Pada saat saya masih diam, soalan itu semakin menggelinding dalam kepala. Dengan terengah-engah saya cuma mampu berkata, “Saya tidak tahu. Cuma sahaja, adakah kamu berfikir Tuhan sudah memutuskan harapan kamu? Adakah kamu juga sudah berkira, Tuhan tidak menyampaikan cita-cita kamu? Saya tidak tahu apa dalam hati kamu. Namun tetap sahaja, sebagai sahabat, saya hanya mampu berdoa, semoga Allah tidak memutuskan harapan kamu dan semoga Allah menyampaikan cita-cita kamu. Itu sahaja yang saya tahu dan cuma itu yang saya mampu.”
Perempuan 2.
Menimpali hati dengan persoalan hati perempuan, pasti tidak ada lelaki yang begitu sigap dan kuat. Mampu sahaja kebijaksanaan lelaki itu habis tidak bersisa pada saat dia cuba memahami galau apa yang bersandar pada hati perempuan.
Itu yang saya rasa, pada saat seorang perempuan yang mengaku patah hati, datang dengan hati menakjubkan. Dia perempuan yang berusaha melihat seorang temannya bahagia pada saat dia tidak mampu menjadi begitu.
Tetap sahaja ketentuan Tuhan datang dalam kisah yang tidak mampu dia mengertikan. Hasratnya hanya mahu melihat teman perempuannya itu beroleh bahagia, semoga hal itu dapat meneduhkan pedih hatinya, semoga hal itu dapat mendirikan bahagia hatinya yang sudah renta.
Namun sepertinya, temannya berusaha mengikutinya jejak, menjadi perempuan yang patah hati. Dia walaupun masih mampu tampak rupawan di balik tudung merah kirmizi, namun mata coklatnya yang tambun tidak mampu menipu. Pada saat itu sekali lagi saya ditimpali dengan persoalan, mengapa dia tidak mampu menumpang bahagia temannya itu?
Tidak surut cemas dalam hati saya pada gelodak hatinya, sekali lagi saya terbeban pada persoalan hati perempuan yang sepertinya tidak berpenghujung. Saya tahu, diam saya tidak menumbuhan harapan, tidak juga mengembangkan tenang dalam hati perempuan itu.
Cuba juga saya berkata sesuatu dengan niat kuat mahu melindungi hatinya dengan kata, “Saya tidak tahu mengapa. Mungkin sahaja benar apa kata akal orang dahulu, kerana kamu sudah merasai maknanya patah hati, lalu kamu dipilih bagi menuntun hati teman kamu yang ngilu pada kata cinta. Anggap sahaja, kamu dipilih menenangkan hati manusia lain kerana kamu mampu begitu. Doakan sahaja teman kamu bahagia, doakan dan teliti baik-baik hatinya supaya jangan mati. Semoga sahaja, hati dia dan hati kamu mampu kembali hidup dengan harapan. Allah tetap bersama orang yang sabar dan orang membantu insan lainnya.”
Perempuan 3.
Pada saat semua persoalan hanya mampu dijawab oleh Tuhan, pada saat itu, wajah perempuan akan seirama dengan hatinya. Tidak mampu saya menjadi penyebar semangat hidup. Tidak mampu juga saya memeramkan bahagia. Kepada Allah juga sebaik-baik pengaduan.
Teman saya, perempuan yang patah hati, dengan kata-katanya yang patah menggegar berkata, “Saya redha... Tuhan tidak akan mengkhianati hambaNya, cuma hambaNya sahaja yang sering cuba mengkhianati Tuhan dengan memutuskan harapan.”
Lalu pada titik itu, ada air bening daripada bola matanya. Semuanya setelah dia cuba menahan tangis yang dalam, akhirnya air bening itu jatuh juga menggelepar di atas tudung merah kirmizi. Walaupun tangisnya seperti tidak mahu reda, citranya sebagai perempuan baik tetap tidak jatuh walaupun hanya seketika, kerana hanya itu senjata akhir perempuan yang patah hati.
Untuk perempuan-perempuan yang patah hati, semoga kamu semua bahagia. Semoga.

*Boleh sahaja juga, kita semua ke sini :) Klik link di bawah. :)

Wednesday, February 24, 2010

Esok Sahaja

Lalu semalam kita tersenyum melihat bintang. Katamu bintang itu jarang terlihat pada garis ini, garis indah sang Khatulistiwa, yang langitnya sentiasa dihurungi awan. Kamu kata, sekiranya kantung kamu penuh emas, kamu mahu pergi jauh ke garisan Jadi. Biar mampu melihat bulan yang terangnya tidak terbanding, biar malamnya lebih panjang dengan bintang-bintang yang tidak dicuit awan.

Untuk saya, malam itu bukan seperti malam kamu. Malam saya sama sahaja seperti mana lelaki miskin yang melihat malam, hanya memikirkan tentang esok. Apa yang esok ada untuk dia. Tidak mampu saya berfikir sekiranya kantung saya penuh emas. Tidak mampu saya berfikir bagaimana harus menikmati malam yang panjang yang penuh bintang.

Kamu tahu, saya bukan manusia yang pintar, namun tetap sahaja kamu merenung langit sendiri. Tidak seperti selalu yang punyai kata-kata hikmah yang seperti bintang. Kamu hanya tersenyum dan berkata, “Esok sahaja.”

Sunday, February 14, 2010

memahami sesuatu dengan ilmu - saya mahu seperti dahulu

Sesuatu.

Memahami sesuatu daripada sudut ilmu dan bukan memahami daripada sudut logiknya memang tidak pernah mudah. Misalnya beberapa minggu lepas, pada saat saya berjumpa dengan seorang teman yang sangat saya kagumi. Bukan daripada tinggi ilmunya, bukan juga kerana kacak wajahnya. Tetapi kerana tubuhnya. Tubuhnya membuatkan saya mahu menjadi dia. Teman saya yang memahami sesuatu kerana ilmu dan bukan kerana logiknya.

Teman.
Dia bukan lelaki idaman. Bukan juga lelaki yang boleh memalingkan mata gadis bagi melihatnya kali kedua. Malah saya, dan beberapa teman sangat gemar menyimbahnya dengan kata-kata usikan. Hanya kerana tubuhnya yang tidak kecil dan tidak juga sederhana.
Dia sebagai lelaki yang sedar diri, hanya diam. Tidak juga dia cuba tersenyum tabah. Mungkin hatinya tergores dengan kata-kata usikan yang selalunya tidak pernah sederhana maksudnya, misalnya kata, 'badak air'.
Itu dahulu. Tidak pasti kerana saya sudah berkahwin dan hati saya senang, lalu tubuh saya juga mula meninggalkan ukuran sederhana. Mungkin juga Tuhan mahu mengingatkan saya bahawa dahulu saya pernah bersalah pada seorang teman yang saya berikan nama 'Badak Air'.
Kini.
Saya menemuinya kembali teman yang mungkin pernah tergores hatinya itu oleh kerana kata-kata saya. Kini 'badak air' tidak lagi sesuai bagi menggambarkan teman saya itu. Tubuhnya sudah seperti kayu jati yang diukir teliti. Wajahnya juga sudah bujur sirih. Saya cukup yakin, untuk penampilan sebegitu, pasti wanita berpaling lima kali.
Tuhan maha adil dan hari itu saya betul-betul berasakan keadilan Tuhan. Saya berada pada posisi yang berbeza. Dahulu saya bertubuh kecil dan sekarang, saya pula yang layak dipanggil 'Badak Air'. Dalam menahan nafas kerana fikiran keliru mahu berkata apa, teman saya itu dahulu yang tersenyum dan menyapa.
Tidak berlengah saya ikut menyapa dan segala-galanya berlalu dengan begitu sahaja. Sehinggalah saya bertanya kepada dia bagaimana dia boleh memiliki tubuh yang sebegitu. Dia diam sesaat sepertinya mengumpul kata yang paling bagus bagi dilemparkan. Ini soal maruah dan masa silamnya, jadi setiap kata harus cermat dan hormat.
“Antara orang yang putus cinta, dan orang yang diet, yang mana dahulu jadi kurus?” soal teman saya itu.
Saya tersenyum. Hati saya terus meneka, pasti dia punyai tubuh yang sasa kerana sebelum ini dia putus cinta dan mudah saya menjawab, “Orang yang putus cinta.”
“Jadi mengapa orang yang diet lambat kurus dan orang yang putus cinta cepat kurusnya?” soalnya lagi.
Saya tidak lagi tersenyum. Saya sudah berasakan soalannya kini lebih serius. Lebih memerlukan akal yang cerdas dan terus saya menjawab, “Hati gelisah jadi, tidak makan dan cepat kurusnya.”
“Itu hanya benar separuh. Sebetulnya, tidak makan bukan menjadikan kita cepat kurus, malah ia juga bahaya untuk tubuh. Sekiranya tidak makan hanya kerana mahu kurus, metabolisme tubuh kurang dan tidak mampu membakar kalori. Pada waktu yang sama kita tidak ada cukup kalori bagi menjadi tenaga, dan bagi mendapatkan tenaga, kita membakar otot-otot kita. Kita menjadi kurus bukan kerana kurangnya lemak, tetapi kurus kerana kekurangan otot,” jelas teman saya sehingga membuat saya menggaru-garu kepala. Sepertinya tidak ada kesinambungan daripada soalan awalnya tadi.
“Malah boleh sahaja, orang yang sedang menahan makan itu menjadi lebih besar tubuhnya. Ini kerana pada saat kita menahan diri daripada makan, otak kita merembeskan satu hormon kepada tubuh, supaya berjaga-jaga kerana adanya sesuatu yang tidak kena. Hormon yang dirembeskan itu membuatkan tubuh kita bereaksi menjadi lebih berselera dan lapar daripada biasa. Tubuh kita tidak akan mampu menahan diri daripada terus berlapar dan, pada saat itu juga fikiran kita sudah tidak mampu dikawal. Biasanya orang yang menahan makan, akan makan juga pada akhirnya pada kuantiti yang lebih banyak,” terang teman saya itu lagi.
Jadi apa pula kaitan penerangan panjang itu dengan soalan awalnya? Malah semakin saya mengikuti setiap butir katanya, semakin jauh saya daripada jawapan yang sepatutnya saya fahami.
“Itulah kelebihan orang yang putus cinta. Orang yang putus cinta adalah orang yang resah. Resah itu sendiri memerlukan tubuh membakar kalori yang banyak. Pada masa yang sama, otak merembeskan hormon yang menutup selera. Namun terkadang, otak boleh juga merembeskan hormon lapar apabila hati cuba keluar daripada resah dengan cara yang singkat. Jadi berhati-hati pada saat kamu resah. Ia boleh membuatkan kamu kurus dan ia juga boleh menjadikan kamu lebih besar tubuh.” Teman saya memandang saya dengan mata yang buntang.
“Jadi untuk saya mahu jadi kurus, saya perlu resah?” soal saya terus.
Teman saya ketawa sebelum menyambung, “Itu bukan soalnya. Soal utamanya adalah, kamu jangan menahan makan. Kamu jangan lapar sehingga tubuh kamu merembeskan hormon bagi berjaga-jaga. Kamu tetap diet. Tetapi diet bukan bermaksud tidak makan, tetapi kurangkan separuh daripada apa yang kamu makan. Ini kerana dengan hanya makan, tubuh kita akan bekerja bagi mencerna makanan itu. Tubuh yang bekerja adalah tubuh yang membakar kalori. Tetapi berhati-hati dengan apa yang kamu makan. Banyakkan memakan sayuran yang gelap hijaunya kerana ia lebih sukar dihadam dan tubuh bekerja dengan lebih kuat. Banyakkan juga minum teh hijau kerana ia meningkatkan metabolisme, dan seterusnya metabolisme yang tinggi membakar banyak kalori. Air kosong juga membantu meningkatkan metabolisme tubuh. Walaupun kopi turut membantu tetapi ia punyai kesan sampingan yang tinggi. Jadi elakkan kopi.”
Saya menanam kata-kata teman saya itu dengan sepenuh hati ke dalam kepala saya. Biar ia tumbuh menjadi ingatan yang baik buahnya. Namun teman saya sepertinya belum habis bercerita. Pasti ada lagi berkenaan dirinya yang mahu dia beritahu.
“Kunci utama adalah biarkan tubuh kita membakar kalori secara semula jadi. Jadi kita perlu metabolisme yang tinggi. Salah satu cara bagi meningkatkan metabolisme adalah dengan bersenam. Metabolisme selepas senaman akan membakar kalori dengan cukup efektif dan lebih banyak. Apatah lagi sekiranya kamu sudah meminum teh hijau, dan mengurangkan nasi kamu separuh. Jadi, jangan sekali-kali berpegang pada logik, kurus hanya apabila kita tidak makan. Itu logik yang salah. Namun, sekiranya kamu tinggal di Afrika dan tidak punyai banyak wang, logik itu tetap berguna kerana kamu tetap tidak punyai pilihan untuk mendapatkan lebih makanan. Masalahnya pula apabila kita sudah mengurangkan makanan, pasti kita mahu menambahkan lagi. Ini bukan kerana lapar, tetapi lebih kepada nafsu. Jadi kuatkan mental kamu. Apa-apa sahaja, kamu perlu melawan nafsu. Sekiranya kamu sudah berbuat semua itu, pasti tubuh kamu mampu seperti tubuh saya.” jelas teman saya sambil memasang mimik wajah yang penuh puas dan hormat.
Saya pula pada saat ini, mahu jadi seperti dia. Mahu jadi seperti dahulu. Saya mahu membuang berat saya yang tidak perlu ini. Apatah lagi pada saat leher saya sudah seperti sekata dengan pipi. Ia betul-betul membuatkan saya terlihat tua dan tidak bermaya.
“Ingat, niatkan kamu berdiet bukan kerana logiknya kamu mahu kurus, tetapi kerana ilmu yang kamu mahu sihat!” Itu pesan akhir teman saya sebelum berlalu pergi sambil mata-mata perempuan di kiri kanan berpaling-paling ke arahnya. Itulah teman saya, yang mampu memahami sesuatu bukan hanya dengan logiknya.